SEGMEN TADABBUR IKIMFM

IKIMfm
Terbitan Puan Ummu Furqan NorhayatiParadi
Surah al Zalzalah

  1. Nama surah berasal dari kalimah “Zallah” ( زَلَّة ) iaitulah keadaan kaki terketar-ketar dengan tidak pun disengajakan, akibat dari faktor yang bukan berpunca dari dalam tubuh atau gangguan di otak.
  2. Zalla ( زَلَّ ) ialah keadaan seseorang yang tidak boleh berdiri dengan stabil, tetapi bukan kerana mabuk (al-Asfahani).
  3. Pengulangan “Zal” menjadi “Zal-Zal” dalam bahasa Arab menggambarkan tidak berhentinya keadaan gempa itu terjadi, berlaku untuk tempoh yang panjang. Ia menggambarkan kegoncangan Kiamat itu tiada hentinya sehingga manusia tiada tempat untuk melarikan diri akibat dari kesemua tempat mengalami kegoncangan dan gegaran tanpa satu lokasi pun terkecuali.
  4. Penggunaan “Al” (alif lam ma’rifah) pula pada “Zalzalah” bermakna itulah goncangan yang khusus, yang sekali sahaja, yang tiada tara dan bandingannya, ia tidak pernah bergoncang sebegitu sebelum ini dan tidak akan berulang lagi kegoncangan sebegitu pada masa akan datang. Sekali itu sahaja, lalu manusia dihantar terus ke alam Akhirat!
  5. Ha pada “Zilzala-ha” bermakna akan bergoncang dengan satu goncangan yang bumi semenangnya berhak ke atas goncangan itu, yang memang selayaknya dilakukan oleh bumi selama ini. Ia menggambarkan sudah lama bumi memohon izin untuk melakukan kegoncangan itu, namun tidak diizinkan Tuhan. Akhirnya di masa Kiamat, bumi akan jadi seumpama tubuh manusia yang tertelan makan basi atau beracun, lalu keadaan sakit perut itu mendorong tubuh memuntahkan semula makanan perosak berkenaan. Habis semua mayat-mayat kafir dimuntahkan semula ke atas muka bumi.
  6. Nama surah mengisyaratkan temanya iaitu menjelaskan kegoncangan Kiamat dan kesannya pada kegoncangan hati-hati manusia semasa di padang Hisab. (Umat Hasan Arafat)
  7. Awal surah mengenai Allah menggoncangkan bumi sebagai detik bermulanya hari pengadilan Allah, manakala akhir surah mengenai Allah sendiri membuat pengadilan sehingga sebesar besar zarah.
  8. Awal surah mengenai sebesar-besar bumi digoncangkan dengan mudahnya oleh Allah SWT. Akhir surah mengenai sekecil-kecil zarah perbuatan manusia sekalipun akan dihisab dengan mudahnya oleh Allah SWT.
  9. Surah ini bermula dengan kejutan kerana melihat gempa bumi yang dahsyat, surah ini berakhir dengan kejutan kerana melihat amalan sendiri.
  10. Kalimah “Al-Kitab” menurut al-Quran ada dua konteks. Al-Kitab (al-Quran) yang pertamalah menentukan al-Kitab (buku catatan amal) yang kedua. Surah sebelumnya iaitu al-Bayyinah menghuraikan makna al-Kitab yang pertama (di dunia) dan surah ini menghuraikan makna al-Kitab yang kedua (di Akhirat).
  11. Ayat pertama surah ini sudah cukup untuk menyebabkan anda melepaskan hati dan kecintaan anda dari muka bumi dan segala yang mempesonakan di atasnya, kerana gegaran dahsyat itu sedang dirasakan dari segenap arah sehingga anda perlu melarikan diri hanya kepada Yang Maha Gagah! (Syed Qutb)
  12. Surah ini bermula dengan tiada satu inci muka bumi pun akan terkecuali dari berlakunya kegoncangan dahsyat hari Kiamat. Di tengah-tengah surah ini pula memaparkan bagaimana bumi akan menjadi saksi setiap apa yang berlaku di atas permukaannya sama ada dari pelaku kebaikan atau pelaku kemaksiatan. Di hujung surah pula bercerita mengenai setiap seorang tanpa terkecuali akan mengalami hisab dan menyaksikan setiap satu amalannya di dunia.
  13. Ada sebab Ibnu Umar RA sering berpindah tempat apabila beliau mahu melakukan solat sunat selepas solat fardhu. Inilah juga pesan al Imam al-Nawawi RH agar memperbanyak tempat sujud agar lebih banyak saksi di atas muka bumi pada kebaikan kita lakukan.
  14. Jika Youtube adalah teknologi terkini makhluk yang boleh menyimpan segala perbuatan yang telah berlalu kemudian boleh dimainkan semula pada bila-bila masa, apakah Allah al-Khaliq SWT tidak mampu melakukan sedemikian yang jauh lebih hebat  ? Subhanallah.

Wallahu a’lam

https://b.my/syaariabrahman

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started