NABI NUH “LOCKDOWN” LEBIH 8 BULAN ?

NABI NUH “LOCKDOWN” LEBIH 8 BULAN ?

Boleh tahu rujukan tafsir mana yang diambil ?

Jika ia pentafsiran salaf, kita terima dengan penuh hormat dan lapang dada. Kita akan mentafsirkan ayat-ayat Allah sebagaimana mereka mentafsirkannya.

Jika ia semata-mata Israiliyyat tanpa kaitan dengan pendapat generasi salaf dan tidak pula bertentangan dengan mana-mana nas, kita kata “kita tidak mendustakan, kita tidak juga membenarkan, kita serah pada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib. Wallahu a’lam”.

Jika ia semata-mata rekaan khuthaba’ dan penglipur lara, bertaqwalah pada Allah, selidiklah sebelum sebar.

Yang pasti, al-Quran memaparkan kisah Nabi Nuh عليه السلام dengan perspektif ibrah iaitu pengajaran yang boleh diambil dan diamalkan dalam kehidupan kita.

Pertama, bersabar dalam berdakwah. Tiada yang lebih lama berdakwah menghadapi pelbagai karenah dan tentangan melainkan baginda iaitu 950 tahun.

Kedua, iman tidak boleh diwarisi. Tabahkan hati sekiranya isteri dan anak sendiri tidak memilih iman.

Ketiga, bila tawakkal, Allah pasti membantu. Tiada pengetahuan membina bahtera, Allah bimbing dan memberi wahyu satu persatu.

Keempat, kekuasaan Allah luar jangkaan. Ombak setinggi gunung, bahtera dari kayu dan paku, terlebih muatan binatang dan bekal makanan, namun bahtera kekal selamat dan mendarat di bukit Judiyy.

Banyak lagi ibrahnya kalau mahu disenaraikan.

Apa kata dalam tempoh PKP ini, kita sibukkan diri mencari pengajaran kisah, bukannya membahaskan berapa hari baginda “lockdown” atas bahtera.

Wallahu a’lam

وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِسْمِ اللَّهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا ۚ إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Terjemahan : Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya’. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Hud, 11 : 41)

فَإِذَا اسْتَوَيْتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى الْفُلْكِ فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِي مُنزَلًا مُّبَارَكًا وَأَنتَ خَيْرُ الْمُنزِلِينَ

Terjemahan : “Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim”. Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.”

(Al-Mu’minuun, 23 : 28-29)

وَحَمَلْنَاهُ عَلَىٰ ذَاتِ أَلْوَاحٍ وَدُسُرٍ
تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا جَزَاءً لِّمَن كَانَ كُفِرَ

Terjemahan : Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku; Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!

(Surah al-Qamar, 54 : 13-13)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started