ANDAI PARA SAHABAT MASIH HIDUP …

Usai berbuka puasa di sebuah restoran tadi, tiba-tiba keretaku tidak boleh dihidupkan. Bimbangkan anak-anak menunggu lama, aku terus ambilkan “Grab”.

Sepuluh minit selepas itu, isteri selamat membawa anak-anak pulang dahulu ke rumah. Alhamdulillah. Aku pula terus hubungi nombor pihak Auto-Assist keretaku, tidak sampai 30 minit, bantuan sampai dan bateri kereta ditukar.

Menakjubkan apa telah berlaku!

Pantas benar perkhidmatan yang ditawarkan!

Dan semuanya hanya di hujung jari sahaja!

Terkadang aku membayangkan jika ada para Sahabat RA yang dihidupkan semula untuk melihat akhir zaman ini, barangkali mereka pasti tercengang dan sujud sajdah berkali-kali, takjub dan kagum dengan apa yang mereka lihat dengan mata kepala sendiri yang tiada di zaman mereka 1,400 tahun dahulu.

Kemajuan teknologi dan kepantasan perkhidmatan yang telah memudahkan kesulitan dihadapi manusia, kini semakin menuju titik puncaknya.

Melihat grab sampai, aku hanya teringat firman Tuhanku. Keadaan Nabi Sulaiman memohon kekuatan agar tidak lupa untuk bersyukur benar-benar menjadi keadaanku waktu itu.

وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Dan dia (Nabi Sulaiman) berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.

(An-Naml, 27 : 19)

Melihat pula “uncle” bawa bateri baru juga telah sampai, aku hanya teringat firman Tuhanku mengenai Nabi Sulaiman memahami kepantasan ini sebagai ujian dari Allah untuk menguji kesyukuran kepada musabbab atau sebaliknya mengkagumi asbab.

فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

(An-Naml, 27 : 40)

Ahad ini pula, aku menerima jemputan dari Vienna. Terubat juga rinduku untuk bermusafir lagi kerana pernah membawa isteri dan anak-anak ke hampir 10 buah negara termasuk Bosnia-Herzegovina.

Jemputan dari bumi Austria ini menyebabkan aku hanya mampu mengenang besarnya nikmat Tuhan di musim pandemik ini. Hanya dengan makhluk bernama “Microsoft Team”, majlis al-Quran ini boleh diterbangkan ke sana tanpa perlu aku bersusah payah untuk terbang sejauh 10,000 kilometer ke tengah-tengah bumi Eropah berkenaan.

Sesungguhnya yang menyebabkan saudara-saudara seimanku di bumi Vienna boleh mendengar suaraku dari Kuala Lumpur nanti, itulah Tuhan yang sama yang telah memberi kemampuan kepada Nabi Sulaiman untuk mendengar suara permaisuri semut sehingga tersenyum baginda mendengarnya.

Dan tiadalah sebaik-baik ucapan di hadapan nikmat ini melainkan ucapan para Rasul seperti Sulaiman عليه السلام

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”.

(An-Naml, 27 : 15)

Syaari Ab Rahman
11 Ramadhan 1442 H
Kajang

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started