Palestin untuk anak-anak, dari pintu mana kita mahu anak-anak masuk. Pintu boikot? Pintu nasyid-nasyid al Quds? Pintu derma kilat? Indoktrinasi? Generalisasi? Video pengeboman?
Diskusi yang sangat baik dikendalikan Dr Hazwani bersama ustaz Hasrizal Abdul Jamil My Learning Journey dan moga lebih banyak percambahan topik sebegini diadakan.
Banyak yang mahu dinotakan dengan ayat saya sendiri dari point-point ustaz. Namun memadailah saya kongsikan sebahagian kecil isu yang dibincangkan. Selebihnya tuan puan boleh menonton dan menelaahnya sendiri, inshaallah.

- Perjuangan membela Palestin tidak boleh bersifat reaktif dan mestilah bernafas panjang. Jangan tunggu pengeboman dan pembunuhan besar besaran berlaku, baru kita bersuara dan bersemangat.
- Tidak perlu melaga-lagakan antara mazhab “Palestin isu aqidah” dengan mazhab “Palestin isu kemanusiaan” kerana setiap mazhab ada asas masing-masing. Ajaklah semua mazhab untuk bersatu menyokong perjuangan Palestin tanpa perlu menunjukkan satu kumpulan lebih baik dari satu kumpulan lain.
- Perbezaan isu Palestin kali ini ialah ia bukan lagi peperangan fizikal, bahkan peperangan digital. Manusia tidak lagi bergantung kepada CNN, BBC dan kaca TV. Sejauhmana anak-anak kita bersedia dengan peperangan propaganda di TikTok dan Twitter ? Mampukah anak-anak menyaring antara maklumat yang benar dan maklumat yang tidak benar ?
- Antara cabaran ibubapa mendidik anak-anak isu Palestin ialah bagaimana mengurus kemarahan kepada regim dengan “qaulan sadidan” iaitulah perkataan yang sampai kepada tujuan, tidak meleret-leret dan meninggalkan kesan sampingan yang tidak baik menghalang sasaran memahami mesej yang mahu disampaikan.
- Sebelum anak-anak, semua mesti bermula dari komitmen ibubapa itu sendiri kepada akhlak yang baik dan “mindfulness” dengan setiap yang diucap dan dibuat. Barangkali di sinilah tepatnya pesan Umar al Khattab RA pembuka pertama Masjidil Aqsa ketika menekankan taqwa dalam peperangan dalam suratnya kepada panglima Saad bin Abu Waqqash RA. Taqwa bukan hanya menjaga syariat Allah dalam peperangan, bahkan menjaga lidah dan akhlak di hadapan musuh. Al-Quran sendiri cermat memilih perkataan dengan membezakan kalimah “Yahudi” dan “Bani Israil”, lalu adakah kita sudah cermat memilih perkataan yang menyampaikan “subtance” dan makna kepada musuh kita ?
- Kita muslim sudah tahu apakah noktah akhir kepada isu Palestin ini menurut surah al-Isra’ iaitu kemenangan. Namun kemenangan itu tidak datang bergolek. Ada kerja perlu dibuat. Ada sejarah perlu dirujuk. كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ merupakan empat kalimah dari ayat 7 surah al-Isra’ menegaskan kepentingan merujuk generasi terdahulu yang diizinkan Allah membuka Palestin dan memasuki Masjidil Aqsa.
- Didiklah anak menerusi isu Palestin agar anak-anak mengambil berat isu kemanusiaan di seluruh dunia, bukan hanya di Palestin dan bukan hanya membabitkan umat Islam. Bahkan isu kemanusiaan boleh berlaku di hadapan mata anak-anak, di tanah air mereka sendiri Malaysia.
Kita menyangka kesedaran anak anak begitu tinggi kepada isu Palestin satu perkara yang baik. Namun adakah kesedaran anak-anak itu melorong atau berjaya dilorongkan ibubapanya kepada kesedaran mengenai keadilan, hak asasi, hak dikasihi dan dihormati, hak bersuara dan memberi pandangan berbeza, hak sebagai seorang manusia bernama Bani Adam yang dimuliakan Tuhan, bermula di sekolah itu sendiri.
Sebagaimana anak-anak benci penduduk Palestin dibuli tentera Zionis, sebagaimana itulah seharusnya anak-anak mesti membenci perbuatan buli di sekolah mereka. Sebagaimana anak-anak membenci penduduk Palestin dihalau keluar oleh penjajah dari tanah air dan kediaman mereka sendiri, sebagaimana itulah anak-anak mesti membenci perbuatan “penjajah” yang membunuh habitat haiwan-haiwan atas nama pembangunan dan pemodenan.
- Lama sudah saya bertanya soalan ini. Mengapa selepas Allah beri khabar gembira kemenangan Islam di Palestin dalam surah al-Isra’ (ayat 7), tiba-tiba surah ini mengalih perhatian kepada agenda pembinaan akhlak kaum Muslimin (ayat 23-39). Apa kena mengena kemenangan di Palestin dengan “orang Islam seluruh dunia kena jadi baik”. Di hujung sesi ini, ustaz Hasrizal menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran saya sehingga jelas makna “penyatuan” Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa dalam sejarah Islam yang panjang. Alhamdulillah wa barakallah fihi.
- Penyakit hati yang diberi perhatian oleh surah al Isra ialah penyakit ‘uluww dan takabbur. Penyakit merasakan bangsa kami lebih mulia dari bangsa kamu, kumpulan kami lebih mulia dari kumpulan kamu. Penyakit inilah telah membawa Bani Israil ke lembah kehinaan dan kemusnahan. Didiklah anak-anak untuk hapuskan penyakit hati ini supaya jangan jiwa “Zionis” itu membenih sebagai bom jangka dalam hati kita dan anak-anak kita tanpa kita sedari.
- Panduan dari https://teachpalestine.org untuk membina perbincangan dengan anak anak mengenai Palestin.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
12 Syawal 1442 H
Pautan sesi “Mendidik Anak Mengenai Palestin : Peranan Rumah dan Sekolah” ada di laman Yayasan Pendidikan Khalifah atau klik sini.
Leave a comment