G : Gagahnya kebatilan tidaklah bertahan lama
🥀 Kilat itu tempohnya seketika cuma walau ia kelihatan gagah perkasa. Suara gagah guruh pasti menjelma selepas itu. Kemudiannya, tiada makhluk yang boleh menghalang turunnya berita gembira dari langit iaitu hujan yang menjadi rahmat Allah buat manusia.
🥀 Kekalkan kepercayaanmu pada kemenangan al-Haq walaupun ia mengambil masa untuk memunculkan dirinya dan majoriti manusia tidak pun percaya (ayat 1 ; المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِيَ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ الْحَقُّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُونَ ).
🥀 Munasabah surah : Tafsiran mimpi Nabi Yusuf pada keadaan negara Mesir yang kembali makmur dan menerima hujan pada tahun ke 15, tiada kena mengena dengan mimpi raja Mesir.
Ia benar-benar wahyu dari Allah SWT untuk menyedarkan rakyat Mesir bahawa Yusuf itu bukan sekadar pemimpin penyelamat Mesir, bahkan Rasul Allah.
Kebetulan yang indah, tahun ke 15 kenabian Nabi Muhammad SAW, janji Allah menjadi kenyataan iaitu kemenangan pasukan al-Haq di perang Badar. “Buih yang banyak” akhir ranap dan hancur di hadapan pasukan yang kerdil sahaja. كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاء وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأَرْضِ !
U : Usahlah tergesa-gesa mahu melihat hasilnya, tugasmu hanya menyampaikan (فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلاغُ وَعَلَيْنَا الْحِسَابُ)
🥀 Sifat guruh itu sendiri kedengarannya beberapa saat selepas kilat terpancar. Maka jangan terlalu gopoh-gapah berkata bahawa guruh tidak pun kedengaran seandainya anda sudah melihat pancaran kilatnya.
🥀 Munasabah surah : Sebelas bintang cerah mengambil masa 20-30 tahun untuk mereka menjelmakan diri mereka yang sebenar sebagai “ahada ashara kaukaban” (dengan asbab tarbiyah Nabi Yusuf).
🥀 Jangan bersangka buruk pada anak yang kelihatan punyai kekurangan tertentu kerana sesungguhnya Allah pasti melebihkan potensi tertentunya yang belum kelihatan di mata ibubapa (ayat 8 ; اللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنثَى وَمَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ وَكُلُّ شَيْءٍ عِندَهُ بِمِقْدَارٍ ).
🥀 Jangan kecewa jika kamu tidak sempat melihat kehancuran kaum kafir yang menentang dakwahmu, ajal mereka sudah dalam perjalanan ( ayat 40 : وَإِن مَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ الَّذِي نَعِدُهُمْ أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ الْبَلاغُ وَعَلَيْنَا الْحِسَابُ ).
R : Risalah bercahaya dari langit ke bumi
🥀 Guruh itu kedengaran di bumi selepas cahaya gemilang dari sang kilat kelihatan menerpa dari langit menyentuh bumi. Begitulah risalah al Quran, cahaya gemilang yang diturunkan dari langit ke bumi, dari Pencipta manusia kepada manusia.
🥀 Ayat 1 berbicara mengenai penurunan al Quran, ayat 2 mengenai langit dengan segala kehebatannya dan ayat 3-4 mengenai bumi dengan segala potensi yang terjelma di atas permukaannya.
🥀 Allah turunkan al Quran untuk kamu wahai manusia di bumi. Allah tahu setiap inci rahsia di langit dan di bumi. Allah turunkan al Quran dari langit untuk meninggikan kedudukan dan potensinya sebagai “ahsani taqwim”.
Kamu manusia, serba serbi mengenai kamu wahai manusia, Allah tahu. Jangan sekali kali berkata “al Quran tidak faham aku” seolah olah engkau tidak percaya Tuhan yang menciptakan kamu, Dia yang lebih tahu ubat segala penyakitmu.
Bumi perlukan hujan dari langit untuk hidup, engkau perlukan al Quran untuk bahagia dan hatimu hidup. Allah turunkan al Quran untuk menjadikan kamu khalifah yang bijaksana mengurus dunia, bukan al Quran turun agar kamu berdukacita dengan setiap apa yang menimpa.
U : Usah tergesa gesa melakukan dakwah
🥀 Guruh itu mengambil masa sebelum mendedahkan identitinya menerusi bunyi dan suara yang menggerunkan. Begitulah para Rasul, Allah mengatur perjalanan hidup mereka dengan begitu baik sekali sebelum suara mereka didengari dan dakwah disampaikan dengan sehabis baik.
🥀 Antara rencana Tuhan kepada para Rasul seperti Nabi Musa dan Rasulullah SAW ialah seperti menjadikan mereka diperkayakan terlebih dahulu dengan aspek kepimpinan dan sains kemanusiaan iaitu menerusi kehidupan berkeluarga (ayat 38 ; وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ).
🥀 Munasabah surah : Yusuf mengambil masa yang lama sebelum dijadikan Allah Rasul. Pelbagai ujian dan pengalaman hidup dianugerahkan Tuhan sebelum Baginda menjadi Rasul dan memimpin Mesir kepada keselamatan dan kemakmuran.
H : Hasilkan perubahan emosi dan sikap apabila membaca al Quran
🥀 Guruh itu titik perubahan dari fasa kering kepada fasa basah, dari fasa tanah mati ke pada fasa tanah hidup. Maka begitulah membaca al-Quran. Berpindahlah dari sekadar membaca kepada membaca penuh penghayatan khususnya menjelang Ramadhan. Bukan “hayati” itu berasal dari “hayah” iaitulah bermaksud kehidupan ?
🥀 Munasabah surah : Ikhwah Yusuf sendiri di akhirnya berubah, menyesali dosa lampau mereka ke atas Yusuf dan ayahnya, bertaubat sepenuh hati apabila mereka melakukan sujud tanpa disuruh Yusuf atau sesiapa pun di sekeliling mereka. Surah Yusuf yang berakhir dengan sujud ikhwahnya dilengkapkan pula surah guruh yang mengajar makna sujud mukmin dalam erti kata yang sebenar.
🥀 Al-Quran yang mencetuskan perubahan dan pergerakan (ayat 31 ; وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأَرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى بَل لِّلَّهِ الأَمْرُ جَمِيعًا ).
🥀 Perubahan mesti bermula dari diri kamu sendiri (ayat 11 ; إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ ).
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
Shah Alam
12 Jamadil Akhir 1443 H





Leave a comment