BERITA GEMBIRA MASA DEPAN PALESTIN DARI AYAT 7 SURAH AL-ISRA’

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لأَنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ لِيَسُوؤُواْ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُواْ الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا

Terjemahan : Jika kamu (Bani Israil) berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (al-Aqsa di BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. (Al-Israa’, 17 : 7)

“Sesungguhnya pembukaan Masjidil Aqsa yang pertama semasa peristiwa al-Isra’ ialah pembukaan rohani oleh Rasulullah SAW sendiri. Ia pembukaan simbolik pada kekuatan baru dakwah Islam. Pembukaan pada zaman Khalifah Umar pula ialah simbolik kekuatan politik dan ketenteraan kaum Muslimin pada waktu itu. Manakala pembukaan terakhir yang akan berlaku kelak akan disusuli dengan kemusnahan total segala apa yang dibina dan diasaskan Yahudi dengan dasar kesombongan dan kerosakan. Ia adalah kehancuran seluruh kekuatan politik, kekuatan ketenteraan dan kekuatan ekonomi mereka.” (Dr. Ahmad Nawfal, Tafsir Surah al Isra’, hal 193)

“Pada ayat ini terdapat khabar gembira bahawa kaum Muslimin akan kembali berkuasa di Palestin. Hal ini hanya akan terjadi apabila kaum Muslimin kembali memiliki kesedaran untuk kembali kepada manhaj Islam dan jalan yang lurus. Kita akan memasuki Masjidil Aqsa kali kedua apabila kita masuk sepenuhnya ke dalam manhaj Tuhan kita selepas kita terkeluar darinya. Kemasukan kedua ini merupakan kemasukan terakhir dan Yahudi tidak akan kembali mendapat kemenangan sama sekali.” (Tafsir Al-Sya’rawi, Jilid 8, terjemahan Duta Azhar, hal 36-38)

“‘Al-Karrah’ ialah tertegaknya negara untuk mereka. Ini disusuli dengan ‘al-Amwal’ iaitu kekuasaan mereka ke atas sektor ekonomi manusia. ‘Al-Banin’ ialah anak-anak mereka sebagai bala tentera yang memerangi tanpa seorang pun terkecuali. Saudaraku, inilah berita gembira dari al-Quran bahawa Dia sendiri akan mengutuskan hamba-hamba-Nya yang pokok-pokok dan batu-batu sendiri akan membantu mereka memberitahu lokasi persembunyian Yahudi.” (Dr. Fadhl Hasan Abbas, Tafsir al Quran al Majid, juzuk 3, hal 1242)

“Kita benar-benar hidup pada zaman Allah memberikan ‘al-Karrah’ iaitu kelebihan harta, anak pinak dan sokongan dunia kepada Yahudi Bani Israil. Namun apabila berlaku janji kedua dan terakhir dari Tuhan, Allah akan mendatangkan pejuang pembebasan yang mempunyai senjata yang tidak pernah wujud semasa janji pertama, kekuatan yang ada pada kumpulan ini menyebabkan mereka tidak akan tunduk sama sekali kepada mana-mana negara besar atau bangsa-bangsa bersatu.” (Prof. Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar, Waliyutabbiruu Ma ‘Alaw Tatbira, Hal 166-167)

“Pada ayat ini adanya berita gembira – insha-Allah – bahawa kaum muslimin akan membuka masjidil Aqsa dan membenarkan janji Allah. Inilah yang termaktub dalam kitab Taurat mereka sendiri sebelum ia termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kita mengharapkan detik itu berlaku sebelum kita mati. Detik Allah mengumpulkan kesemua Yahudi itu di sekitar Baitulmaqdis untuk menjadi penamat kehidupan mereka yang sudah melampau batasan akal itu sendiri dalam permusuhan ke atas kaum Muslimin.” (Tafsir al-Nabulsi, Dr Muhammad Ratib al-Nabulsi, jilid 5, hal 201)

“Kumpulan pertama sudah dihantar oleh Rasulullah. Kita sedang menanti kumpulan kedua yang akan merealisasikan “al-wa’du al-akhir” yang akan dibangkitkan dari kalangan wali-wali Allah. Mereka dibangkitkan dari tidur lena dan kematian yang sementara seperti ‘matinya’ orang yang tidur. Kebangkitan mereka mengejutkan Bani Israel dan penyokong mereka berubah wajah menjadi pucat. Akan tiba harinya, umat Islam akan masuk ke Masjidil Aqsa sebagai orang yang merealisasikan janji Allah SWT dan membersihkan kotoran yang ditinggalkan oleh Zionis. Mereka akan masuk ke dalam masjid seperti orang-orang terdahulu dalam kalangan sahabat yang telah masuk ke dalamnya.” (Dr Usamah Fathi Abu Bakar, Hamba Kepada Tuhannya ; Intipati Tadabbur Surah al-Isra’, terjemahan Ahmad Akram Mahmad Robbi)

“Peperangan kaum Muslimin dengan Yahudi di akhir zaman berlaku dalam dua marhalah. Marhalah pertama dibicarakan oleh surah al Isra’ iaitu hancurnya bangunan-bangunan kemegahan mereka di Baitulmaqdis dan hilangnya seluruh kerosakan yang mereka lakukan, menjadilah mereka kaum yang hina dan lemah. Marhalah kedua menyempurnakan marhalah yang pertama berlaku di hujung usia dunia sebelum kedatangan Kiamat. Ia disempurnakan oleh Isa bin Maryam AS yang akan membunuh Dajjal dan 70,000 Yahudi Asbahan.” (Dr Solah Abdul Fattah al Khalidi, Haqaiq Quraniyyah Hawla al-Qadhiyyah al-Filisthiniyyah, hal 158)

Berita gembira ini tidak seharusnya disambut dengan angan-angan dan goyang kaki. Ada kerja perlu dibuat untuk menjemput kemenangan itu. Surah al-Isra’ bukan hanya ayat 7 atau helaian pertama sahaja. Surah ini mengandungi 111 ayat kesemuanya. Bacalah agar kita mengetahui pelan bertindak untuk mencapai janji Allah SWT kemenangan yang telah diumumkan berkenaan.

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
2 Syawal 1442 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started