IBRAH DARI BEKAS SAHABAT SEPENJARA YUSUF

Usah risau seandainya mereka bersungguh mengambil idea dan “content” yang engkau telah sampaikan. Mereka hanya “memasarkan” dirimu sahaja. Akhirnya akan datang satu ketika manusia akan bertanya “kelihatannya kamu tidak pernah bercakap mengenai ini, lalu dari mana sebenarnya sumber apa yang kamu sampaikan ini?”

Pertemuan kali kedua Yusuf dengan bekas sahabat sepenjaranya, baginda tidak pun mengulang permintaannya agar dirinya dibantu sebagaimana permintaannya sebelum sahabatnya itu dibebaskan. Bahkan baginda tidak pun meletakkan pembebasannya sebagai syarat sebelum pentafsiran mimpi raja Mesir dilakukan.

Jiwa besar Yusuf, tidak pun mengungkit perihal sahabatnya yang terlupa membela nasib baginda di hadapan raja.

Jiwa besar Yusuf, terus memberikan tafsiran mimpi, tiada dalam fikiran baginda melainkan cemas dengan bencana yang bakal menimpa penduduk Mesir, tidak memikirkan pun kemungkinan sahabat sepenjaranya itu akan memberitahu raja bahawa itulah tafsiran yang berjaya diusahakannya tanpa ada kena mengena dengan Yusuf, mengambil kesempatan mempromosikan diri sendiri memperguna kepakaran orang lain.

Besarkan jiwamu. Kekal fokus pada bidang kepakaran yang Tuhan kurniakan kepadamu. Let your excellence speak for itself!

يُوسُفُ أَيُّهَا الصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِي سَبْعِ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنبُلَاتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ لَّعَلِّي أَرْجِعُ إِلَى النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ

(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

(Yusuf, 12 : 46)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started