TADABBUR SURAH AL-BAQARAH, AYAT 258 : KISAH NABI IBRAHIM DI HADAPAN RAJA MENGAKU TUHAN

Selepas membelek pelbagai kitab tafsir, maka ini antara buah tadabbur yang saya temui :

  1. Kalimah ألم ترى mengajar adab berinteraksi dengan kisah-kisah al-Quran. Seseorang perlu merasa ketakjuban dengan kisah yang disampaikan sendiri oleh Allah kepada kita melalui Rasul-Nya.
  2. Kalimah ألم ترى mengajar seseorang membaca kisah-kisah al-Quran seperti melihatnya berlaku di hadapan mata.
  3. Tidak disebut nama Namrud kerana kisah-kisah al-Quran mempunyai nilai universal yang melangkaui zaman dan lokasi. Namrud sudah dilipat sejarah, namun sifat kenamrudan itulah yang dirakamkan al-Quran yang menunjukkan pada setiap zaman dan di mana-mana negara akan lahir sahaja seseorang yang mengaku Tuhan.

Kenamrudan ini sudah muncul pada diri Abu Jahal. Sikap memperleceh agama dan “kenapa saya perlukan Tuhan” inilah menyebabkan beliau disebut استغنى dalam surah Abasa yang turun selepas beliau menjemput baginda Rasul ke Darul Nadwah untuk berdakwah secara “private” kepada pimpinan Makkah!

  1. Jangan bertanya apa yang tiada dalam al-Quran, sebaliknya bertanya apa hikmah ditiadakan. Ini adab kita berinteraksi dengan kisah-kisah al-Quran agar kita tidak mengangkat sumber selain Allah dan Rasul-Nya lebih tinggi dari al-Quran itu sendiri.

Allah nak ajar kita fokus dan berhati-hati pada elemen yang mengganggu fokus. Tidak ada faedah jika kita membaca 20-30 mukasurat kajian mengenai siapa Namrud sedangkan satu kalimah dalam ayat ini mengenai sifat raja kafir ini tidak pun kita fahami dan membelek tafsirannya.

  1. Nama Ibrahim disebut dua kali di dalam ayat ini sedangkan kalimah nama baginda itu bukan berasal dari bahasa Arab. Ini mengajar seseorang yang bukan berbangsa Arab sekalipun boleh menjadi mulia di sisi Allah – dikumandangkan namanya sebanyak dua kali dalam ayat ini – dan penduduk langit sekiranya meneladani sifat Ibrahim yang dirakamkan dalam ayat ini.
  2. Ibrahim dipanggil ke istana raja kerana apa yang dibawa Ibrahim adalah bahaya besar kepada pengaruh raja dan ketuhanan dirinya yang didakwanya. Demikianlah kenamrudan zaman berzaman, apabila kebenaran Islam semakin dibiarkan tersebar, ia adalah bahaya kepada raja yang zalim kerana kelak rakyat jelata akan mula mendesak keadilan selepas mereka meraih kebenaran.

Bayangkan Ibrahim yang seorang diri (kalimah ربى dalam ayat ini menggambarkan keadaan keseorangannya namun baginda setia dengan kebenaran walau seorang), tiada pengikut, tiada kemewahan, dihalau keluarga dari rumahnya sendiri, namun kini remaja seorang ini menjadi ancaman kepada sebuah negara dan empayar !

  1. Namrud sememangnya mengaku dirinya Tuhan. Ini sama dengan sikap Firaun dalam surah al-Syu’ara ketika bekas ahli sihir Firaun menyebut kami beriman dengan رب semesta alam tanpa menspesifikkan lagi رب موسى وهارون . Kalimah ربي yang dituturkan Nabi Ibrahim dimanipulasi oleh Namrud merujuk kepada dirinya انا أحيي وأميت !

Sebab itu baginda Ibrahim pada pusingan kedua tidak lagi menggunakan ربي bahkan menggunakan الله !

Demikianlah seseorang daie ketika berdakwah, perkenalkan dahulu Tuhan sebagai yang memberi kebaikan dan 1001 nikmat, barulah kemudiannya memperkenal Tuhan sebagai pemilik kekuasaan dan segala autoriti. Perlahan-lahanlah dalam pendakian dakwah teman.

  1. Mad’u tergolong dalam 3 kategori. Ada yang boleh didekati hanya dengan الموعظة الحسنة. Namun ada yang memerlukan penjelasan الحكمة. Maka ayat ini mengajar pula kategori ketiga iaitu yang sentiasa mencari dan mencipta alasan untuk berdebat dan bukannya untuk mengakui kebenaran.

Kepada golongan ketiga ini, kita hadapi mereka dengan cara yang lebih baik dari caranya. Maknanya, cara kita berhujah tidak sekali-kali sama dengan cara mereka berhujah. Mereka berhujah untuk menjauhi hakikat kebenaran, kita berhujah untuk mendekatkan diri kepada kebenaran.

Jangan sekali-kali menari mengikut rentak lawan dan janganlah sesuatu debat itu dipanjangkan tanpa semua pihak semakin menjauhi kebenaran, bahkan menjauhi sikap objektif kepada perbincangan mencari kebenaran. وجادلهم بالتي هي أحسن ditonjolkan dengan cemerlang dalam ayat ini melalui Nabi Ibrahim.

Baginda mengelakkan dari debat yang tidak berkesudahan dengan mendatangkan hujah yang menyebabkan musuh tercengang dan terdiam.

  1. Seseorang daie mesti memulakan dakwah dengan sesuatu yang dekat dengan mad’u, barulah membawanya kepada yang lebih jauh darinya. Nabi Ibrahim memulakan dakwahnya dari perkara dalam diri manusia iaitu kehidupan dan kematian. Kemudian barulah baginda berbicara mengenai alam sekeliling iaitu matahari.
  2. Ayat ini punyai hubungan yang indah dengan ayat Kursi pada ayat 255. Seolah-olah Nabi Ibrahim sedang mengajar ayat Kursi pada pemerintah yang zalim tersebut. Ayat Kursi bermula dengan hakikat Allah al-Hayy (Yang Maha Hidup) dan Dia tidak pernah tidur, apatah lagi mengantuk walau sesaat. Inilah pusingan pertama dialog Nabi Ibrahim dengan raja tersebut.

Namun apabila pusingan pertama kelihatan tidak berkesan, baginda beralih pada pusingan kedua ayat Kursi iaitu milik Allah segala di langit dan di bumi iaitu matahari sebagai salah satunya.

  1. Baginda mendahulukan sifat Allah menghidupkan dan kemudiannya mematikan tidak sama dengan kenyataan baginda dalam surah al-Syu’araa (ayat 71) yang mendahulukan sifat Allah mematikan dan menghidupkan.

Ini kerana mesej surah al-Baqarah dalam ayat ini adalah pelbagai keajaiban dari Allah boleh dilihat semasa kita masih hidup dan semasa sesuatu makhluk itu hidup. Manakala apabila seseorang itu mati atau sesuatu itu tiada, maka tiada lagi keindahan kerana tiada lagi sebarang pergerakan. Maka sebab itu didahulukan menghidupkan dan mengkemudiankan mematikan.

  1. Seseorang yang berwalikan Allah akan sentiasa diilhamkan Allah hujah-hujah dalam dakwahnya. Sebaliknya seseorang yang berwalikan thaghut akan berdiam, tidak mampu berkata-kata dan tidak sedar dirinya memperlihatkan sifat kedunguan yang keterlaluan di hadapan manusia yang memuja dan mengikutinya.

Allah gerakkan Nabi Ibrahim dari kebuntuan hujah atas sikap biadap raja kepada hujah yang lebih terang dan nyata seterang matahari. Manakala Allah gerakkan raja itu dari kemampuan mencelah dengan kata-kata biadap kepada ketidakmampuan berkata walau sepatah.

Lihat ayat sebelum ayat 258 ini.

  1. Ayat أن اتاه الله الملك bererti punca raja berkenaan mempertikai agama yang dibawa Nabi Ibrahim. Betapa ramai yang diberi Allah kesenangan dan kekayaan, akhirnya berkata “mengapa saya perlukan Tuhan, bukankah saya kaya, sihat dan mulia”.

Berhati-hati dengan nikmat kekayaan dan kemewahan. Allah boleh menarik kekuasaan dari raja berkenaan lalu dengan sebab itu dia mungkin mencari Tuhan yang sebenar. Namun ayat ini mengajar Allah mengekalkan kerajaan dan kekuasaan kepada beliau, namun terbukti ia lebih menambah kesombongannya kepada Nabi Ibrahim , bahkan kepada Allah sendiri, ini digambarkan pada kalimah “fi rabbihi” iaitu ayat حاج ابراهبم في ربه !

  1. Ibrahim mencabar agar raja itu terbitkan matahari dan bukannya membenamkan matahari. Cabaran membabitkan terbit dan bukannya terbenam. Waktu terbit matahari seringkali dikaitkan al-Quran dengan waktu kemenangan. Terbitnya matahari juga boleh difahami sebagai kehidupan semula dan terbenamnya matahari juga boleh difahami sebagai kematian iaitu tidur.

Seolah-olah Ibrahim mencabar Namrud untuk bukan sekadar menghidupkan seseorang (membiarkan hidup) dan mematikan (membunuh) seseorang, tetapi melakukannya pada skala yang lebih besar iaitu rakyat seluruh negara itu sendiri dengan mendapatkan bantuan matahari. Lakukannya wahai Namrud !

  1. Sentiasa beri perhatian pada hujung ayat setiap kisah kerana di situ ada nilai atau peraturan yang kekal tiada perubahan. Ayat ini mengajar Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka yang zalim bukan sejak dari zaman raja Namrud itu, bahkan sampai Qiamat peraturan ini tidak akan berubah.

Kezaliman pada apa yang dianugerahkan Allah seperti aqal, mata dan telinga menjadi sebab kepada menebalknya kekufuran. Maka jangan biarkan cahaya keimanan yang mula terbit dalam hati dibenamkan kerana itu boleh menjadi asbab Allah terus membenam kita dalam kegelapan !

Buah tadabbur yang tidak sempat dikongsikan semalam :

  1. Iman dan hujah sentiasa berkadaran beriringan. Semakin tinggi iman, semakin tinggi kehujahan dalam pengalaman. Bagaimana seseorang murid boleh berdamping dengan seorang professor jika tidak mampu diberitahu oleh murid berkenaan mengapa dia mendampingi professor tersebut ? Seseorang Muslim perlu sentiasa mempunyai hujah dalam setiap amal perbuatannya.

Bayangkan sekiranya Nabi Ibrahim bertanya kepada kita mengapa kita solat, mengapa kita membaca al-Quran, mengapa kita menunaikan umrah, lalu jawapan kita “demikianlah yang dilakukan oleh datuk moyang kami”, agaknya apa respon baginda kepada kita ? Ayat ini mengajar kita bahawa Nabi Ibrahim adalah nabi yang sentiasa kaya dengan hujah dan mampu menyusun peluru hujah-hujahnya kepada sesiapa sahaja yang memusuhinya.

Al-Nabulsi membawa contoh, jika seseorang bertanya pada anda, “mengapa anda sering membaca al-Quran, sedangkan anda bukan orang Arab, anda membaca sesuatu yang anda tidak faham pun, mengapa ?”, apa jawapan anda kepadanya ? Mampukah anda berhujah dengannya atau anda hanya menjawab “nak dapat pahala” ?

  1. Rahsia mendidik anak menjadi berani seperti Nabi Ibrahim yang mengadap Namrud pada usia remaja (berdasarkan isyarat surah al-Anbiya’) adalah membetulkan cara anak memandang sesuatu kelebihan yang dikurniakan Allah kepada orang lain.

Semua kelebihan harta, rupa, ilmu dan seumpama dengannya adalah anugerah Allah sendiri kepadanya. Kalau Allah tidak izinkan, usahalah sekuat mana, seseorang tidak akan meraih apa yang dimahukannya.

  1. Ayat ان اتاه الله الملك juga mengajar sahabat di Madinah untuk memahami hakikat kemenangan dan kekuasaan mereka di Madinah. Surah al-Baqarah antara surah terawal dan terpanjang turun selepas baginda berhijrah. Cara pandang politik dan pemerintahan dirawat dengan sebaiknya dalam surah ini.
  2. Setiap ayat Allah boleh menyebabkan seseorang tercengang dan kagum jika merenung dengan akal dan fikiran. Setiap ayat Allah menyebabkan seseorang خاسئا وهو حسير dan itulah dididik oleh Ibrahim.

Sejauhmana kita mengajar ayat-ayat Allah kepada manusia sehingga menimbulkan kesan kepada musuh sekalipun sebagaimana dilakukan Ibrahim ? Maka Ibrahim tidak perlu berdoa memohon Allah terbitkan matahari betul-betul dari Barat atau membuatkan mayat yang dibunuh raja itu kembali hidup dan berkata-kata membenarkan Ibrahim. Islam agama yang dilegasikan oleh Nabi Ibrahim yang menekankan tafakkur dan penggunaan akal dengan sihat dan saintifik sehingga seseorang mampu sujud kerana mengkagumi kesempurnaan dan kebesaran Allah.

Islam bukan agama yang berasaskan keajaiban dan kepelikan kerana kelak Dajjal akan datang dengan segala macam kepelikan dan keajaiban yang diizinkan Allah berlaku dengan tangannya. Lihat surah al-Ra’du (13), ayat 31 !

  1. Allah lebih tahu sekiranya matahari diterbitkan dari Barat sekalipun pada masa raja berkenaan atau mayat hidup semula, raja tersebut tetap tidak beriman.

Lihat surah al-Qamar yang menggambarkan bulan terbelah sekalipun, kafir tetap mengatakan ia sihir terhebat sedangkan itulah yang mereka cabar sebelum ini.

Lihat surah al-An’am (6) ayat 111 !

  1. Dari awal hingga akhir ayat membabitkan pergerakan. Pertama, pergerakan ruh yang menyebabkan kematian dan kehidupan. Kedua, pergerakan matahari. Ketiga, pergerakan hati. فبهت diertikan sebagai بقاء الشئ على حاله وصورته لا يتغير عنها iaitu tidak berlaku sebarang pergerakan, tidak mengakui kebenaran dengan lidahnya dan sengaja memilih untuk kekal dalam kekufuran hanya kerana kesombongan dan pengaruhnya.

Al-Sya’rawi mengemukakan 3 fasa yang dilalui seseorang sebelum sampai ke tahap apa yang dilukiskan al-Quran sebagai بُهِتَ ini. Fasa pertama, tercengang dan rasa hairan. Fasa kedua, bingung dan keliru bagaimana untuk menghadapi situasi ini. Fasa ketiga, tiada pilihan melainkan mengakui kegagalan.Dengan ucapan ini, Nabi Ibrahim membuktikan si penguasa usahkan menghidupkan atau mengadakan sesuatu yang tidak ada iaitu matahari kedua, bahkan untuk menggerakkan sesuatu yang sudah ada dari arah terbitnya selama ini pun tidak mampu dilakukan.

  1. Nabi Ibrahim memang diuji Allah sepanjang hidupnya dengan ujian kehidupan dan kematian ( ربي الذي يحيي ويميت ).

Baginda adalah guru yang mengajar umat Islam hakikat Allah jua berhak menetapkan siapa akan hidup dan siapa akan mati. Ketika dihumban ke dalam api, Allah menetapkan baginda hidup. Ketika meninggalkan isteri dan anak di padang pasir, Allah menetapkan isteri dan anaknya akan kekal hidup. Ketika menyembelih anaknya sendiri, Allah menetapkan Ismail akan terus hidup.

Wahai para pendakwah, beramallah dengan apa yang anda kata, dan ingatlah anda akan diuji dengan apa yang anda kata sebagaimana Ibrahim.

(Semoga Allah mengganjari pahala pada Syekh Solah al-Khalidi yang telah berijtihad menyusun kisah Nabi Ibrahim menghadapi raja kafir ini selepas baginda memecahkan berhala sehingga dipanggil Namrud dan sebelum baginda dihumban Namrudke dalam api)

  1. Hikmah kisah Nabi Ibrahim menghadapi raja kafir dalam surah al-Baqarah :
  • ayat sebelumnya mengenai jihad menghadapi musuh dan kisah Thalut menghadapi Jalut, bahkan surah al-Baqarah turun ketika ummat Islam di Madinah sedang mengatur persiapan jihad untuk mempertahan negara Islam Madinah, maka kisah nabi Ibrahim dengan musuh terbesarnya dipaparkan
  • kisah dialog dengan musuh mengajar para Sahabah bahawa menang di medan perang bukan kayuukur kemenangan, bahkan kemampuan mengatur dialog yang membuka fikiran dan mencipta فبهت الذي كفر itulah yang sebaiknya
  • perang adalah soal hidup dan mati, maka 3 kisah mengenai siapa menghidupkan dan mematikan dipaparkan di hujung surah al-Baqarah selepas ayat kursi, salah satu kisahnya adalah kisah permulaannya iaitu Ibrahim menghadapi Namrud !
  1. Mengapa kisah Nabi Ibrahim bertebaran dalam al-Quran dan tidak disatukan dalam surah Ibrahim itu sendiri ? Setiap surah ada “thesis” dan temanya. Kisah-kisah yang muncul dalam surah adalah untuk menyokong thesis. Al-Quran bukan buku sejarah!

Sebarkan-sebarkan review dan video ini sekiranya ia memberikan kebaikan kepada anda. Sampaikan dariku walau satu ayat !

Disediakan oleh
Syaari Ab Rahman

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started