
Alhamdulillah, diberikan kesempatan membaca karya ustaz Hasrizal My Learning Journey bertajuk “Kamar Kamar Budi ; Iktibar Akhlak dan Etika Sosial Daripada Surah al-Hujurat” terbitan Abideen Books
Saya memilih untuk membaca hingga tamat “Kamar-Kamar Budi” (KKB) kerana gaya penulisan yang membumikan tadabbur ayat hingga kelihatan mengena dengan permasalahan semasa merupakan gaya penulisan yang saya sedang pelajari dan mengambil inspirasi.
Hampir 30 % pertama dari buku 175 halaman ini dimulakan penulis dengan menjelaskan “a big why” masyarakat kepada surah ini iaitu perihal “buah” kepada keislaman seseorang, akhlak!
Pendekatan mengemukakan perspektif sebegini penting agar pembaca jelas idea utama yang menyebabkan surah itu diturunkan.
Lama Belajar Agama Bukanlah Penentu Mengamalkan Agama
Salah satu perkara saya temui dari surah al-Hujurat menerusi sentuhan ustaz Hasrizal ini ialah wujudnya hubungan yang indah dengan surah Yusuf. Kedua-dua surah sememangnya boleh ditemukan satu tema yang sama iaitu pembentukan akhlak dan perubahan sikap.
Walaupun penulis tidaklah mengulas apa-apa mengenai surah Yusuf dalam karya ini, entah mengapa membaca karya ini, terus mengingatkan saya pada suasana “beragama” kalangan sepuluh orang anak-anak Nabi Yaaqub عليه السلام .
Ikhwah Yusuf paling lama membesar dalam rumah seorang Rasul berbanding Yusuf عليه السلام dan adiknya sendiri. Lalu kita pasti menjangkakan banyak hal-hal keagamaan mereka pelajari dari ayahanda mereka.
Namun begitu, satu persatu al-Quran merakamkan sikap buruk mereka kepada ayah dan adik mereka. Paparan itu bertujuan mengingatkan kita bahawa suasana yang dikatakan “islamik” itu, belum tentu pun melahirkan peribadi yang benar-benar mengamalkan Islam dalam seluruh perkataan dan perbuatannya.
Barangkali inilah yang dimaksudkan penulis pada halaman 32 ;
“Ibadah terperangkap dalam orientasi fiqh semata-mata. Dibahaskan apa hukumnya, syarat sah, rukun, fardhu dan seumpamanya. Tetapi bagaimanakah solat itu menjadikan seseorang itu baik ? Topik sebegini ketika ini seakan hilang dari mendapat tumpuan perhatian.”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 32
Tanggalkan Sikap Badwi Yang Jahiliah
Beberapa kali al-Quran merakamkan ikhwah Yusuf bersumpah dengan nama Allah seperti pada ayat 85, tetapi rupanya sumpah itu hanya tampalan bersifat keagamaan mereka untuk menutup sikap biadap terhadap ayah mereka.
“Tanpa suluhan wahyu, mungkin kita berterusan mempertahan kekasaran, mencarut dan memaki hamun dengan alasan orang negeri ini memang begitu, ini biasalah di negeri tersebut.”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 12
Kerana masalah sikap seperti inilah – dikuatkan lagi dengan inspirasi wahyu – Yusuf mendidik abang-abangnya sehingga berakhir dengan penghijrahan mereka sekeluarga ke Mesir.
Di Mesirlah, ikhwah Yusuf memulakan kehidupan baru, meninggalkan kehidupan badwi itu sendiri sebagaimana diisyaratkan dari ayat 100 surah Yusuf. Kehidupan badwi sebagaimana yang diperjelaskan penulis pada halaman 14 ialah kehidupan nomad di padang pasir yang belum terbiasa dengan peradaban dan sopan santun pergaulan dalam bersosial.
Di sinilah wujudnya persamaan sikap badwi pada ikhwah Yusuf dengan sikap badwi yang hadir lalu bercakap kasar dengan Nabi SAW sehingga turunnya surah al-Hujurat.
Penghijrahan ikhwah Yusuf ini bukanlah sekadar untuk membantu mereka mengelakkan kebuluran di tujuh tahun kedua, bahkan Nabi Yusuf mahu menggunakan suasana baru di Mesir ini untuk mendidik ikhwahnya agar benar-benar menjadi “sebelas bintang cerah”.
Sujud keinsafan ikhwah Yusuf sebelum ini mesti disusuli dengan satu program “tarbiyah” yang intensif seumpama gagasan surah al-Hujurat, berhenti bertikam lidah, menyimpan dendam, memutuskan silaturrahim dan sindir-menyindir.
Tidak Selamanya Puak Kita Betul
Mesir pada waktu kehadiran ikhwah Yusuf sudah dikenali sebagai pusat tamadun dan tumpuan perdagangan empayar-empayar dunia sehingga surah Yusuf menyebut dua kali kalimah “Mesir”. Import dan eksport kebudayaan bahkan keagamaan menjadi sangat agresif.
Kehadiran ikhwah Yusuf dari Palestin ke Mesir akan membuka ruang mereka belajar menghargai perbezaan sesama manusia dan berhenti bersikap “wa nahnu usbah” iaitu puak kita sentiasa betul dan puak lain sentiasa salah.
“Tiada lagi alasan aku orang negeri sekian-sekian, keturunan aku semua macam ini, engkau cara engkau dan aku cara aku, dakwaan-dakwaan yang menjadikan manusia bermusuhan. Sedangkan perbezaan itu sumber kreativiti, kemajuan dan kekayaan, asalkan kita mendatanginya dengan maksud kenal mengenal, dan berlumba menambah takwa”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman iii
“Perbezaan bukan punca masalah, tetapi perbezaan adalah sumber kemajuan selagi mana perbezaan itu diletakkan dalam konteks لِتَعَارَفُوا . Pemikiran terbuka (open mindedness) kita mestilah didahului dengan adanya rujukan akhlak, moral of reference dan di sinilah peranan agama yang dijelmakan dalam 12 ayat pertama surah al Hujurat.”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 158-159
Pemikiran “Step By Step” Dalam Perubahan
Membaca karya ini juga, saya menemui jawapan pada persoalan mengapa agaknya panjang benar babak Yusuf mentarbiah abang-abangnya, jauh lebih panjang dari ucapan dakwah mana-mana anbiya’ dalam al-Quran.
Terperinci seni tarbiah Yusuf hingga hampir separuh dari kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran itu sendiri, seharusnya disambut baik oleh kita yang hidup di zaman yang sukakan ilmu bersifat “tips”, “teknik” iaitu memberi perincian atau “step-by-step” untuk berubah, bukan hanya sekadar berkata “berubahlah” tanpa membuktikan komitmen membantu dan membimbing. Di sinilah penulis ada menyuarakan sesuatu yang membuka fikiran saya khususnya untuk kekal dalam dunia latihan dan kefasilitatoran.
“Cabaran yang ada dalam tradisi pendidikan Islam ialah kaya dengan konsep-konsep yang tepat tetapi tidak jelas tekniknya secara praktikal. Sedangkan untuk memberikan satu-satu teknik, kita akan menghadapi cabaran lain pula iaitu keperluan mengintegrasikan ilmu Islam dengan disiplin ilmu-ilmu yang lain.”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 21
Nabi Yusuf tidak sekadar berkata “berubahlah” wahai ikhwahku, bahkan baginda telah menyusun kaedah dan membentuk modus operandi yang rapi dan teliti untuk “menyambut” setiap kehadiran ikhwahnya ke Mesir. Bahkan “step-by-step” itu menjadi ayat al-Quran agar ia diibrahkan untuk kaum beriman.
Kehadiran ikhwah kali pertama, pendekatan A diambil.
Kehadiran kali kedua, pendekatan B diambil.
Kehadiran kali ketiga, pendekatan C diambil.
Hingga kali keempat ikhwah hadir ke Mesir, ada sahaja kejutan dilakukan Yusuf, hinggalah “speechless” ikhwah hanya dapat dijelmakan dalam sujud yang penuh airmata.
Kebetulan isteri saya Nurul Suhadah Shuib ada berkongsi satu buku di Kindlenya bertajuk “Atomic Habits” karangan James Clear. Penulis ada menyatakan mengenai tidak cukup memberi motivasi agar berubah, berubah dan berubah jika tidak disusuli dengan perincian kaedah dan sistem yang boleh membantu perubahan tersebut.
“All big things come from small beginnings. The seed of every habit is a single, tiny decision. Prevailing wisdom claims that the best way to achieve what we want in life is to set specific, actionable goals. For many years, this was how I approached my habits, too. Eventually, I began to realize that my results had very little to do with the goals I set and nearly everything to do with the system I followed. Goals are about the result you want to achieve. Systems are about the processes that lead to those results. A handful of problems arise when you spend too much time thinking about your goals and not enough time designing your systems.”
Agenda “Berhalus” Dalam Bicara
Seperkara yang menjadi perhatian saya dalam “Kamar-Kamar Budi” ini juga ialah agenda “berhalus” dalam surah al-Kahfi iaitu ayat 19 pada kalimah وَلْيَتَلَطَّفْ .
Masyarakat kita mungkin lebih berminat dengan isu “kenapa kalimah ini dimerahkan”. Dikatakan juga ia kalimah paling tengah dalam al-Quran jika diambil kira seluruh kalimah dari surah al Fatihah hingga al-Nas.
Apapun perbincangan, asasnya ialah penulis telah menutup dengan baik bahagian pertama buku ini dengan menghubungkan surah al-Hujurat dengan sikap pemuda-pemuda al Kahfi agar “berhalus” dalam tutur bicara, sensitif dengan perkataan yang dilafazkan apabila berinteraksi dengan manusia.
Jika dengan bukan Muslim pun pemuda al-Kahfi meminta agar sangat beringat, tidak dapat dibayangkan jika mereka hidup pada waktu ini dan berada negeri majoriti muslim seperti kita, pastinya lebih-lebih lagi mereka akan memberi perhatian kepada agenda “lathif” ini.
Bahkan, bukankah itu sifat Allah al-Lathif yang disebut oleh Nabi Yusuf sendiri pada ayat 100 surah Yusuf? Setiap tindakan Allah kepada hamba-Nya seperti Nabi Yusuf memang “berhalus”, tepat pada keperluan emosi dan psikologi yang menimpa Yusuf, tidak kelihatan depan mata apa yang hadir namun dapat dirasakan kedamaian jiwa dengan apa yang berlaku.
Mengurus Populariti
Surah Yusuf berakhir dengan sikap Nabi Yusuf yang tidak tenggelam dengan populariti dirinya sebagai penguasa tertinggi di Mesir. Al Quran menggambarkan baginda tidak pun terpedaya dengan habuan keduniaan di Mesir dalam dua situasi ;
Pertama, baginda kekal fokus pada mentarbiah abang-abangnya. Baginda menggunakan kelebihan kuasa untuk mencetuskan taubat dalam hati-hati ikhwahnya, bukan kuasa itu digunakan untuk menjaga poket dan periuk nasi sendiri, jauh sekali dari menjaga kroni atau membalas dendam.
Kedua, baginda telah berdoa agar Allah mewafatkannya kelak sebagai muslim dan menggabungkannya dengan orang soleh di alam barzakh nanti.
Surah al-Hujurat turun – sama seperti surah al Nashr – selepas pembukaan Makkah yang menyaksikan fenomena “afwajan” dengan ramainya kaum Arab memeluk Islam. Surah al-Hujurat mendidik Nabi SAW dan para sahabat agar tidak tenggelam dengan nikmat kemenangan dan lambakan “followers” sehingga terlupa tanggungjawab yang lebih besar iaitu membimbing mereka mengenal Tuhan.
Pendakwah janganlah terpedaya dengan pujian dan sokongan pengikut yang ramai sehingga tidak sedar adanya sebahagian dari kalangan mereka itu pengikut yang boleh merosakkan pendakwah itu sendiri atau merosakkan imej agama itu sendiri kerana kejahilan untuk membezakan antara yang benar dan yang salah menurut neraca wahyu.
“Kita sedang diuji. Siapa yang berjaya dengan agama mengubah kebiasaannya, dengan agama memimpin keinginannya, dan dengan agama membantu meluruskan keterlanjurannya, maka orang inilah yang disasarkan penghujung ayat 3 (أُولَئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَى لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ)”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 75
Andai Rasulullah Ada Di Sisi
Akhir sekali, yang paling menyentuh hati saya ialah ketika penulis berkongsi syarahan tadabburnya pada ayat 7 surah al-Hujurat. Penulis menyebut dengan ringkas sahaja, namun saya melihat besar impaknya.
Ayat 7 berbicara mengenai “kehadiran” Rasulullah ke dalam diri ummat ini (وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ). Kisah Ibnu Abbas RA dan para sultan Uthmaniyyah ketika menerima surat-surat dari Makkah dan Madinah benar-benar mengajar kita sikap orang sebelum kita yang beruswah, bukan sekadar berqudwahkan Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda صلى الله عليه وسلم.
“Haruslah sentiasa diingat bahawa bersama perjuangan memperbaik akhlak ini adanya Rasulullah. Maka seteruk mana pun persekitaran sosial orang Islam, kita tidak akan menjadi orang tidak berpanduan. Rasulullah memang sudah tiada. Rasulullah sudah wafat. Kita perlu terima hakikat ini. Yang tinggal hanya sunnah Baginda. Kalau difikirkan kenapa etika sosial kita amat teruk kini? Mungkin jawapannya ialah kerana Rasulullah sudah semakin tidak ada dalam kehidupan kita”
Hasrizal Abdul Jamil. Kamar-Kamar Budi. Halaman 105
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
Bukit Besar, Yan, Kedah
28 Jamadil Akhir 1443 H
Leave a comment