MENGAPA BICARA MENGENAI HARI KIAMAT, TIBA-TIBA BERALIH KEPADA BICARA MENGENAI PERKATAAN DAKWAH YANG LEBIH BAIK ?

Kebanyakan kitab-kitab tafsir tidak menghubungkan antara ayat 53 surah al-Isra’ dengan ayat-ayat sebelumnya. Seakan-akan ia satu naratif baru sedang dibina tanpa kaitan dengan isu-isu sebelumnya.

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang lebih baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. (Al-Israa’, 17 : 53)

Namun demikian, penulis kitab dua jilid bertajuk تأويل مشكلات التناسب في القرآن الكريم tidak melihat sedemikian.

Bahkan jelas ayat 53 mempunyai kaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Ketidakmampuan para ulama terdahulu menemui atau mengungkapkan keterkaitan itu bukanlah kerana ayat itu sememangnya “terputus” terus dari ayat-ayat sebelumnya. Dasar ilmu munasabah ayat sememangnya wujud untuk meleraikan kekusutan itu sehingga bertaut indah setiap ayat-ayat Allah yang kelihatan “melompat-lompat” topiknya.

Menurut Prof. Dr. Muhammad Ibrahim Abdul Aziz Shadi (2021), munasabah ayat ini ialah dengan ayat 49 dan seterusnya iaitu perihal membalas ucapan biadap musuh dengan ucapan daie yang lebih baik

وَقَالُواْ أَئِذَا كُنَّا عِظَامًا وَرُفَاتًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا

Dan mereka berkata: “Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kita akan dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?” (Al-Israa’, 17 : 49)

Ia bertujuan supaya kaum yang kafir itu tidak kekal bermusuh dengan kebenaran hanya kerana tindakan pendakwah membalas makian dengan makian.

Perhatikanlah perkataan yang dituturkan kepada musuhmu wahai pendakwah supaya tidak menyebabkan dia kekal dalam kekufuran, bahkan alihkanlah sedikit demi sedikit sehingga dia mendekati Islam.

Jika tidak dengan perkataanmu, alihkanlah dengan akhlakmu. Menjadi kemahuan syaitan untuk engkau membalas kebencian mereka dengan kebencian hingga tidaklah bertambah dari mereka melainkan kejauhan disebabkan sikap atau perkataanmu yang sama sahaja dengan sikap dan perkataan mereka.

Prof. Shadi menambah lagi bahawa ayat 53 ini mempunyai kaitan dengan ayat 23 sebelumnya lagi iaitu melatih diri terlebih dahulu membalas ucapan ibubapa dengan sebaik-baik balasan walau tingkahlaku dan ucapan mereka kurang menyenangimu, apatah lagi memerangi aqidahmu sendiri.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Al-Israa’, 17 : 23)

Prof. Shadi menambah lagi, antara kehalusan bahasa di sini ialah penggunaan عبادي yang tidak terbatas hanya kepada orang beriman.

Dengan melihat mereka yang belum beriman juga sebagai “hamba-hamba Allah”, ia menghasilkan kelembutan dalam bicara dan kasihan belas pada perilaku mereka yang seperti kebudak-budakan.

Maka dengan ungkapan dakwah yang baik itulah, ia boleh menatijahkan Allah merahmati mereka dengan hidayah dan taubat sebagaimana pada ayat seterusnya. Ini yang ungkapkan al-Tha’alabi dalam tafsirnya al-Jawahir al-Hisan.

رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِكُمْ إِن يَشَأْ يَرْحَمْكُمْ أَوْ إِن يَشَأْ يُعَذِّبْكُمْ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ وَكِيلاً

Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka. (Al-Israa’, 17 : 54)

Apakah ungkapan balas yang “ahsan” berkenaan jika kafir mendatangkan perkataan yang menyakitkan ?

Sebagaimana diungkapkan dalam tafsir Abi Hatim dari Ibnu Siirin bahawa kalimah yang lebih baik apabila menghadapi kalimah biadap orang-orang kafir ialah “La Ilaha Illa Allah”, atau “يرحمك الله ويغفر الله لك” sebagaimana diungkapkan dalam tafsir Ibnu Jarir al-Thabari dari al-Hasan.

Allah SWT sendiri telah menunjukkan sikap rahmah ini sejak dari ayat 8 iaitu ketika mengulas mengenai kerosakan Bani Israil di masa hadapan.

عَسَى رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَافِرِينَ حَصِيرًا

Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat). (Al-Israa’, 17 : 8

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
https://b.my/syaariabrahman
Tadabbur Surah al Isra’ Untuk Kemenangan (TASIK)
Siri 12
13 Muharram 1443 H

Terima kasih Maktabah Al-Ikhlas II kerana menguruskan pembelian kitab ini. Barakallah fikum

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started