
TASYA Siri 10 pagi tadi bermula dari tujuh kaedah dakwah Nabi Yusuf dan berakhir dengan penghujahan menarik al-Maududi mengenai kenabian Yusuf dalam penjara.
Di celah-celah kebersamaan kami sebagai “banduan keempat” di penjara Yusuf عليه السلام, kami diajar apa makna sebenar dakwah di penjara tanpa lensa dan tepukan gemuruh sesiapa.
Kami belajar apa makna hidup dengan darah dagingnya ialah dakwah dan mengapa Perjanjian Lama tidak pula memaparkan perincian dakwah baginda ini.
Kami juga belajar hikmah surah Yusuf memaparkan terlebih dahulu keindahan akhlak Yusuf sebelum kefasihan bicara baginda agar kami faham apakah senjata dakwah paling berkesan.
Keterbatasan pergerakan dalam penjara namun keluasan bicara dakwah membawa kami mengenang peristiwa di Hudaibiyah ketika para Sahabat terhalang untuk terus mara ke Makkah.
Memikirkan lagi mengapa terperincinya rakaman abadi al-Quran pada bicara dakwah Yusuf, kami cuba memahami apa makna “penjara” hatimu dari keinginan dunia apabila lidahmu memulakan tutur dakwah.
Melihat babak di penjara dari jendela surah ‘Abasa menambah kefahaman kami agar dakwah ini jangan ekslusif kepada kumpulan tertentu sahaja sehingga tanpa disedari kita melakukan تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ yang ditegah Luqman yang diberikan hikmah.
Mengenang netizen yang lebih sukakan isu populis dan bertanya ini dan itu dari isu yang dimainkan itu. Lalu sebagai “Yusuf”, bagaimana kita mendengar permasalahan ini dan bagaimana kita perlu respon dengan pengetahuan pada “real problem” dan bukannya “presented problem”.
Pengetahuan mengenai “ghaibiyyat” makanan yang akan didatangkan membawa kami kepada kebijaksanaan penyampaian inti utama mesej baginda sebagai Rasul iaitu perihal “ghaibiyyat” hari Kebangkitan semula.
Mengembalikan “wow factor” dua rakannya terhadap ilmu takbir mimpi kepada Allah sungguh mirip dengan “wow factor” Malikatu Saba’ terhadap teknologi dan mukjizat Nabi Sulaiman sehingga menginsafkan mereka yang belum Muslim pada apa makna dan rezeki Allah seandainya memilih untuk menjadi Muslim. أَسْلِمْ تَسْلَمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ !
17 kali perkataan ta’wil dalam al-Quran dengan 12 darinya dalam surah Yusuf membawa kami pada keperluan memahami makna ta’wil menurut pembentangan al-Quran.
Sejauhmana pula keluarga yang kita bina sebelum kematian kita menjadi keluarga “Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub” yang disebut baginda dalam penjara.
Banyak lagi mutiara berharga dari penjara. Moga para pelajar saya dipermudahkan urusan mereka menghafal ayat 37 hingga 40 surah Yusuf.
Doakan mereka.
Amin
Leave a comment