AYAT AL-QURAN BUKAN JAMPI

Maaf jika saya menegur. Tidak salah membaca ayat-ayat tertentu untuk atasi masalah tertentu. Namun, apabila terlalu ramai “share” tanpa sebarang komentar, dibimbangi ia seolah-olah menggambarkan itulah satu-satunya “tafsiran” ayat tersebut, maka saya kurang selesa.
.
.
PERTAMA, ayat-ayat al-Quran diturunkan untuk kita TADABBUR (memerhatikan makna yang sebenar dengan pemerhatian yang mendalam) kerana makna kepada sesuatu ayat sangatlah banyak kerana Allah sendiri menyebut مبارك (berganda-ganda makna dan manfaat).
.
.
Maka memandang satu ayat sebagai ayat yang mempunyai kelebihan itu dan ini atau membentuk hanya satu cara pandang masyarakat kepada makna satu ayat adalah tindakan membataskan apa yang diluaskan Allah SWT sendiri kepada hamba-Nya.
.
.
Maka itu bukanlah adab membaca kalam Allah yang bermukjizat, yang mengalami proses yang tidak mudah ketika ia turun perlahan-lahan selama 23 tahun ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم
.
.
Antara adab tadabbur agar al-Quran menjadi hidayah kepada kehidupan kita, apabila melalui sesuatu ayat yang sudah “viral” kelebihan-kelebihannya, maka kita yang membacanya bersihkan dahulu minda dan hati dari bersangka “ayat ini untuk dapat jodoh” atau “ayat ini elak suami curang” dan pelbagai lagi.
.
.
Ini kerana boleh jadi proses tadabbur yang mendalam kepada ayat tersebut akan memberitahu kita pengajaran yang jauh lebih besar dari khususiyat tertentu mengenai ayat tersebut yang kita pernah dengar.
.
.
KEDUA, apabila membaca sesuatu ayat, jangan baca dari tanda tertentu atau dari ayat tertentu sahaja kerana kita mungkin akan jumpa MASALAH SEBENAR kita di dunia ini pada ayat-ayat sebelum atau ayat-ayat lain. Bahkan konteks ayat yang “viral” itu akan lebih difahami jika dibaca dari awal surah.
.
.
Masalah rumahtangga sama ada dengan pasangan atau dengan anak memerlukan kita merujuk pakar-pakar yang mahir dan berpengalaman dengan bidang tersebut sebelum dibacakan ayat-ayat tertentu yang difikirkan berkesan berdasarkan pengalaman para ulama.
.
.
Semoga Ramadhan yang baru berlalu tidak menyebabkan kita hanya membelek al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja, atau di lokasi-lokasi tertentu sahaja, atau halaman-halaman dan ayat-ayat tertentu sahaja.
.
.
Semoga Ramadhan tidak menyebabkan kita hanya membelek al-Quran hanya kerana masalah-masalah yang kita nampak depan mata sehingga kita terlupa ada masalah lebih besar yang kita tak nampak depan mata iaitulah masalah hubungan kita dengan Allah.
.
.
Al-Quran seharusnya dibaca untuk meningkatkan kehambaan kita pada-Nya. Dengan orbit ini, apa jua masalah kita, Allah pasti membantu.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started