Firman Allah SWT :
قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِّنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً مِّنكَ ۖ وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
“Isa ibni Maryam berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu, dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Al-Maidah, 5 : 114)
- Kalimah عِيد (hari raya) berasal dari عاد (berulang atau kembali) kerana ia adalah satu hari untuk kembali mengingati Allah عز وجل dan hari itu berulang setahun sekali.
- Kalimah عِيد hanya disebut sekali dalam al-Quran iaitulah pada ayat 114 surah al-Maidah. Kalimah “Maidah” pula hanya terdapat dalam al-Quran pada ayat 112 dan 114 surah ini iaitulah dalam surah al-Maidah sahaja. Nama tauqifi surah pula berasal usul dari kisah ini, maka ini bermakna memahami kisah ini akan membantu memahami mesej keseluruhan 120 ayat dalam surah ini.
- Mutawalli Sya’rawi r.h. menyatakan kalimah “Al-Maidah” bermakna hidangan makanan yang dijamu kepada mereka yang telah melakukan sesuatu kerja dengan sempurna hingga menyebabkan kepenatan. Apa yang dihidangkan bukanlah sekadar satu dua jenis makanan, bahkan pelbagai dan enak-enak.
- Kisah penuh ayat ini bermula dari ayat 111 hingga 115 iaitu Nabi Isa عليه السلام berdoa agar Allah menurunkan hidangan makanan dari langit selepas diminta oleh pengikut setianya Hawariyyun. Dikatakan mereka berpuasa di siangnya akibat dari ketandusan makanan dan mereka berada dalam keadaan sangat lapar dalam majlis bersama Rasul terakhir Bani Israil berkenaan ( نُرِيدُ أَن نَّأْكُلَ مِنْهَا ).
- Kisah ini tidak berulang dalam al-Quran melainkan dalam surah ini sahaja. Dalam tafsir Ibnu Kathir juga dinyatakan kisah ini tidak pun terdapat dalam kitab Injil kaum Nasrani pada waktu ini dan hanya al-Quran sahaja yang merakamnya.
- Ayat 114 ini menonjolkan kesantunan dan kesanggupan Nabi Isa عليه السلام menunaikan permintaan Hawariyyun meskipun dengan berat hati. Permintaan itu satu keberatan kerana segenap mukjizat yang telah diberikan Allah kepada baginda sebelum ini seharusnya sudah lebih dari mencukupi. (Tafsir al-Sa’adi)
- Namun demikian, kerana permintaan itu telah dikaitkan dengan kemahuan mengukuhkan iman dan tidaklah sekali kali menunjukkan Hawariyyun ragu pada kekuasaan Allah, lalu baginda menunaikan permintaan mereka dan Allah SWT juga menunaikan permintaan Nabi Isa عليه السلام berkenaan.
- Apa yang menarik adalah Nabi Isa عليه السلام dalam doanya telah menambah agar peristiwa turunnya hidangan makanan dari langit ini nanti akan dijadikan hari raya untuk umatnya dan tidak terbatas pengetahuan tentang peristiwa besar berkenaan sekadar untuk Hawariyyun menyaksikannya sahaja.
- Syekh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan makna hari raya dalam ayat ini bermakna peristiwa ini mesti kembali dikenang-kenang dan diulang-ulang setiap tahun sehingga setiap generasi tanpa terkecuali akan mengingati dan mengibrahi peristiwa berkenaan. Ia adalah hari membesarkan Allah dan beribadah menzahirkan kebesaran-Nya pada hari berkenaan Dia telah menurunkan mukjizat yang besar untuk menandakan kewujudan, keesaan dan kekuasaan-Nya.
- Demikianlah sikap seorang Rasul apabila telah menghidu detik perpisahannya dengan Hawariyyun dan ummatnya sudah semakin hampir, maka apa dalam fikirannya adalah kepentingan ummatnya dan bukan sekadar mengikut kehendak Hawariyyun para sahabatnya. Sebab itulah baginda عليه السلام menyebut dalam doanya sebab-sebab makanan diturunkan dari langit yang kelihatan berbeza dari sebab-sebab yang disebut Hawariyyun.
- Selepas kitab Injil dan pelbagai mukjizat ke atas Bani Israil, peristiwa turunnya makanan dari langit adalah mukjizat “penutup” yang menyempurnakan segala mukjizat dan keterangan dari Allah sebelum ini. Selepas segala keterangan ini dan mukjizat terakhir berkenaan, Allah SWT mengancam Hawariyyun dengan azab yang sangat pedih menerusi ayat 115 kerana tiada lagi alasan untuk tidak beriman pada Allah dan Rasul-Nya.
- Demikianlah surah al-Maidah yang juga bertemakan penyempurnaan nikmat Islam sebagai cara hidup sehingga ayat ketiga dari surah ini menjadi antara ayat terakhir dari langit kepada Nabi صلى الله عليه وسلم selepas 23 tahun perjuangan.
- Peristiwa di penghujung surah al-Maidah mengangkat martabat para Sahabat رضي الله عنهم kerana keimanan mereka selama ini tidak perlu menunggu sebarang mukjizat yang ajaib untuk dilihat mata mereka. Cukuplah kemukjizatan ayat-ayat suci dari kitab al-Quran bagi mereka sepanjang 23 tahun dakwah baginda untuk membuktikan kebenaran Nabi صلى الله عليه وسلم ketika Hawariyyun memerlukan sesuatu yang lebih dari ayat-ayat suci dari kitab Injil. (Tafsir Fi Zhilal al-Quran)
- Dikatakan juga pertemuan sebelum dinaikkan ke langit inilah baginda Nabi Isa عليه السلام memberikan khabar gembira kedatangan “Ahmad” atau Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai penutup sekalian para anbiya sebagaimana dijelaskan dalam surah al-Saff (ayat 6-7) dan kualiti para Sahabatnya sebagaimana dijelaskan pada surah al-A’raaf (ayat 157-158) dan al-Fath (ayat 29).
- Kemahuan berhari raya dari Nabi Isa عليه السلام ini penting agar manusia khususnya generasi terkemudian yang semakin jauh dari zaman dan manhaj asal perjuangan Nabi Isa عليه السلام akan tetap mengingati peristiwa berkenaan dan diabadikan dalam fikiran ummat hingga hari Kiamat.
- Ia mesti berlaku menerusi khutbah-khutbah tahunan yang disampaikan di hari yang dikumpulkan ahli keluarga dan kaum kerabat masing-masing di rumah Allah. Peristiwa yang menjelaskan bagaimana Nabi Isa tiada kuasa apa apa melainkan merayu dan memohon dari Tuhannya.
- Semoga setiap juadah makanan yang kita hidang dan nikmati pada 1 Syawal hari ini tidak melupakan kita pada Pemberi makanan dan minuman berkenaan sebagaimana Hawariyyun diperingatkan bahawa Allah jualah yang memberi rezeqi. وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
- Jika sajian makanan dan minuman itu segalanya berpunca dari hujan yang diturunkan dari langit, maka janganlah lupa “sesuatu” yang juga telah diturunkan dari langit dan telah diperdengarkan sepanjang 30 malam Ramadhan yang telah berlalu. فَلْيَنظُرِ الْإِنسَانُ إِلَىٰ طَعَامِهِ
- Semoga hari raya عيد الفطر kita menjadi hari kita meraikan kesyukuran kerana 114 surah yang telah dibaca atau diperdengar dari awal hingga akhir sebagaimana ayat 114 yang merakamkan ucapan Nabi Isa عليه السلام agar kesyukuran pada peristiwa mukjizat itu dikenang dan diulang-ulang dengan bentuk hari raya dari generasi terawal hinggalah terakhir.
- Semoga Idulfitri bukan sekadar kita kembali kepada keluarga tercinta, bahkan kita “kembali” menemui sesuatu yang selama ini hilang dari kehidupan kita. Sebagaimana ayat pertama surah al-Qadar yang “dihilangkan” kalimah al-Quran dengan gantian kata nama, namun mukmin sangat memahami ganti nama itu mesti “kembali” kepada apa yang mungkin hilang selama ini dari kehidupan sebelum Ramadhan. Itulah Al-Quran !

Selamat Hari Raya Idulfitri
Maaf Zahir dan Batin
تقبل الله منا ومنكم صالح الاعمال
Ikhlas dari :
Syaari Ab Rahman
Nurul Suhadah Shuib
Fatihah Wajihah
Aqeel Muhtadi al-Fatih
Aqeel Farahi
1 Syawal 1441 H
Leave a comment