Permulaan perjalanan Zulqarnain bermula secara “horizontal” sama ada ke Barat atau ke Timur. Perjalanan beliau dalam al Kahfi berakhir secara “vertikal” iaitu ke pergunungan. Hentian pertama dan kedua memerlukan jalan ke depan. Hentian ketiga memerlukan jalan ke atas, sebuah pendakian untuk membina tembok perlindungan kepada mereka di bawah.
Bermula dengan “horizontal” barangkali mengisyaratkan hubungan sesama manusia yang menjadi perhatian besar Zulqarnain. Hentian pertama, kezaliman dicantas di tempat terbenam matahari. Hentian kedua, kebajikan terserlah di tempat penduduk primitif yang antara mereka dan matahari terbit tiada sebarang penghadang.
Berakhir dengan “vertikal” barangkali mengisyaratkan hubungan dengan Allah sepenuhnya selepas hubungan manusia disempurnakan dengan pembinaan tembok besi bersalut tembaga. Pengakhiran ucapan Zulqarnain dengan lafaz هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي benar benar mengingatkan kita kepada ayat terakhir surah al-Syarah iaitu وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب yang menegaskan hubungan “vertikel” (hablum minallah) selepas “horizontal” (hablum minan naas) iaitu فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ.
Saya percaya apa yang didahulukan al-Quran ada hikmah, apa yang dikemudian al-Quran ada hikmah, termasuklah dalam perihal mana dahulu lokasi dituju Zulqarnain dan mana yang dikemudiankan menurut al-Quran. Ia bukan sekadar paparan fakta yang sebenar mengenai legasi siasah Zulqarnain, bahkan punyai mesej ibrah yang halus kepada kita.
Surah al-Kahfi sendiri menekankan usaha amar makruf nahi mungkar di peringkat domestik dan realistik dahulu, barulah peringkat antarabangsa dan global. “Think globally, act locally”. Ini terserlah dengan surah ini mendahulukan usaha seorang individu bernama Khadir mencegah kezaliman di tiga hentian sebelum dimunculkan kisah Zulqarnain mencegah kezaliman di penjuru-penjuru dunia. Usaha menjemput kemenangan berskala besar memerlukan usaha melakukan sesuatu berskala kecil.
Sebelum surah al-Kahfi, surah al-Isra menjelaskan hikmah namanya menerusi ayat 1. Sebuah perjalanan “horizontal” ke Baitulmaqdis, perlantikan Baginda SAW sebagai imam di sana, simbolik risalah Baginda bakal menegakkan keadilan dan kemanusiaan seantero dunia menerusi pemerintahan dari dua masjid. Dan dari Masjidil Aqsa itu jugalah bermulanya perjalanan “vertikel” dan spiritual Baginda sepenuhnya mendaki tujuh petala langit.
Bahkan perhatikan surah al-Isra’, Allah mendahulukan pesan-pesan membabitkan berlaku baik kepada manusia, dari mendoakan ibubapa hinggalah kepada jangan berjalan sombong di hadapan rakyat jelata. Perhatikan ayat 23 hingga 39. Kemudian sejak ayat 78, barulah surah menekankan aspek spiritual dengan agenda solat fardhu, tahajjud, doa, al-Quran, wahyu, al-Ruh, dan keagungan wahyu.
Nabi sendiri sejak turunnya surah al-Isra’, sememangnya bercita-cita besar untuk umatnya sampai di sana sebagai penguasa tanah “Tin dan Zaitun” dan pembuka Masjidil Aqsa yang melebarkan keberkatan dan kebaikannya kepada seluruh Bani Adam. Namun Baginda sangat realistik dengan membina kekuatan Madinah dahulu dengan gagasan ayat 23 hingga 39 surah al-Isra’ berkenaan.
Mereka yang bersikap “tunggu sahaja Imam Mahdi turun” tanpa melakukan apa-apa islah kepada negeri ini dan negara ini, perlu berfikir dua tiga kali sebelum kekal dengan pendirian ini. Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
4 Zulqaidah 1442 H

Follow & share 👇
FB : https://www.facebook.com/syaariabrahman
IG: https://www.instagram.com/syaariabrahman/
Telegram: https://t.me/syaariabrahman
Twitter: https://twitter.com/syaariabrahman
TikTok : http://www.tiktok.com/@syaariabrahman
Shopee : https://shopee.com.my/paradigmaibrah
Website : http://www.abufarahi.school.blog
Youtube : https://youtube.com/c/SyaariAbRahman
Leave a comment