
Sepanjang mengajarnya Muqaddam dari al-Naas hingga al-Naba’, anakanda Fatihah Wajihah sangat suka bertanya, khususnya apabila beliau diminta membaca terjemahan surah itu sendiri. Kekadang soalannya sangat mencabar, namun itulah yang membangunkan kematangan Abi dan Uminya mengajar permata puteri enam tahun kami ini.
Setiap kali selesai membaca Muqaddam, saya meminta Fatihah mengulang semula bacaan juzuk ‘Amma ini. Kali ini bukan lagi setakat bacaan, tetapi perkongsian apa yang menarik dalam surah berkenaan. Kali ini bukan lagi sekadar baca, tetapi membaca terjemahan untuk mendapatkan idea. Kali ini bukan lagi dari al-Naas kepada al-Naba’, tetapi sebaliknya dari al-Naba’ kepada al-Naas.
“Fatihah, pernah nampak bintang ? Al-Quran ini datang dari tempat yang lebih jauh dari bintang. Surah al-Qadr beritahu kita al-Quran datang dari tempat yang sangat jauh.”
Lalu kita sudah menimbulkan minat kepadanya untuk lebih memahami apa dalam surah berkenaan dan tidak sekadar berpuas hati dengan bacaan yang betul tajwidnya sahaja.
Kita kena jadikan pembacaan al-Quran dengan anak-anak adalah aktiviti yang menyeronokkan. Kita kena yakinkan anak kita bahawa al-Quran sentiasa memotivasikan mereka untuk menjadi manusia yang ada cita-cita dan berperibadi mulia.
“Kalau Fatihah baca surah al-Thariq, Fatihah boleh jadi ahli astronomi yang baik. Ini kerana surah ini menyuruh Fatihah tengok langit dan mencari apakah itu bintang berekor.”
“Kalau Fatihah baca surah Abasa, surah ini menyuruh Fatihah senyum dan mesra dengan semua orang walaupun orang itu buta, miskin, cacat.”
“Fatihah kalau baca surah al-Tin, surah ini ajar kita kena jaga kesihatan. Sebab buah tin antara yang bagus untuk kita. Nanti kalau kita tak jaga kesihatan, tak boleh hidup lama.”
“Fatihah kalau baca surah al-Muthaffifeen, surah ini ajar Fatihah supaya jangan jadi orang kaya yang jahat, curang dan zalim kepada golongan yang miskin.”
Saya percaya apabila cara pandang mereka kepada al-Quran boleh dianjakkan dari sekadar wajib baca kepada membaca kerana ada keperluan penting, maka soal bacaan yang betul, hafazan atau melihat terjemahan pasti akan berlaku atas inisiatif mereka sendiri.
Tidaklah salah di usia kanak-kanak kita ibubapa sudah mementingkan soal pembacaan yang betul. Namun kekadang saya tidak selesa jika itu sahaja kayuukur “beragama” Fatihah.
Satu perkara yang juga perlu kita sentiasa fikirkan dengan serius adalah memperkenal dan menjinakkan ilmu Ulum al-Quran kepada anak-anak kita sendiri dengan acuan yang sesuai dan modul yang kreatif dengan umur mereka.
Bukanlah Ulum al-Quran untuk kanak-kanak itu bermakna memberitahu mereka dengan perbahasan-perbahasan mengenai proses penurunan al-Quran, ilmu Qiraat, ilmu Nasakh Mansukh dan seumpama dengannya.
Sesuai dengan usia kanak-kanak, perkara terbesar dari Ulum al-Quran buat mereka adalah membetulkan cara pandang mereka kepada al-Quran. Ia adalah kitab petunjuk kehidupan dan bukan sekadar kitab yang dibaca kerana kita orang Islam.
“Fatihah, surah al-Masad mengenai orang jahat. Al-Quran bawa cerita orang jahat supaya kita tidak ikut jejak mereka yang ke Neraka”
Lalu, kita sudah menyuntik satu cabang penting dalam ilmu Ulum al-Quran iaitu kisah- kisah dalam al-Quran.
“Fatihah, surah al-‘Adiyat pasal kuda perang. Fatihah masih ingat masa kita berdua menaiki kuda di Acheh ? Al-Quran suruh kita belajar apa yang baik dari kuda yang kita tunggang. Cuba Fatihah beritahu apa kebaikan dari kuda.”
Lalu, kita sudah menyuntik satu cabang penting Ulum al-Quran iaitu peranan ayat-ayat Kauniyyah atau unsur sains dalam al-Quran.
“Fatihah, surah al-Dhuha mengenai Nabi diejek oleh seorang perempuan yang tidak menyembah Allah. Kasihan pada Nabi, kena marah oleh orang-orang kafir semata-mata nak bagi al-Quran sampai pada Fatihah. Dahulu, kawan-kawan Nabi tiada pen dan tiada telefon macam kita untuk tulis al-Quran. Mereka kena hafal.”
Lalu kita sudah menyuntik satu cabang penting dalam Ulum al-Quran iaitu sejarah perjalanan al-Quran dari fasa pengumpulan dalam dada para Sahabah kepada fasa pengumpulan dalam bentuk tulisan mushaf.
Semoga dengan usaha melentur buluh dari rebungnya ini, anak anak yang kelak mendapat straight A akan sudi mengambil bidang tafsir dan menjadi ulama yang genius membimbing ummat di akhir zaman mentadabbur dan membumikan al-Quran dalam kehidupan.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
Gombak
11 Disember 2017
Leave a comment