
Anakanda Fatihah ditanya Abinya, apakah sebab dia kagum sangat dengan kisah Nabi Musa ?
Dia menjawab, “Musa membelah lautan!”
Lagi ?
Dia menjawab, “Musa bercakap-cakap dengan Tuhan!”
Lalu Abinya mencelah, menawarkan jawapan baru untuk dipertimbangkan anakanda, sekaligus mencabar kefahamannya yang sedia ada.
“Musa memilih untuk meninggal dunia di sisi kaumnya, Fatihah!”
Lalu anakanda tertanya-tanya apa maksud “memilih” ?
Lebih dari itu, “apa yang mengkagumkan dari cerita meninggal dunia, Abi?”
Begini anakanda…
Empat puluh tahun Bani Israil dalam “penjara” padang pasir Sinai, ke sana ke sini tidak ketahuan jalan, empat puluh tahun diharamkan dari memasuki tanah suci yang dijanjikan.
Sebagaimana pendapat al-Baghawi dalam tafsirnya, Musa عليه السلام berada di situ juga, tidak ke mana mana. Memilih untuk duduk bersama kaumnya tidak sekali-kali mengaibkannya.
Sebagaimana diungkapkan oleh al-Razi dalam tafsirnya, seandainya benar pendapat ahli-ahli tafsir yang menyatakan Musa telah duduk bersama kaumnya yang ditimpa hukuman itu, maka tidaklah sulit bagi Allah untuk mempermudah urusan Musa, Harun dan orang beriman bersamanya sebagaimana Allah mempermudah urusan Ibrahim عليه السلام ketika dihumban ke dalam api Namrud yang marak menjulang, api itu akhirnya menyejuk dan mendamaikan tubuh dan hati baginda.
Darjat angkatan Musa dengan angkatan kaum yang fasiq, meskipun di lokasi yang sama, namun ibarat langit dengan bumi.
Musa duduk bukan untuk terus memberi hidayah pada kaum yang sudah buta mata hati mereka, bahkan Musa sedang membina generasi muda dengan keyakinan yang tinggi, merekalah generasi pembebas Baitulmaqdis selepas selesai tempoh hukuman empat puluh tahun nanti.
Memilih untuk kekal berada di lokasi yang masih ada puak-puak yang tidak henti-henti mengeluh dan memperlekeh Musa, ia bukanlah satu keputusan yang mudah.
Namun, itulah pilihan yang dibuat Musa agar kita dapat memahami makna “kepimpinan” dari sisi pandang yang berbeza.
Bahawa kamus kepimpinan itu bukanlah sekadar dinotakan Nabi Yusuf عليه السلام . Perjalanan dari kesulitan hidup bersama saudara-saudara, lalu berakhir dengan kesenangan hidup bersama di istana.
Kamus kepimpinan juga dinotakan oleh Nabi Musa عليه السلام, nota kepimpinan yang nyata “terbalik” dari kamus Nabi Yusuf. Perjalanan Musa dari kesenangan hidup dalam istana telah berakhir dengan kehidupan “kampung” bersama kaumnya.
Jika populariti menjadi pilihan, untuk apa lagi bersama kaum yang terhina selepas siri kerenah yang menyakitkan jiwa. Namun ketahuilah, jiwa besar Nabi Musa lebih besar dari “perkampungan” yang menjadi destinasi akhir kehidupan baginda.
بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا !
Itulah Musa yang memilih untuk kekal mendidik generasi baru yang bersedia mewarisi tanah suci yang dijanjikan Tuhan, menggantikan generasi lama yang sudah rosak cara fikir dan rosak pendirian.
Barangkali inilah hikmah enam kali ditegur Khadir عليه السلام dalam surah al-Kahfi sebagai “kamu tidak bersabar”. Kesan teguran yang menjadikan Musa seorang Ulil Azmi yang menggunung tinggi kesabaran, hingga memilih untuk kekal bersama kaumnya ketika baginda boleh sahaja memilih untuk menghabiskan saki baki hari tuanya bersama keluarga tercinta.
Itulah Musa dan Harun yang akhirnya kedua-duanya menghembuskan nafas terakhirnya di padang Tih sebagaimana dinukilkan al-Suyuthi, al-Tabari dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas r.a.
رَحِمَ اللَّهُ مُوسَى قدْ أُوذِيَ بأَكْثَرَ مِن هذا فَصَبَرَ
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
6 Rabiul Awwal 1442 H
Bangi
Leave a comment