AL-QURAN DAN PROSES PEMBINAAN GENERASI DALAM SURAH AL-ISRA’ DAN “JIRAN-JIRAN”NYA

Analisa ini berasaskan kaedah Munasabah surah al-Isra dengan kumpulan ketiga surah-surah al-Quran (surah Yunus hingga al Nur, menurut kajian Amin Ahsan Islahi)

Menurut Amin Ahsan Islahi, al-Quran terbahagi kepada tujuh bahagian. Setiap bahagian bermula dari surah Makkiah dan berakhir dengan surah Madaniah. Islahi meyakini surah al-Hijr (ayat 87) bukan sekadar surah al-Fatihah, bahkan al-Quran itu sendiri “tujuh (bahagian) yang berulang”.

Pohon ketiga mempunyai 15 surah iaitu 14 surah Makiyyah dan berakhir dengan surah Madaniyyah iaitu surah al-Nur. Surah al-Hajj ialah surah yang dikatakan sebahagian daripadanya turun di Makkah dan sebahagian lagi turun di Madinah. Antara surah-surah “kunci” untuk memahami tema pohon ketiga ini ialah surah Yusuf yang berbicara mengenai kemenangan Nabi Yusuf a.s. atas saudara-saudaranya dan surah al-Kahfi yang berakhir dengan kisah kekuasaan Zulqarnain ke seluruh dunia.

Mengambil sudut pandang Islahi ini, penulis mendapati bahagian atau “pohon” ketiga al-Quran iaitu dari surah Yunus (10) hingga surah al-Nur (24) bertemakan berita gembira janji Allah memberikan kemenangan, khilafah dan membina zuriat dan generasi pelapis yang berkualiti.

Di celah-celah bahagian ketiga inilah, surah al-Isra’ muncul dengan segala keunikan mesej dan keajaiban al-Quran disampaikan !

10. Surah Yunus : memaparkan tiada yang beriman kepada ajaran Musa melainkan zuriat anak-anak iaitu para pemuda Qibthi atau Bani Israil (ayat 83)

11. Surah Hud :

  • ayat 42 : memaparkan seorang anak Nabi Nuh tidak beriman kepada ajaran Nabi Nuh. Ayat 3 surah al-Isra’ memberi isyarat Bani Israil yang mendabik dada mereka dari keturunan Sam bin Nuh, mereka tidak mewarisi keimanan Sam sebagai zuriat yang beriman dengan risalah ayahnya. Bahkan Bani Israil mewarisi kekufuran Kan’an yang tidak menaiki bahtera
  • ayat 71 : Nabi Ibrahim dikurniakan Ishak dan cucunya Ya’qub yang akan menjadi keturunan para anbiya Bani Israil yang dimuliakan Allah kerana ketaqwaan dan kesolehah mereka
  • ayat 78 : Nabi Luth mencadangkan anak perempuannya untuk dinikahi atau menyarankan agar wanita dinikahi dengan mengambil anak-anak wanitanya sebagai simbolik kepada kembali kepada fitrah sekiranya kaumnya bertaubat dan beriman.
  • ayat 81 : isteri Nabi Luth tidak beriman dan dimusnahkan Allah bersama dengan kaum tidak bercita-cita untuk mempunyai anak dan generasi. Allah musnahkan mereka kerana mereka kaum yang memperkenalkan maksiat homoseksual dan mengharamkan pelahiran zuriat dari hubungan sejenis yang terjalin
  • ayat 91 : Nabi Syuaib tidak diapa-apakan kerana pengaruh besar keluarganya dengan pemimpin Madyan. Hubungan yang baik dengan orang tuanya sendiri tidak menghalang Baginda dari tegas dengan perkara salah dalam keluarganya

12. Surah Yusuf : dari awal hingga akhir dipaparkan soal perjuangan seorang ayah dan adik untuk mengubah sikap 10 orang anak-anak Ya’qub (Bani Israil) agar mereka menjadi sebagaimana diwahyukan Allah dalam mimpi Yusuf. Ia adalah proses membina generasi yang mengambil masa yang lama dan strategi yang amat bijaksana. Satu persatu penyakit jiwa kalangan ikhwah Yusuf diwarisi oleh Yahudi Bani Israil yang perosak pada waktu ini

13. Surah Al-Ra’du :

  • ayat 4 : memaparkan proses pembinaan generasi dengan wahyu dari langit seperti proses pembenihan pokok menerusi air hujan dari langit, ia mengambil masa dan perlu patuhi sunnatullah
  • ayat 17 : generasi “buih” akan tumbang walau awalnya nampak gah dan generasi bawa kebenaran akan bertahan dan menang
  • ayat 23 : penyatuan ayah ibu dan zuriat masing-masing yang bertaqwa di Syurga

14. Surah Ibrahim (ayat 24, 39, 41) : memperjelaskan lagi proses pembinaan generasi seperti membenihkan pokok dan ia mengambil masa sebagaimana lamanya Ibrahim menanti dan meraih Ismail dan Ishak. Ibrahim sendiri kekal sebagai anak yang mendoakan pengampunan kedua-dua ibubapanya dan orang-orang beriman. Penggambaran kisah zuriat yang soleh dari surah Ibrahim.

15. Surah Al-Hijr (ayat 47, 33, 53, 71) : memaparkan orang-orang beriman akan menjadi adik beradik di Syurga, lalu bukankah sikap itu sebaiknya dipupuk sejak di dunia. Merasakan kita lebih baik dari “adik” kita adalah sikap Iblis dalam surah ini dan sikap saudara-saudara Yusuf di awal kisah. Surah ini juga paparkan Nabi Ibrahim akan mendapat anak ghulam yang sangat tinggi pengetahuan semasa masih kecil. Sebagaimana surah Hud, isteri Nabi Luth dan anak-anak perempuannya diceritakan lagi.

16. Surah Al-Nahl (ayat 10, 120) : Dipaparkan kisah lebah yang meninggalkan legasi yang baik kepada manusia sebagaimana Nabi Ibrahim diumumkan sebagai “ummah” (ayat 120) kerana ke Baitulmaqdis atau Makkah, kedua dua lokasi menyaksikan legasi Bani Ishak dan Bani Ismail. Hujan selepas guruh memunculkan banyak kebaikan, namun ia mengalami peraturan alam dan masa yang panjang, tidak berlaku dalam sehari dua. Demikianlah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kejayaan membina generasi.

17. Surah Al Isra’ (ayat 3, 6, 64) : mengemukakan pelan membina generasi pembukaan Palestin yang mesti bermula dari rumah dan dari melakukan kebaikan kepada ibubapa mereka (ayat 24). Penyebutan “zuriat” Nabi Nuh mempunyai kaitan dengan sikap Yahudi yang berbangga-bangga dengan Sam bin Nuh sedangkan Sam itu sendiri beriman dan mewarisi kesyukuran ayahnya, Nabi Nuh (ayat 3). Dipaparkan penyakit Bani Israil moden yang berbangga dengan anak-anak yang ramai (ayat 6).

18. Surah Al Kahfi : bermula dengan kisah fityah iaitu anak anak yang menjadi pertaruhan masa depan ayah mereka namun demikian mereka mengambil aliran berbeza dengan memilih iman (ayat 13), anak muda yang belajar dengan bermusafir bersama Nabi Musa (ayat 60), kanak-kanak yang terbunuh kerana Allah mahu selamatkannya dan ibubapanya dari menjadi kafir (ayat 81), dua anak “ghulam” yang miskin namun ditinggalkan harta berharga di masa depan oleh ayah mereka yang soleh (ayat 82).

19. Surah Maryam : memaparkan babak ayah yang mahukan anak iaitu Nabi Zakariyya dan Yahya (ayat 6), ibu melakukan apa sahaja demi anak dan anak melakukan apa sahaja demi maruah ibunya (ayat 32) iaitu kisah Maryam dan anaknya Isa. Penyebutan Maryam sebagai “saudara perempuan Harun” juga menarik dari perspektif kebersamaan lelaki dan wanita dalam ketaqwaan. Kemudian kisah anak yang berusaha membawa Islam kepada ayahnya dengan penuh adab santun (ayat 47) dan kisah zuriat baginda yang terpilih memakmurkan alam ini dengan lidah kebenaran (ayat 50-51). Kemudian kisah Musa dikurniakan Harun sebagai rakan seperjuangan kerasulan (ayat 53), Nabi Ismail memelihara keluarganya dengan solat dan zakat (ayat 55). Penyebutan nabi-nabi sebagai zuriat Adam dan zuriat Ibrahim dan Israil iaitu Yaaqub (ayat 58) menjelaskan lagi rantaian kebaikan tidak akan putus untuk memberi rahmat kepada alam ini. Semua manusia mahu anak sedangkan Allah tidak perlukan anak (ayat 92)

20. Surah Taha : memaparkan babak Nabi Musa bersama isteri dan anak-anaknya di Lembah Thuwa (ayat 10), Musa meminta abangnya membantu kerana dia ada kelebihan yang tiada pada dirinya (ayat 29-30), Musa diberitahu peranan dimainkan ibunya (ayat 38) dan kakaknya (ayat 40) sehingga membawa dia masuk ke dalam istana Firaun. Juga kisah Nabi Musa memarahi abangnya akibat perbuatan Samiri (ayat 92-94). Dipaparkan kisah suami isteri bapa ibu kepada manusia, Nabi Adam dan Hawa diperingatkan Allah mengenai musuh yang sama (ayat 117, 121) serta adanya perintah solat berjamaah untuk Nabi SAW mengingatkan pada ahli keluarganya (ayat 132)

21. Surah Al Anbiya : dipaparkan kisah dua beradik berjuang bersama iaitu Musa dan Harun (ayat 48). Kemudian kisah Nabi Ibrahim menghadapi ayahnya sendiri yang kafir (ayat 52) dan kaumnya sehingga kaumnya memperlekehkan baginda sebagai “anak muda” yang terlalu bersemangat sehingga tidak memerhatikan akibat perbuatannya (ayat 60). Kisah baginda menjadi kisah paling panjang dalam surah ini kerana baginda bapa para anbiya Bani Israil darinya anaknya Ishak (ayat 72). Kisah perkaderan dan pentarbiyahan dilakukan Nabi Daud sehingga anaknya Nabi Sulaiman punya cara fikir yang berbeza dari ayahnya dan mendapat pujian dari Allah (ayat 78-79). Dipaparkan pula kisah Nabi Ayyub yang dikembalikan keluarga dan anak-anaknya ke pangkuannya (ayat 84), Nabi Zakariya meminta diadakan pewaris dari kenabiannya (89-90), diakhiri dengan kisah Maryam dan anaknya dalam surah Anbiya menutup tirai surah ini.

22. Surah Al Hajj : surah bermula dengan kisah ibu yang keguguran anak dan anak kecil pula jadi tua akibat dari melihat Kiamat terjadi di hadapan mata (ayat 2). Dipaparkan pula tanda-tanda kekuasaan Allah pada proses penciptaan dan kelahiran manusia (ayat 5). Kemuncaknya, Nabi Ibrahim pembina Baitullah bersama anaknya diumumkan baginda bukan sekadar ayah Ismail, bahkan ayah kepada umat Islam seluruhnya (ayat 78)

23. Surah Al Mukminun : Ciri penghuni syurga Firdaus memberi penekanan kepada pembinaan keluarga dengan ayat mengenai menjauhi perzinaan lebih terperinci untuk memelihara keturunan. Dipaparkan juga kisah Nabi Nuh membawa naik sepasang jantan dan betina bagi setiap spesis untuk (ayat 27) mengekalkan generasi haiwan yang tiada kena mengena atau wajar dimangsakan banjir besar yang disasarkan Allah kepada manusia yang kafir. Penyebutan “anak Maryam dan ibunya” menjelaskan eratnya hubungan antara ibu dan anak (ayat 50)

24. Surah Al Nur : Papar bahaya qazaf dan fitnah ke atas orang beriman kerana ia menggugat institusi perkahwinan. Juga diperincikan hukum hakam membabitkan kanak-kanak yang sudah aqil baligh agar mereka membesar sebagai sebuah generasi yang beriltizam dengan agama ketika berurusan dengan ibubapa mereka (ayat 59)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started