SEBUAH LAGI KARYA “SIRAH DI SEBALIK SURAH” WAJAR DIMILIKI

Unik pendekatan kitab yang berjaya ditangkap di Rumah Kertas RAMI ini.

Seakan-akan ia sengaja muncul selepas kelas siri ketiga Ulum al-Quran pagi tadi menyentuh “Makki Madani” oleh Shekh Manna’ Qaththan.

Kelihatan ada persamaan method dengan al-Rahiq al-Makhtum, namun kitab ada keistimewaannya yang tersendiri.

Tercari-cari juga naskhah asalnya dalam bahasa Arab, gagal ditemui.

Kebiasaannya karya sirah mendahulukan fakta-fakta sirah dari pelbagai riwayat, namun Shekh Abdul Malik al-Shaibani mendahulukan ayat-ayat al-Quran atau surah-surah yang berkenaan beserta tafsirannya sebelum fakta-fakta sirah atau tema-tema pergerakan dakwah Nabi SAW dibentangkan.

Mengupas peristiwa menjelang kelahiran Nabi SAW, dibawa dahulu surah al-Fiil dan surah al-Naas dengan memetik tafsiran dan tadabbur almarhum Syed Qutb.

Mengupas peristiwa selepas hijrah membabitkan konfrontasi antara kaum muslimin dengan Yahudi, dibawa dahulu surah al-Jumuah selengkapnya sebanyak 11 ayat dengan memetik tafsiran dan tadabbur Syed Qutb.

Mengupas peristiwa menjelang kewafatan Rasulullah SAW, dibawa dahulu surah al-Nashr dengan memetik tafsiran dan tadabbur Syed Qutb.

Tafsir Syed Qutb dipilih penulis karya ini kerana beliau sangat memberi penekanan pada aspek sirah surah (atau “Makki Madani” dalam perbahasan Ulum Al-Quran) dalam tafsirnya.

Apa surah yang diturunkan sebelum dan apa kumpulan surah yang diturunkan berdekatan (dari sudut penurunan, bukan susunan dalam mushaf) kerap disentuh Syed Qutb berdasarkan tulisan ini.

“Pada waktu ini, sejarah hanya dibataskan pada apa yang diriwayatkan dan khabar berita yang beredar. Tidak lebih dari sekadar persaksian atau riwayat mengenai peristiwa, tradisi dan hal ehwal manusia yang disatukan pula oleh sebuah method analisis yang memberikan batasan keterkaitan antara berbagai peristiwa. Lalu datanglah method al-Quran, yang memindahkan kemanusiaan ke ufuq baru, menetapkan kepada mereka sebuah method memandang berbagai peristiwa dalam sejarah manusia. Manhaj ini bukanlah sebuah method berfikir dan meraih pengetahuan, bahkan inilah satu-satunya method yang memberikan penafsiran yang sebenar terhadap sejarah manusia.” (Abdul Malik al-Shaibani, Muqaddimah Sirah Fi Zhilalil Quran)

Karya ini berusaha ke arah membuktikan al-Quranlah – yang turun dari Yang Maha Mengetahui apa dalam hati – teras kekuatan dan perubahan generasi yang diturunkan kepada mereka al-Quran dari semasa ke semasa, dari satu fasa ke satu fasa, dari Makkah ke Madinah (manhaj haraki jilul Qurani).

Sesungguhnya pembelajaran hadis dan sirah itu tidak seharusnya berpisah dari pembelajaran tafsir al-Quran itu sendiri. Bukankah segala gerak geri Nabi SAW yang dirakamkan ahli sirah dan ahli hadis itu sebahagian dari tafsiran al-Quran dari Nabi SAW yang dianugerahkan al-Hikmah dari Allah SWT ?

Terinspirasi dengan method al-Shaibani ini, saya impikan seandainya ada lagi karya mengenai “tadabbur ayat-ayat sirah Nabawiyyah dalam al-Quran” atau “sirah di sebalik surah” sebegini dengan sentuhan ulama tafsir yang lain pula, yang juga memberi penekanan aspek “Makki Madani” dalam tafsir mereka seperti al-Maududi (Tafhim al-Quran), Abdul Rahman Habannakah (Ma’arij al-Tafakkur wa Daqaiq al-Tadabbur) serta Fadhl Hasan Abbas (Qasas al-Quran al-Karim, kisah-kisah al-Quran menurut turutan penurunan).

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
Bangi
11 Rejab 1441 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started