
Ambillah masa secukupnya sebelum membuat apa-apa kesimpulan.
Kalaulah setiap yang terjadi itu jelas hikmahnya, tidak perlu masa yang lama untuk memikirkannya, maka untuk apa Khidr عليه السلام membuka mulut memberi penjelasan sedangkan Musa عليه السلام sudah menjelaskan pendirian.
Jika Musa meyakini semua fakta di hadapan matanya sudah terang lagi bersuluh, mengapa Musa masih menunggu penuh setia penjelasan dari Khidr sebelum berpisah dengannya ?
Mengapa pula Khidr tidak memberi apa-apa penjelasan melainkan selepas tiga hentian berkenaan ?
Apa keperluan diberi penjelasan di penghujung perjalanan yang sangat meletihkan, sedangkan Musa sangat terdesak mahukan jawapan dan penjelasan selepas apa yang terjadi di setiap hentian ?
Khidr mengajar Musa agar bersabarlah, jangan cepat membuat kesimpulan.
Carilah dahulu hikmah sementara perjalanan masih diteruskan. Mungkinkah ada kesimpulan lain selain dari kesimpulan yang dibuat Musa secara gopoh sebentar tadi.
Kekadang, sesuatu kesimpulan yang dibuat selepas berfikir panjang, itu lebih baik dari kesimpulan yang dibuat seawal minit pertama sesuatu kejadian.
Pertemuan Khidr dan Musa عليهما السلام itu bukanlah sekadar cerita, namun kisah yang menegur sikap kita.
Khidr bukanlah segalanya, namun menerusi lidahnya kepada Musalah, kita faham apa yang Allah SWT mahu sampaikan kepada kita sementara hidup di era penuh kekeliruan di akhir zaman.
Tiadalah manfaat kisah-kisah begini kepada mereka yang sentiasa merasakan apa yang dilakukan sentiasa betul, tidak perlu teguran dari sebaik-baik pemberi peringatan, al-Quran.
Wallahu a’lam.
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Syaari Ab Rahman
2 Rejab 1441 H
Bangi
Leave a comment