BEKERJA MEREALISASIKAN MIMPI, BUKAN MENUNGGU MIMPI TERJADI DENGAN GOYANG KAKI

Mimpi Nabi Ibrahim a.s. dikisahkan dalam surah al-Saffat.

Mimpi Nabi Yusuf a.s. dikisahkan dalam surah Yusuf.

Mimpi Rasulullah SAW dikisahkan dalam surah al-Fath.

Ketiga-tiga kisah mimpi dalam al-Quran ini mempunyai persamaan.

Mimpi yang diterima ketiga-tiga Nabi ini adalah wahyu iaitulah khabar yang benar atau pemberitahuan dari masa hadapan dari Pencipta makhluk yang bernama masa.

Pemberitahuan yang bersifat ujian, sehingga apa yang dipaparkan dalam setiap mimpi itu bersifat tidak menyeluruh.

Dengan penuh hikmah, Allah SWT hanya memaparkan babak yang mendukacitakan sahaja kepada Nabi Ibrahim sedangkan babak yang menggembirakan selepas itu tidak dipaparkan. Manakala babak yang menggembirakan sahaja dipaparkan kepada Nabi Yusuf dan Nabi kita, Rasulullah SAW sedangkan babak yang mendukacitakan sebelum itu tidak dipaparkan.

Jika dipaparkan secara menyeluruh apa yang menggembirakan selepas apa yang mendukacitakan, terbatallah tujuan ibtila’ iaitu untuk menguji ketaatan para Nabi.

Nabi Ibrahim a.s. diberikan mimpi melihat anaknya nyaris disembelih tangannya sendiri lalu baginda mentafsirkan mimpi itu sebagai perintah Allah untuk mengorbankan anaknya. Mimpi itu tidak pula memaparkan babak apa yang bakal berlaku apabila pisau telah hampir di kulit leher anaknya itu.

Yusuf a.s. pula bermimpi melihat 11 bintang cerah sujud ke arahnya. Mimpi itu tidak pula memaparkan apa bakal berlaku kepada 10 dari 11 bintang cerah itu sebelum sujud kepada Yusuf. Mimpi itu tidak pun menonjolkan bagaimana 10 dari 11 bintang cerah itu pada awalnya seperti gagak hitam atau seperti serigala buas di hutan.

Rasulullah SAW pula bermimpi menunaikan umrah di tanah suci Makkah dalam keadaan sempurna segala rukun-rukunnya tanpa sebarang halangan dari kafir Quraisy. Mimpi itu tidak pula memaparkan apa yang berlaku sebelum baginda menunaikan umrah tersebut. Mimpi itu tidak pula menonjolkan ada sesuatu berlaku di sebuah lokasi bernama Hudaibiyyah.

Yang jelas, mimpi itu tidak sekali kali menyebabkan ketiga-tiga Nabi hanya bergoyang kaki menunggu ia menjadi realiti.

Bukankah itu jugalah sikap sepuluh orang Sahabat yang dijamin Syurga oleh Nabi ? Bukankah semakin kuat ketaatan mereka dan bukan sebaliknya bergoyang kaki “menunggu” Syurga apabila diumumkan Nabi berita gembira itu ?

Ketiga-tiga Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf dan Rasulullah SAW telah bekerja kuat untuk merealisasikan mimpi itu meskipun di akhirnya mereka memahami bagaimana kehendak Allah bertentangan dengan kehendak mereka, bagaimana taqdir Ilahi sentiasa mengatasi segala tadbir insani.

Lalu apa yang disangka Nabi Ibrahim bahawa anaknya mesti disembelih, bukanlah itu kehendak Allah…

Allah memerintahkan Nabi Ibrahim agar menghentikan perjalanan gerakan pisau di tangannya ketika ia nyaris sampai di leher anaknya. Ini kerana baginda tidak boleh melampaui apa yang sekadar dipaparkan dalam mimpi. Allah berkehendak untuk tidak menumpahkan darah anak Adam atas apa sebab sekalipun. Allah membiarkan Nabi Ibrahim memahami mimpi itu sebagai perintah menyembelih anaknya sendiri kerana itulah tujuan asal mimpi itu, untuk menguji ketaatan hamba-Nya.

Lalu apa yang disangka Nabi Ya’qub bahawa anaknya akan menjadi Rasul di Palestin, bukanlah itu kehendak Allah…

Nabi Yaaqub a.s. berkehendak agar Yusuf menjadi Rasul di Palestin tanpa gangguan saudara-saudaranya bersepuluh itu. Nabi Yaaqub berikhtiar dengan berpesan agar dalam apa jua keadaan, jangan disampaikan mimpi itu kepada saudara-saudaranya. Namun Allah berkehendak agar Yusuf menjadi Rasul bukan di Palestin, bukan di dalam pelukan Yaaqub, bukan di sisinya saudara-saudaranya.

Lalu apa yang disangka Rasulullah SAW bahawa umrah itu akan berlaku pada tahun 6 hijrah, bukanlah itu kehendak Allah…

Nabi SAW mula memahami sesuatu apabila unta Qaswa baginda tidak mahu meneruskan perjalanan ke Makkah apabila tiba di Hudaibiyyah. Benar, mimpi itu hanya memaparkan adegan umrah baginda, namun mimpi itu tidak menyebut tahun bilakah ia akan berlaku. Lalu akhirnya mimpi itu berlaku pada tahun ketujuh hijrah dalam peristiwa Umrah al-Qadha’, yang melorongkan jalan pada tahun seterusnya untuk Nabi akhirnya membuka tanah suci Nabi Ibrahim sendiri, Makkah al-Mukarramah.

I dream big words on blackboard with colorful alphabets.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started