MENGAPA KISAH-KISAH AL-QURAN TIDAK BERGAMBAR?

Allah mencipta seni dan seniman, lalu mengapa tidak dipaparkan kisah-kisah ummat terdahulu dalam bentuk ilustrasi atau bergambar, sebagaimana galak dilakukan dalam agama ciptaan manusia kepada kisah-kisah nenek moyang mereka ?

“Al-Quran tidak menceritakan sesuatu secara fotografis iaitu penggambaran yang tidak hidup. Sebaliknya, setiap ceritanya disampaikan dengan metod penyampaian yang hidup dan membuatkan peristiwa itu laksana terjadi di hadapan mata atau seakan-akan para pembaca turut berada di lokasi kejadian.

Melihat sekuntum bunga dengan mata biasa, apa yang diperhatikan hanyalah warnanya, baunya, pertumbuhannya dan keindahannya.

Melihat sekuntum bunga dengan mata hati barangkali berlaku apabila engkau melihat ke arahnya seperti dia melihat juga ke arahmu, ingin berbicara denganmu, mengukir senyuman ke arahmu, memiliki emosi sepertimu, lalu renunganmu kali ini kepada sekuntum bunga itu barangkali menitiskan air mata” – Dr Muhammad Mahmud Hijazi, الوحدة الموضوعية في القرآن

Lihatlah kisah-kisah al-Quran dengan mata hatimu dan bukan dengan mata kasarmu.

Hidup ini lebih bermakna bila mata hati yang menerima cahaya lebih dari kata kasarmu.

“Penggambaran” kisah-kisah ummat terdahulu dalam al-Quran adalah satu kemukjizatan.

Ia benar-benar jauh dari kemampuan manusia melakukan.

“Penggambaran” kisah sejarah dalam al-Quran tidak hanya terbatas pada ia adalah fakta yang benar tanpa sedikitpun keraguan, khayalan dan kebatilan.

Hidup di zaman “selfie” di sana sini dan segalanya dengan telefon pintar di hujung jari, kekadang kita lupa bakat dan potensi akal dan hati yang Allah beri.

Mengapa perlu melukis kalau teknologi kamera sudah ada ?

Kekadang tidak semua soal hati dipersetujui teknologi. Teknologi mementingkan kepantasan proses ketika hati kekadang menjerit memberontak meminta berikanlah saya sedikit masa.

Bahkan kekadang teknologi boleh membunuh perasaan dalam hati.

Melukis memerlukan masa dan sifat teliti. Memilih warna yang sesuai juga membabitkan perasaan dan isi hati sang pelukis. Itulah yang hilang di sebalik mudahnya “selfie”.

Merenung ayat-ayat al-Quran mengenai ummat terdahulu memerlukan masa dan sifat teliti agar “lukisan” al-Quran pada kisah ummat terdahulu menjadi hidup di hadapan matamu.

Membaca kisah-kisah al-Quran mengenai para ‘anbiya perlu membabitkan kombinasi pemikiran dan perasaan agar meraih pengajaran yang mengubah kehidupan.

“Kisah-kisah al-Quran bukanlah sekadar kemukjizatannya pada kesahihan faktanya atau gaya penceritaannya. Kemukjizatan kisah-kisah al-Quran juga adalah pada menyatakan peraturan Allah yang sama akan terus berlaku dan berulang kepada jatuh bangun sesebuah peradaban dan menjadi hina atau mulianya seseorang insan.” – Muhammad al-Ghazali, المحاور الخمسة للقرآن الكريم

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started