SEANDAINYA KELAK ANGKA KES COVID-19 DIUMUMKAN SIFAR …

Apabila datang satu ketika nanti diumumkan kes Covid-19 di Malaysia sudah sifar, bergembiralah dengan membesarkan Allah SWT, jauhilah kegembiraan yang melalaikan.

Usahlah hidup kita sama seperti sebelum musibah ini, seolah-olah tiada apa-apa pun terjadi sebelum ini.

Senaraikan nikmat-nikmat, kenanglah kebaikan-kebaikan, ingatlah hikmah-hikmah yang telah diberikan Allah SWT kepada kita, keluarga kita dan negara ini sepanjang tempoh PKP yang lepas.

Insafilah firman Allah :

وَإِذَا غَشِيَهُم مَّوْجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ فَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ كَفُورٍ

Muhammad Abdullah Basmeih : “Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka SEBAHAGIAN SAHAJA DI ANTARA MEREKA YANG BERSIKAP ADIL (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” (Surah Luqman, 31 : 32)

📌 Dalam Tafsir al-Jalalayn, dijelaskan maksud مُّقْتَصِدٌ ialah mereka yang bersikap pertengahan antara iman dan kufur (tidak benar-benar ikhlas imannya sebagaimana semasa mereka berdoa ketika diliputi ombak besar), dan sebahagian lagi kembali kekal kepada kekufuran (seolah-olah tiada apa-apa berlaku kepada mereka semasa di lautan tadi).

📌 Dalam Tafsir al-Sa’adi, dijelaskan maksud مُّقْتَصِدٌ ialah mereka tidak kembali beriman dalam keadaan yang sempurna (sebagaimana yang dituntut). Bahkan mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan kembali melakukan dosa.

📌 Dalam Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir Ibnu Asyur, dijelaskan maksud مُّقْتَصِدٌ ialah mereka yang kafir. Kafir yang mempunyai sikap yang dijelaskan frasa ayat seterusnya iaitu يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا dan خَتَّارٍ كَفُورٍ. Kalimah مُّقْتَصِدٌ juga bermaksud kembali mensyirikkan Allah berdasarkan tafsiran dari ayat lain iaitu ayat 65 dari surah al-Ankabut ( فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ )

📌 Dalam Tafsir al-Sya’rawi, dijelaskan maksud مُّقْتَصِدٌ sebagai mereka yang ketika ditimpa musibah, mereka kembali pada Allah, namun apabila dikeluarkan dari musibah, mereka meneruskan kehidupan mereka dengan sikap ragu-ragu dan ruh keimanan yang lemah akibat dari tarikan keduniaan. Namun demikian, kumpulan ini tidaklah sampai ke tahap kumpulan seterusnya iaitu خَتَّارٍ كَفُورٍ

📌 Dalam Tafsir al-Maududi (dan Tafsir Muhammad Abdullah Basmeih di atas), dijelaskan maksud مُّقْتَصِدٌ sebagai kekal beriman dengan penuh ketakutan kepada Allah, memuhasabah kesalahan-kesalahan mereka lalu berputus asa dari tuhan-tuhan yang mereka berhalakan sebelum ini (yang tidak pun membantu mereka semasa pelayaran). Ini menunjukkan jumlah yang kekal beriman penuh keikhlasan sebagaimana semasa pelayaran mereka ditimpa musibah sangatlah sedikit. Majoriti yang lain kembali kepada syirik dan tidak menunaikan janji mereka semasa berdoa di atas lautan bergelora sebelum ini.

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
16 Syawal 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started