MENDAMBA CAHAYA DARI SURAH IBRAHIM

  1. Ambil sehelai kertas dan buatkan dua titik. Satu di atas, satu di bawah. Jarakkan sejauh mungkin. Kemudian letakkanlah pen di titik bawah. Pejamkan mata. Cuba buat garisan dari titik bawah hingga titik atas dengan sekali pergerakan sahaja. Berjaya sampai titik atas ? Bolehkah berjaya dengan mata terpejam ? Bolehkah berjaya sampai dengan kegelapan ?
  2. Nama surah Ibrahim bersempena seorang tokoh Rasul yang paling banyak berhijrah, bermusafir dan berjalan menuju Tuhannya. إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي . إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي . Dengan cahaya Tuhannya, Baginda sampai ke “titik atas”. Tanpa cahaya Tuhan, kita akan tergelincir pada bila-bila masa ketika memulakan perjalanan dari titik bawah.
  3. Surah Ibrahim bertemakan perjalanan keluar dari kegelapan menuju cahaya. Ia sebuah perjalanan dengan nama surah membabitkan tokoh yang kuat berjalan tanpa pernah bosan.
  4. Surah bermula dengan kisah perjuangan Nabi Musa mahu membawa Bani Israil ke “titik atas”, namun mereka melencong di pertengahan jalan. Surah berakhir dengan kisah Nabi Ibrahim yang telah selamat sampai ke “titik atas”, melepasi segala ujian dari detik remaja hingga penghujung usia, berdoa khusus agar generasi selepasnya mengikuti jejaknya agar selamat sampai ke “titik atas”.
  5. Surah yang membekalkan “cahaya” kepada apa yang berlaku di masa lampau, masa sekarang dan masa hadapan.
  6. Dengan cahaya, kita dapat melihat hakikat masa lampau. Sesungguhnya sejarah mengajar kita makna “hari-hari Allah” menang ke atas musuh-musuh-Nya, erti pertembungan antara kebenaran dan kebatilan yang jelas kelihatan siapakah pemenang di akhirnya.
  7. Tanpa cahaya, jadilah kisah sejarah sekadar perincian yang sarat dengan fakta yang belum tentu kesemua berfaedah kepada kehidupan.
  8. Lalu dibentangkan kisah perjuangan seluruh para Rasul dalam surah ini, dihilangkan pula tabir masa dan tabir tempat sesama mereka, sehingga seolah-olah kesemua para Rasul itu dihimpunkan Tuhan di satu tempat, pada satu masa, dengan satu risalah sahaja.
  9. Dengan cahaya, kita dapat melihat hakikat masa sekarang. Surah ini mendidik kita cara memandang abu yang diterbangkan angin sebagaimana surah ini mendidik kita cara memandang pohon yang berakar tunjang dengan pohon yang tercabur akar-akarnya.
  10. Tanpa cahaya, jadilah hujan yang turun, buah-buahan yang muncul, kapal yang berlayar, air sungai yang mengalir, lembah yang kering kontang, matahari dan bulan, siang dan malam, hanya sekadar sebuah “fenomena alam” yang kaku dari berbicara dengan manusia, seolah-olah Tuhan tiada tujuan ketika menundukkannya kepada kita.
  11. Dengan cahaya, kita dapat melihat hakikat masa depan. Ia sungguh menakutkan, bahaya yang tidak kelihatan. Namun yang mahu kekal dalam kegelapan, pasti akhirnya akan terpijak duri atau terhumban ke dalam lubang.
  12. Tanpa cahaya, seseorang merencana “masa depan” tanpa memahami hakikat masa depan yang sebenar. Surah ini sarat dengan pembentangan mengenai satu hari yang mata-mata akan terbeliak tidak mampu dikerdipkan, manusia berjalan dengan kaki yang tergesa-gesa mahu melarikan diri dan kepala yang tidak pun menoleh ke kiri dan ke kanan kerana dahsyatnya sidang soal siasat yang menunggu di hadapan.
  13. Tanpa cahaya, seseorang tidak akan percaya “fakta” dari masa hadapan yang dibentangkan surah ini. Dianggapnya tahyul dan reka-rekaan kisah penghuni Neraka diheret dengan belenggu di kaki, dirantai bersama syaitan qarinnya masing-masing, diberikan pakaian cairan panas menghitam lagi berbau busuk, meminum pula air nanah dengan wajah yang tidak mampu dielakkan dari terkena jilatan api neraka Jahannam.
  14. Semoga Allah memberi masa kepada kita untuk membaca surah Ibrahim dari awal hingga akhir.
  15. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk memahami surah Ibrahim dan mengambil cahaya-cahaya darinya untuk memandu kehidupan kita.

الر ۚ كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Ibrahim, 14 : 1)

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
22 Muharram 1442 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started