MENGENAI TEKNIK BUKA AL-QURAN SECARA “RANDOM” : SIRI 2

Semakin banyak kaedah-kaedah didakwa boleh mendapat “jawapan segera” dari Allah pada permasalahan hidup.

Adakah kita sudah hilang kesabaran ?

Di mana lagi manisnya solat yang dikerjakan semasa ditimpa musibah sama ada kecil atau besar, kalau semuanya sudah boleh menyingkap hikmah dan “jawapan pantas” dari Tuhan ?

Dunia yang semakin memenangkan servis mana yang paling pantas, mengapa kita mengheret masuk juga ke dalamnya dunia beragama, atas nama “jawapan pantas dari Tuhan” ?

Mahu letak di mana kisah-kisah para Nabi yang diuji Allah begitu lama, tanpa mereka diberitahu apakah hikmah dan “jawapan” dari Allah di sebalik ujian itu ?

Mereka kekal memahami mereka hanyalah hamba yang berhak diuji Tuhannya. Mereka kekal memahami bahawa bersabar, redha dan membanyakkan istighfar, itulah “jawapan” dari Allah setiap kali mereka diuji.

Bukalah al-Quran dengan “masalah” yang lebih besar dari masalah keduniaan yang kita hadapi. Belajarlah dari Yusuf yang memahamkan rakan sepenjaranya itu bahawa adanya masalah yang lebih besar dari masalah mimpi mereka.

Kita masuk ke alam al-Quran dengan “masalah” yang kita fikirkan perlukan jawapan, sedangkan yang menurunkan al-Quran berkehendak kita lebih risaukan dengan masalah hidayah dan ketaatan kita kepada segala perintah dan larangan-Nya !

Bahkan, bukankah konsisten dengan satu surah, difahami dengan mendalam dari awal hingga akhir, menjadikannya teman dalam hidup, itu lebih baik dari memetik-memetik ayat secara “random” tanpa diketahui hujung pangkal ayat itu ?

Nabi SAW ada sebab konsisten dan mempunyai “sahabat” dengan satu dua surah sebelum tidur. Nabi SAW ada sebab konsisten dengan beberapa surah pada hari Jumaat. Nabi SAW ada sebab konsisten dengan beberapa surah semasa hari raya. Umar RA ada sebab kerap memilih surah Yusuf untuk memimpin solat fardhu Subuh. Kita juga perlu mencari sebab mengapa kita konsisten dengan surah al-Fatihah tujuh belas kali sehari.

Konsisten dengan satu surah meskipun pendek, atau satu dua ayat yang memotivasikan, kerap membacanya, kerap menghafalnya, itu lebih baik dari memetik “random” satu dua ayat yang tidak diketahui hujung pangkalnya, katanya mahu “jawapan pantas dari Tuhan” pada permasalahan kehidupan.

Al-Quran itu ada sebab dinamakan “surah”.

Janganlah bermudah-mudahan mendatangkan “kaedah-kaedah” baru berinteraksi al-Quran, didakwa sebagai “mukjizat” sedangkan tanpa disedari, kaedah itu perlahan-lahan menghakis hikmah “surah” dan pensurahan al-Quran secara tawqifi kepada seratus empat belas surah.

Setiap surah, setiap ayat diturunkan ada isu, ada tema, ada “masalah” menimpa generasi terdahulu, yang menyebabkan ia diturunkan, yang menyebabkan lamanya proses al-Quran itu diturunkan. Para ulama zaman berzaman tidak pernah berhenti mengkaji dan menulis perihal tema-tema surah ini demi memudahkan ummat bersama al-Quran.

Atas nama mahukan ummat mendapat jawapan dari al-Quran, mereka membangunkan apa yang dinamakan “tafsir maudhuie surah” dengan penjelasan tema-tema surah, mereka membangunkan apa yang dinamakan “tafsir maudhuie isu” dengan membahas satu masalah menurut pelbagai surah-surah al-Quran.

Akhir zaman penuh kekeliruan, peganglah teguh pesan-pesan surah al-Kahfi.

Musa AS diajar agar bersabar di ketiga-tiga hentian, janganlah gopoh mahukan “jawapan” dari Tuhan. Tidak semua dari alam ghaib itu engkau berhak mengetahui hikmahnya dengan segera. وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا !

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
2 Safar 1442 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started