


Kekadang sebelum mengajar tafsir atau tadabbur al-Quran pada mana-mana ayat pilihan, perkara nombor wahid yang mesti dilakukan ialah membetulkan “mindset” para pelajar (atau pendengar atau penonton) kepada al-Quran itu sendiri.
Selagi dianggapnya kitab ini boleh rawat sakit lutut atau boleh cantikkan anak, maka itulah yang dia dapat.
Selagi dianggapnya kitab ini boleh beri jawapan pada masalah hidupnya dengan kaedah “random”, maka itulah yang dia dapat.
Selagi dianggap kitab ini boleh “dipergunakan” untuk menyemai benih kebencian kepada satu kaum atau menegakkan benang yang basah, maka itulah yang dia dapat.
Sesungguhnya ia adalah Kitabullah, kitab suci yang akan memberi faedah dan manfaat kepada yang mahu berinteraksi dengannya dengan hati-hati yang mahu menyucikan dirinya dari dosa-dosa.
Menerusi karya ringan bertulisan besar lagi bersesuaian kepada pembaca Ebook, Prof. Dr. Taha A’bidin Taha menjelaskan DUA PULUH DUA cara memandang al-Quran, sama ada menerusi nama-nama al-Quran yang pelbagai atau sifat-sifat al-Quran itu sendiri sebagaimana disebut oleh Allah SWT sendiri dalam al-Quran.
Dengan 22 nama atau sifat al-Quran, maka mudah-mudahan hadirlah rasa kagum kepada al-Quran itu sendiri sebelum mana-mana ayatnya diselak untuk ditunaikan hak tafsir dan hak tadabburnya.
Mengubah mindset dan cara memandang al-Quran merupakan antara perkara paling penting dijelaskan terlebih dahulu sebelum mana-mana ayatnya dihuraikan dengan mazhab pemikiran dan perspektif pilihan penyampai.
Shekh dari Universiti Ummul Qura, Makkah ini juga telah menukar pendekatan penulisan mengenai “Keagungan al-Quran” setebal hanya 70 halaman ini dengan menggunakan laras bahasa untuk masyarakat awam luar universiti, bangsa Arab atau Ajam, lelaki atau perempuan, muda atau tua, meninggalkan bahasa laras akademik agar lebih ramai meraih manfaat dalam topik-topik sepenting perubahan mindset kaum Muslimin kepada al-Quran.
Wallahu a’lam
Leave a comment