
Jika Ramadhan itu dihadirkan untuk kita membesarkan ALLAH, maka apakah maksud membesarkan ALLAH ? Adakah sekadar bertakbir di hari raya ‘Idulfitri ?
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Abdullah Muhammad Basmeih : “…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan SUPAYA KAMU MEMBESARKAN ALLAH kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah, 2 : 185)
Perhatikanlah kisah para anbiya yang diuji, waktu bila mereka menyebut ALLAH ketika diuji, itulah tadabbur makna membesarkan ALLAH.
Mereka membesarkan redha dan ganjaran dari ALLAH, mereka mengecilkan musibah yang menguji mereka serta syaitan jin dan manusia yang membisikkan putus asa kepada mereka.
Ambil dua contoh dari dua orang Nabi ketika keduanya melafazkan ALLAH semasa diuji.
Seorang diuji dengan kehilangan.
Seorang diuji dengan godaan.
Perhatikan bagaimana mereka “bertakbir” membesarkan ALLAH lebih dari ujian yang mereka hadapi.
وَجَاءُوا عَلَىٰ قَمِيصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ
Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: “Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan ALLAH jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.” (Yusuf, 12 : 18)
وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada ALLAH (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. (Yusuf, 12 : 23)
Setiap posisi kalimah dalam al-Quran, ada tujuan dan ada konteksnya, ada hikmah dan ada munasabahnya.
Kekadang para anbiya’ menyebut “Rabb”. Kekadang para anbiya’ menyebut “ALLAH”. Kesemuanya ada hikmah untuk ditadabburi.
Itu yang seharusnya kita faham semasa melaungkan TAKBIR pada 1 Syawal nanti.
Itulah lafaz yang memberi kekuatan berhadapan dengan ujian kehilangan, ujian godaan, dan pelbagai ujian menanti sebelas bulan selepas Ramadhan.
Binalah kekuatan sepanjang Ramadhan.
Binalah kekuatan dengan al-Quran.
Kerana ada sebab Allah mengumumkan ia diturunkan dalam bulan Ramadhan.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
25 Sya’ban 1441
Hari ke 33 Perintah Kawalan Pergerakan
Bangi
Leave a comment