
وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانِ ۖ قَالَ أَحَدُهُمَا إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا ۖ وَقَالَ الْآخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ ۖ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ ۖ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (36)
- Tafsir sebagai proses memahami apa yang (agaknya) dimaksudkan dari zahir kalimah dan ayat. Tadabbur sebagai proses memahami apakah tujuan akhir, maqasid dan hikmah di sebalik makna-makna yang telah terungkai dari kalimah dan ayat berkenaan.
- Berlakunya situasi tiadanya perincian seperti siapakah dua lelaki sepenjara Yusuf ini serta apa yang menyebabkan mereka dipenjarakan ialah kerana al-Quran menggesa pembacanya memberi perhatian pada merenung tujuan akhir, maqasid dan hikmah yang lebih besar dari perincian kisah itu sendiri. Sekiranya memperincikan sesuatu seperti menjelaskan siapakah dua lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan tujuan akhir, maqasid dan hikmah, maka pastinya Allah SWT memperincikan. Ahsanal Qasas !
- Jika Allah SWT bersikap “selektif” (memilih yang penting-penting untuk dijadikan ayat al-Quran) dalam penceritaan, mengapa pembaca al-Quran tidak belajar untuk selektif dalam berkata-kata, bercakap hanya perkara-perkara penting dan mendatangkan faedah kepada manusia.
- Tanasub yang indah antara kekuatan “intelektual” di sebalik pertemuan Yusuf dan dua lelaki sepenjara dengan kekuatan “fizikal” di sebalik pertemuan Musa dan dua wanita Madyan.
- Saranan ustaz Nouman agar membaca kisah-kisah al-Quran seolah-olah belum pernah ada tafsiran dari riwayat-riwayat kitab terdahulu (Israiliyyat), memberi perhatian terlebih dahulu dan membezakan pada apa yang disebut al-Quran (dan al-Sunnah) sebelum apa yang tidak disebut al-Quran (dan al-Sunnah) mirip dengan saranan Dr Solah al-Khalidi dalam kunci-kunci tadabbur yang digariskan beliau dalam مفاتيح للتعامل مع القرآن iaitu kunci ke-5 hingga ke-7 ( دخول عالم القرآن دون مقررات سابقة).
- Hikmah Allah menyebut “dua pemuda” atau “dua pekerja” tanpa memperincikan atau mengaitkan mereka dengan sebarang pertuduhan atau kesalahan yang menyebabkan mereka ke penjara.
- Persamaan antara kesemua tiga mimpi yang berlaku dalam surah Yusuf iaitu yang mengalami tidak senang duduk dengan apa yang telah diperlihatkan kepada mereka semasa tidur sehinggalah mereka menemui individu yang pakar dan boleh menenangkan mereka dengan penjelasan yang memuaskan hati ( وَقَصَّ عَلَيْهِ الْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ )
- Usahlah melakukan sesuatu untuk mendapat pengiktirafan manusia, fokuslah mendapat pengiktirafan dari Allah ; hikmah kalimah al-Muhsinun pada ayat 22 (pengiktirafan Allah kepada Yusuf), ayat 36 (pengiktirafan dua manusia yang tidak pun disangka Yusuf ketika baginda berada di lembah kegelapan penjara yang menghinakan) dan ayat 78 (pengiktirafan saudara-saudara Yusuf kepada “Al-Aziz” sedangkan sebelumnya mereka menghina “Yusuf” sebagai pencuri sebagaimana Bunyamin).
- Kepada yang sentiasa membantu seseorang tanpa mengecewakannya, namun tiba-tiba yang dibantu mengkhianatinya, ambillah teladan dari kisah Yusuf tidak pernah jemu membantu setiap insan dari al-Aziz hinggalah salah seorang dari dua rakan sepenjaranya, namun dia terus dikhianati dan tidak pun dihargai jasanya. Yusuf kekal membantu kerana dia membantu tidak mengharapkan pembalasan apa apa melainkan redha Tuhannya. Dasar Al Muhsinun ! ( إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا )
- Tanasub pada kalimah “rezeqi” antara dua banduan sepenjara Yusuf yang kelaparan dengan pemuda-pemuda al-Kahfi yang kelaparan selepas bangun dari tidur mereka dalam surah al-Kahfi.
- Kekuatan iman ( إِن كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَن رَّبَطْنَا عَلَىٰ قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ ) untuk mengelakkan trauma dengan pengalaman “hitam” di masa lampau ; Tanasub antara situasi ibu Musa ketika meletakkan anaknya ke dalam arus sungai Nil dengan situasi Yusuf yang kembali diletakkan ke dalam kegelapan (penjara) selepas sebelumnya sudah ada pengalaman kegelapan (telaga) yang sangat menggerunkan.
Wallahu a’lam.
Syaari Ab Rahman
15 Zulhijjah 1441 H
Bangi
Leave a comment