Perubahan Mesti Bermula Dari Dalam ; Tadabbur Surah Yusuf Ayat 6
Hikmah Surah Yusuf Sang Pemerintah Terunggul Mesir Bermula Dari Sebuah Rumah Kecil
- Kekadang kita mengalami kesulitan untuk berubah kerana keadaan sekeliling yang tidak membantu perubahan. Ia seperti “broken family” yang menyaksikan konflik adik beradik di sana sini. Penyakit dengki dan iri hati serta menerima sindiran saban hari dari abang abang sendiri.
- Jika itu puncanya, perhatikanlah “kepahlawanan” Yusuf itu sendiri. Keadaan “broken family” antara beliau dengan abang-abangnya tidak menghalang baginda dari menjadi raja penyelamat Mesir dan Rasul yang mulia. Kisah Baginda menukar naratif ancaman “broken family” kepada peluang membawa perubahan kepada keluarga, mengajar kita “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”.
- Nilailah seseorang itu pada keperibadiannya. Bukanlah satu keadilan jika seseorang itu dinilai berdasarkan siapa ibubapanya atau siapa adik beradiknya atau siapa suami isterinya.
- Adakah adil menilai keperibadian Nabi Ibrahim AS dengan melihat siapakah ayahnya ? Adakah adil menilai Nabi Nuh AS dan Nabi Luth AS dengan melihat siapakah isteri keduanya ? Sedangkan Ibrahim AS itu Khalilullah di langit yang ketujuh semasa malam Mikraj sudah lama berlepas diri dari ayahnya yang musyrik.
- Jika kita menunggu faktor dari luar untuk berubah, maka bagaimanakah agaknya Yusuf AS mempertahankan imannya ketika berada dikepung kekufuran penyembah أرباب متفرقون dan non Muslim di Mesir ? Mampukah Yusuf AS terus berbakti kepada rakyat Mesir ketika baginda dikhianati banyak pihak dari orang Mesir sendiri, dari isteri al Aziz hinggalah teman sepenjaranya sendiri ? Allah jualah yang memelihara iman Yusuf ( Surah Yusuf ayat 22 ; آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ) sebagaimana Allah yang sama memelihara iman ahli-ahli sihir Firaun ketika diancam bunuh.
- Sebab itulah jugalah Yusuf AS berusaha gigih untuk mendatangkan abang-abangnya ke Mesir dan membantu perubahan diri mereka ( Surah Yusuf ayat 100 ; إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ وَجَاءَ بِكُم مِّنَ الْبَدْوِ ). Bekerja secara berkumpulan lebih membantu sikap istiqamah dari kekal duduk bersendirian ( Surah Yusuf ayat 101 ; وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ dan ayat 107 ; أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي ).
- Semuanya mesti bermula dari kesungguhan dari dalam (INSIDE-OUT) untuk beriman meskipun ditentang orang tua sendiri dan kemudiannya berusaha mencari jalan untuk mempertahankannya seperti menyertai kumpulan orang orang yang beriman. (Ayat 15 Surah Luqman ; وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَى أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ )
- Ketika Ikrimah RA bin Abu Jahal dan istrinya hampir tiba di kota Makkah selepas pembukaan Makkah, Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat, “Ikrimah bin Abu Jahal akan datang ke tengah-tengah kalian sebagai Mukmin dan Muhajir. Kerana itu, janganlah kalian memaki ayahnya. Sebab memaki orang yang sudah meninggal bererti menyakiti orang yang masih hidup. Padahal makian itu tidak terdengar oleh orang yang sudah meninggal dunia.”

Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
29 Muharram 1443 H
Leave a comment