TIGA PERKARA SERING DILUPAKAN APABILA MENYAMBUT HARI KELAHIRAN

Seringkali apabila kita menyambut hari lahir, fikiran kita terus terbang ke arah “restoran mana paling sedap mahu dibaham” atau “hadiah apa paling diidamkan”. Kekadang kita terlupa sekurang-kurangnya tiga peringatan buat diri apabila menyambut ulang tahun kelahiran, mengenang keadaan kita semasa hari pertama menjenguk dunia.

  1. KITA SENDIRIAN

Tarikh lahir kita ialah tarikh kita meninggalkan alam rahim, alam kita hidup sendirian. Kita berasal dari tempat yang sepi tidak berteman. Lalu mengapa kita lupa bahawa kita bakal kembali ke alam sempit di bawah tanah tidak berteman ?

‎وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; (al-An’am, 6 : 94)

Kita bermula dari tiada kepada ada. Kita bakal berakhir dari ada kepada tiada. Tiada sesiapa ingin mengenali kita sebelum kita dilahirkan. Tiada sesiapa ingin mengenali kita selepas kita mati.

هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَـٰنِ حِینࣱ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ یَكُن شَیۡـࣰٔا مَّذۡكُورًا

Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? (Al-Insan, 76 : 1)

‎قَالَ كَذَ ٰ⁠لِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَیَّ هَیِّنࣱ وَقَدۡ خَلَقۡتُكَ مِن قَبۡلُ وَلَمۡ تَكُ شَیۡـࣰٔا

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.” (Maryam, 9 : 9)

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita akan kembali. Tiada pasangan hidup, keluarga, sahabat setia, para pengikut setia akan membantu di alam sana.

  1. KITA JAHIL

Semasa lahir ke dunia, kita tidak tahu apa apa. Makan, minum, mandi, pakai, waktu itu kita tidak tahu apa-apa. Kita benar-benar menyerah diri kepada ibubapa kita untuk melakukan apa sahaja ke atas diri kita. Kita faham apa yang mereka buat demi kebaikan kita. Kita lemah dan jahil dalam serba serbi. Maka mengapa hari ini ketika dibacakan ayat-ayat mengenai “alam sana”, kita tidak mengambil endah, sedangkan ia datang dari Rabb yang menyayangi kita. Mengapa kita berlagak pandai seolah-olah kita tidak akan pulang ke sana, seolah-olah kita lebih tahu dari Rabb kita sedangkan Dia mahu kita bersedia, buat bekalan demi kebaikan kita ?

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Al-Nahl 16 : 78)

  1. KITA TELANJANG

Kita lahir tanpa sebarang pakaian. Kita akan kembali ke alam barzakh dengan sehelai kain kapan. Dan ingatlah, sekaya mana pun kita sekarang, semewah mana pun pakaian kita, kita tetap akan dibangkitkan tanpa seurat benang, tiada yang akan membantu berdepan pengadilan Tuhan melainkan amalan.

كَمَا بَدَأۡنَاۤ أَوَّلَ خَلۡقࣲ نُّعِیدُهُۥۚ وَعۡدًا عَلَیۡنَاۤۚ إِنَّا كُنَّا فَـٰعِلِینَ

….(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami akan ulangi wujudnya lagi… (Al-Anbiya’ 21 : 104)

حديث عائشة -رضي الله تعالى عنها- قالت: سمعت رسول الله ﷺ يقول: يحشر الناس يوم القيامة حفاة عراة غُرْلاً. قلت: يا رسول الله، الرجال والنساء جميعاً ينظر بعضهم إلى بعض؟، قال: يا عائشة الأمر أشد من أن يُهمهم ذلك، وفي رواية: الأمر أهم من أن ينظر بعضهم إلى بعض، متفق عليه.

Daripada Aishah r.anha : “Dihimpun manusia pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang bulat dan tidak berkhatan (bersunat). Lalu Aishah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, kalau begitu pada hari itu manusia dapat melihat aurat orang lain.” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aishah, suasana pada hari itu amat menggemparkan manusia, amat menakutkan, sehingga tidak ada yang peduli kepada aurat orang lain!” (Sahih Bukhari no. 6527, Sahih Muslim no. 2859, Ibnu Majah no. 4276)

Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
20 Julai 2020 / 28 Zulkaedah 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started