HIKMAH PENYEBUTAN KALIMAH “AL-ZAHIDIN”

وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ

“Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.”(Yusuf, 12 : 20)

Kalimah الزَّاهِدِينَ yang berasal dari za-ha-da merupakan satu kalimah “farid” dalam al-Quran.

Antara fenomena kemukjizatan al-Quran yang tidak pernah terhenti kajian dijalankan ialah kalimah-kalimah yang unik dan bersendirian, bersifat “yatim piatu” kerana hanya muncul sekali sahaja tanpa ada pengulangan dalam apa jua bentuk.

Ia disebut “al-Farid” atau jama’nya, “al-Fara’id”. Terdapat 405 kalimah fara’id kesemuanya dalam al-Quran.

Ilmu al-Faraid ini lahir dari satu keyakinan bahawa يصغ كل شئ في موضعه الأحق الأجدر بوجوده الذي لا يصلح غيره أن يحل محله

Antara hikmah penyebutan الزَّاهِدِينَ pada ayat 20 surah Yusuf untuk menunjukkan satu-satunya kumpulan pedagang paling rugi dalam perdagangan mereka iaitu kafilah dagang yang memungut Yusuf dari dasar sumur.

Tiadalah paling merugikan dalam hidup mereka melainkan tindakan “menjual” insan yang bakal menjadi orang besar istana Mesir, yang boleh mengubah nasib hidup kafilah itu sendiri jika mereka kekal memelihara Yusuf, atau menjadi keluarga baru Yusuf di Mesir.

Ternyata mereka ini memang sudah lama berdagang, berulang alik dari Palestin ke Mesir, namun ada sahaja keputusan tidak bijak mereka lakukan.

Seharusnya, tidak semua perkara perlu si pedagang jual. Mereka seharusnya bijak untuk “menyimpan” dan memelihara dengan baik “sesuatu” yang mereka temui secara tiba-tiba di tengah jalan.

Namun, mereka berfikiran singkat lalu menjual Yusuf dengan nilai beberapa syiling dirham sahaja, untuk melepaskan diri mereka dengan segera dari terkait dengan baginda atau dituduh menculik dan seumpama dengannya.

Merugilah mereka dengan apa yang mereka lakukan. Mereka telah sia-siakan “aset yang paling berharga” dalam seluruh hidup mereka iaitu “menjual” seorang Rasul yang bakal membawa kegemilangan Mesir dan membawa cahaya keselamatan di Akhirat.

Peluang yang tidak akan hadir lagi di masa akan datang, tuah yang tidak akan berulang lagi sampai bila-bila mereka hidup, sehingga dijadikan kalimah ini tidak berulang dalam al-Quran.

Zuhud itu sikap yang mulia kerana ia bermakna kurangnya kemahuan kepada keduniaan melainkan sedikit sahaja.

Namun, inilah “zuhud tidak bertempat” yang dikeji Allah SWT sehingga menjadi ayat al-Quran yang dikekalkan hingga hari Kiamat.

Apabila mereka berlepas tangan dari Yusuf, Allah terus mengatur tangan yang lebih baik untuk memelihara Yusuf, lalu hadirlah al-‘Aziz Mesir.

Wallahu a’lam

Rujukan :
Kitab الأسرار البلاغية في الفرائد القرآنية
Prof. Dr. Abdullah Abdul Ghani Sarjani
2012

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started