
Tema Surah
Surah ini menjelaskan siapa sebenarnya buta dan siapa sebenarnya bakal bermasam muka. Lebih baik buta di dunia dari buta di Akhirat (surah Taha ayat 125 ; قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا)
Lebih baik ditegur Tuhan lalu berubah selepas terlanjur bermasam muka di dunia dari menjadi manusia yang bermasam muka di Akhirat.
Surah ini menegaskan yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang melakukan penyucian hati dan berusaha mencapai takut kepada hari menghadap Allah nanti meskipun di dunia mereka tidak dihargai atau dipandang sebelah mata.
Munasabah
Surah ini menjelaskan kisah seorang yang buta namun ingin belajar ayat Allah jauh lebih mulia dan terkenal di langit berbanding Firaun (surah sebelumnya) yang terkenal di dunia, raja paling diingati manusia namun dilaknat di langit.
Lima Segmen A-B-A-S-A
- A : Ambil berat mereka yang beriman (ayat 1-10)
- B : Beri perhatian pada isi kandungan dakwah (ayat 11-16)
- A : Apa makna buta yang sebenar (ayat 17-23)
- S : Selidik rahsia alam dengan mata hati (ayat 24-32)
- A : Akhirat yang menggerunkan (ayat 33-42)
Huraian Ibrah dan Akronim
- AMBIL BERAT mereka yang sudah beriman walau dipandang hina masyarakat kerana merekalah asbab kemenangan dan kekuatan
- Teguran halus atas ijtihad baginda saw yang mengutamakan dakwah kepada pembesar Quraisy
- Al-Maududi: Golongan pembesar tersebut antaranya ‘Utbah, Syaibah, Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf dan Ubay bin Khalaf. Kesemuanya musuh ketat Islam sampai mati sedangkan surah ini antara yang paling terawal diturunkan di Makkah.
- Abdullah ibn Umm Maktum, seorang yang buta dan miskin. Dikatakan beliau antara yang terawal memeluk Islam dan ketika itu ingin bertanyakan tentang ayat al-Quran. Dikatakan juga beliau belum memeluk Islam tetapi tertarik kepada Islam dan menginginkan penjelasan kebenaran tentang Islam.
- Teguran halus Allah kepada Nabi menandakan Allah menunjukkan kekuatan Islam pada taqwa seseorang seperti Ibnu Ummi Maktum walaupun buta dan dipandang hina, bukan sebaliknya mereka yang zahirnya gagah dan berpengaruh namun “kosong” di sisi Tuhannya
Fenomena ‘Abasa dalam hidup
- Abasa ialah berkerut dahi secara reaksi spontan kerana berlaku sesuatu yang tidak diingini. ‘Abusan baru bermaksud bermasam muka
- Nama surah menjelaskan reaksi seseorang yang kelihatan jelas pada wajahnya selepas berlaku sesuatu yang menurut penilaian akalnya merupakan sebuah kelemahan dan kejadian yang sepatutnya boleh dielakkan.
- Ini bermakna, surah ini mendidik kita agar jangan “buta” dalam meletakkan penilaian ke atas sesuatu peristiwa. Nilailah apa yang berharga dan apa yang tidak berharga dengan neraca al-Quran, bukan neraca hawa nafsu manusia. Nabi menilai keislaman pemimpin Makkah itu besar impak pada tersebarnya Islam di bumi Makkah, namun Allah ada rencana yang lebih baik lalu diturunkan teguran yang tidak diduga kepada Nabi (menjelaskan siapa yang berharga dan siapa yang tidak berharga di sisi Allah berdasarkan pengetahuan-Nya yang Maha Sempurna ke atas makhluk-Nya sejak azali).
- Rasul SAW setelah teguran Allah itu, terus memuliakan Ibnu Ummi Maktum sebagai imam Masjid Nabawi jika Nabi pergi berperang
Adakah Nabi Salah ?
Meskipun dinisbahkan ‘abasa kepada Nabi, namun Nabi hakikatnya tidak salah.
- Pertama, Allah gunakan kata ganti nama “dia” yang menghasikan penjarakkan. Bermaksud ia bukan sifat dominan Nabi, ia situasi spontan yang tidak wajar dibesar-besarkan, seakan-akan Nabi dan sikap itu amat jauh, namun sesekali kerana sifat manusiawi, ia terjadi
- Kedua, Ibnu Ummi Maktum hadir bertanya pada waktu yang salah di majlis yang salah. Ya, dia buta namun dia boleh mendengar yang Nabi sedang berbicara.
- Ketiga, Allah menonjolkan kesempurnaan pengetahuan-Nya menerusi peristiwa ini. Ilmu Allah yang di luar dirayah dan kemampuan manusia seperti Nabi SAW iaitulah perihal hati pemimpin Makkah yang sedang diseru dan masa depan mereka kelak.
- Namun, ibrah dari Allah agar Nabi tidak terlalu mengharapkan Islam merebak cepat dengan pengislaman pimpinan Makkah berkenaan kerana hakikatnya kemenangan Islam tidaklah begitu.
- Janganlah ghairah menambah kuantiti kaum Muslimin sedangkan yang sudah Muslim dibiarkan begitu sahaja tanpa tarbiyah dan pengukuhan iman (surah Taha ayat 28 mengenai Musa yang difasihkan lidah untuk mentarbiyah Bani Israil ; يَفْقَهُوا قَوْلِي dan al Kahfi ayat 28 mengenai kesabaran dengan kaum muslimin meskipun mereka kelihatan lemah dan majoriti fakir miskin ; وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا)
BERI PERHATIAN pada “content” dakwah dan mereka yang berminat padanya, bukan “personaliti” tertentu yang tidak pun berminat dengan “content” bahkan ada kepentingan peribadi mahu bersama dakwah
- Aspek “mahu” menjadi perhatian agama ini. Dakwah mesti mengutamakan mereka yang memilih untuk mendatangimu, bukan sekadar didatangi olehmu.
- Tugasmu terus menyampaikan keagungan kalam ini. Ayat ayat ini jelas menjelaskan agungnya al-Quran ini.
- Siapa mahu dengar atau tidak, itu pilihan mereka. Sesuatu yang bernilai tidak perlu “marketer” merayu-rayu manusia untuk membeli, kekuatan produk itu sendiri akan menyebabkan ia dibeli secara automatik (metafora vaksin).
- Engkau tidak dipertanggungjawabkan dengan pilihan dan kemahuan mereka
- Fokuskan dakwah kepada semua, bukan figura figura tertentu kerana kuatnya agama ini bukan kerana mereka, bahkan kerana rencana Tuhan mereka
- Keselarian makna dengan surah al Hujurat ayat 17-18 (يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا قُل لّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلامَكُم بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ; rujuk Asbabun Nuzul)
APA MAKNA BUTA YANG SEBENAR (ayat 17-23)
- Anda tidak nampak dari mana anda datang dan ke mana anda akan pergi, tidak tahu hakikat kehidupan sebagai sebuah perjalanan
- Perjalanan yang diatur itu atas kehendak dan pengetahuan (iradat) Allah, ia tidak boleh dielakkan sebagaimana anak lahir ke dunia tidak boleh dikembalikan ke alam rahim.
SELIDIK rahsia alam ini dengan mata hati agar tidak “buta” (ayat 24-32)
- kalimah na-zha-ra ialah pemerhatian mendalam dengan mata kasar (ba-sha-ra) dan mata hati, jangan buta hakikat apa di hadapanmu dan sekelilingmu
- Alam ini bergerak step-by-step dan bukannya sekaligus, begitulah sunnatullah kehidupan dunia, ada “progress” yang perlu difahami.
- Alam ini juga memberitahu adanya kehidupan selepas kematian dengan apa berlaku selepas hujan, renungkan dan jangan buta
AKHIRAT YANG MENGGERUNKAN (ayat 33-42)
- Anda selebriti ? Orang terkenal ? Ke mana anda pergi orang kerumuni ? Hari itu semua orang lari dari diri anda sendiri dan anda sendiri tiada selebriti untuk anda bergantung harapan
- Manusia dipertanggungjawabkan atas amalannya sendiri sahaja. Mereka tidak akan menanggung urusan orang lain. ولا تزر وازرة وزر أخرى
- Hikmah penyebutan membabitkan wajah juga agar seandainya kita seorang “wajihan” iaitu terkenal di seluruh dunia atau selebriti, ingatlah rasa dihormati itu bukan segalanya kerana kelak kita akan kembali ke kubur, tiada apa yang membantu di sana dan apabila bangun nanti melainkan iman dan amal soleh seperti Ibnu Ummi Maktum. Wajah di dunia mungkin cantik, namun penghujung surah mengkhabarkan adanya keadaan wajah di akhirat yang bermasam muka dan mendukacitakan.
- Sebab itulah surah ini menyatakan bahawa hubungan kasih sayang dengan suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa dan rakan-rakan langsung tidak bermanfaat di hari Akhirat nanti kerana masing-masing hanya boleh bergantung harap pada amalan dan ketaatan yang telah dilakukan di dunia.
Memahami makna “al Kafarah al Fajarah”
- Awal surah menceritakan tentang perihal seseorang yang tidak nampak apa apa wajah di dunia. Akhir surah menceritakan tentang perihal dua wajah mereka yang dinampakkan Allah sesuatu di Akhirat.
- Surah menceritakan mengenai perihal manusia yang tidak nampak ketertinggian al-Quran, tidak nampak asal usul kejadian dan hakikat kehidupan, dan tidak nampak bagaimana makanan yang mereka makan itu sendiri sebagai bukti adanya kehidupan selepas kematian. Sungguh mereka buta !
Memahami Kaitan Alam Akhirat Dengan Wajah
- Penyebutan apa yang berlaku pada wajah Nabi SAW juga mengajar betapa rapinya catatan Allah kepada perihal seseorang semasa di dunia, semasa dia berdakwah atau dalam apa keadaannya sekalipun.
- Perkataan ‘abasa yang sama pernah dirakamkan Allah mengena Al-Walid bin Al-Mughirah iaitu surah al-Muddathir (ayat 22 ; ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ)
- Perhatikan surah ini, mendalamnya catatan Allah pada kesungguhan belajar ayat Allah pada Ibnu Ummi Maktum. Juga terperincinya catatan Allah hingga babitkan apa dalam hati manusia.
Rumusan
Surah ini menjelaskan erti sebenar buta di sisi Allah adalah mereka yang tidak nampak asal usul kejadian mereka lalu merasakan mereka sudah cukup serba serbi tanpa perlukan lagi Tuhan, Rasul dan agama.
Leave a comment