IBRAH DARI “THE SOCIAL DILEMMA” (NETFLIX)

Sempena Hari Kesihatan Mental semalam, aku dan isteri mengambil kesempatan menonton dokumentari ala filem, “The Social Dilemma” di Netflix.

Meskipun mesej akhir dari filem ini bukan perkara baru yang kami dengar, namun sesi temubual dengan bekas orang-orang penting di sebalik tercetusnya teknologi media sosial, itulah yang menyebabkan kami tidak senang duduk memikirkan zaman apakah yang bakal diharungi oleh anak-anak ini, di masa-masa mendatang.

Ingatlah, anak-anak ini belajar lebih banyak dari apa yang ibu bapa mereka lakukan setiap hari. Ketagihan hampir setiap minit menghadap telefon tanpa keperluan, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Dari “notification” hingga ke “photo tagging”, dari pemilihan “emoji” hingga “recommended videos”, entah mengapa kekadang semuanya dirasakan gatal tangan untuk menekan butang “click”.

Akhirnya masa yang sepatutnya bersembang sesama ahli keluarga atau merenung fikir kejadian ciptaan Ilahi, bertukar menjadi aktiviti “lagha” yang hanya membuang masa tanpa disedari.

Wal-‘Asr. Ya Rabbi, berikanlah kami kekuatan.

‎وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (al-Mu’minun, 23 : 3)

Ingatlah tujuan paling asal kita mempunyai telefon pintar.

Tanyalah semula diri ini mengapa memuat turun aplikasi Facebook, Intagram, Twitter, Youtube, Whatsapp, Google dan seumpamanya dalam telefon kita, ditambah pula beberapa aplikasi baru kita belajar menggunakannya sepanjang tempoh PKP Covid-19 baru-baru ini.

Teknologi media sosial, siapa mampu menolak kebaikan darinya yang sangat banyak. Namun sentiasalah ingat adanya “the other side of the coin”.

Teknologi media sosial yang asalnya jinak, lama kelamaan boleh bertukar menjadi “tuan” yang memanipulasi emosi dan psikologi lalu memberi arahan, memposisikan kita sebagai “hamba” yang menurut perintahnya tanpa kita sedari.

Sentiasalah ingat Syaitan itu musuh, kekalkanlah memposisikan Syaitan itu sebagai musuh, yang berpengalaman dalam hal-hal memperdaya anak-anak Adam dari mengingati Tuhannya.

Jika “screen time” yang begitu lama di hadapan makhluk bernama telefon pintar saban hari, tidak takutkah seandainya Nabi Ibrahim itu masih hidup, lalu hadir ke arah kita dan berkata dengan nada keras ;

مَا هَٰذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ

“Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?” (al-Anbiya, 21 : 52)

Di hadapan media sosial, kita bacalah “Bismillah” sebelum menggunakannya. Semoga Allah memelihara kita dan anak-anak kita dengan kekuatan solat dan surah al-Kahfi.

Syaari Ab Rahman
23 Safar 1442 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started