DUDUKLAH DI RUMAH, DUDUKLAH BERSAMA SURAH MARYAM

Di waktu musibah yang menyebabkan kita perlu bekerja dari rumah dan “mengurung” anak-anak, antara surah yang baik untuk dibaca dan ditadabbur ialah surah Maryam.

Bukanlah kerana ada fadhilat-fadhilat yang khusus menghadapi musibah, tetapi kerana banyaknya “checklist” yang kita para ibubapa mungkin telah abaikan selama ini sebelum kedatangan musibah Covid-19.

Surah yang sarat dengan adegan dalam rumah dan dalam mihrab. Surah yang padat dengan agenda pembangunan keluarga di akhir zaman dengan dasar iman.

Tiada siapa dipinggirkan dalam surah ini sama ada seorang ayah, seorang ibu atau seorang anak. Semua memainkan peranan dengan uslub penceritaan dari Allah SWT yang mendamaikan, mengkagumkan.

Seorang ayah pasti berubah cara dia melihat dirinya sebagai ayah apabila membaca kisah Nabi Zakariyya a.s.

Bagaimanakah adab berdoa yang sebenar boleh dilakukan sekeluarga sehingga doa itu dimustajabkan ?

Apa tujuan sebenar mempunyai anak ?

Bagaimana anak sudah boleh memahami dan mengamalkan ajaran al-Kitab dengan”quwwah” sejak dari usia kecil ?

Seorang anak perempuan atau seorang ibu pasti berubah cara dia melihat dirinya sebagai anak perempuan atau sebagai ibu apabila membaca kisah Maryam a.s.

Bagaimana untuk melahirkan anak yang tahu kepentingan ibadah yang khusyuk dan cara-cara memperolehinya ?

Bagaimana untuk melahirkan anak yang ada kekuatan taqwa ketika berhadapan dengan lawan jantinanya yang sempurna kecantikannya ?

Bagaimana untuk melahirkan anak yang mampu bertenang ketika diuji dengan ketentuan Allah SWT yang berat untuk diterimanya ?

Seorang anak lelaki pasti berubah cara dia melihat dirinya sebagai anak apabila membaca kisah Nabi Ibrahim a.s.

Bagaimana untuk melahirkan anak yang berani bersuara menegur perbuatan ibubapa yang bertentangan dengan syara’ ?

Bagaimana untuk melahirkan anak yang kekal mengasihi ibubapanya dan mendoakan mereka agar diampunkan Allah SWT ?

Bagaimana untuk melahirkan anak yang meyakini rezeki itu dari Allah, bukan dari ayah ketika ayah tidak lagi memihak kepada perjuangan si anak, bahkan memerangi dan menghalau anak keluar dari rumahnya dan kesenangan yang diberikannya selama ini ?

Seorang adik atau abang pasti berubah cara dia melihat dirinya sebagai adik-beradik apabila membaca ayat-ayat mengenai Musa dan Harun a.s.

Adakah abangku, kakakku, adikku memahami apa yang aku perjuangkan ?

Bagaimanakah untuk mereka bersamaku dan menyertaiku menggalas tugas menyebarkan agama ini sehingga aku tidak rasa bersendirian ?

Ulanglah membaca surah Maryam itu berkali-kali. Beleklah tafsirannya.

Bacalah setiap hari sepanjang meniti hari-hari musibah ini tiada ruginya. Percayalah.

Jadikanlah musibah ini sebagai “wake up call” untuk kembali kepada keluarga di rumah, meneguhkan sendi-sendi kekeluargaan yang kini melemah dan tiang-tiangnya yang kini merapuh.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا . وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam, 19 : 54-55)

Sentiasa ada kebaikan pada musibah yang terjadi.

Pilihan di tangan kita untuk berusaha mendatangkan sendiri hikmahnya atau sekadar menunggu-nunggu kedatangan hikmahnya.

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Maryam, 19 : 59)

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Syaari Ab Rahman
23 Rejab 1441 H / 18 Mac 2020
Hari 1 Perintah Kawalan Pergerakan
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started