AKU, MASALAH HIDUP, MADRASAH RAMADHAN

Kekadang kita mahu mencari ayat-ayat yang ada kaitan “direct” dengan masalah kita.

Ketika sakit, barangkali ayat 80 surah 26 menjadi bacaan, hafalan dan kekuatan kita.

Ketika buntu, barangkali ayat 79 surah 21 menjadi bacaan, hafalan dan kekuatan kita.

Ketika mahukan anak, barangkali ayat 89 surah 21 menjadi bacaan, hafalan dan kekuatan kita.

Mungkin kerana masa kita suntuk dengan al-Quran, urusan kerja agak banyak, lalu kita terpaksa memilih-milih ayat-ayat tertentu yang difikirkan menjawab secara “direct” permasalahan kehidupan kita.

Tidaklah mengapa.

Asalkan kita masih memberi masa kepada al-Quran dalam kadar kemampuan kita yang sibuk.

Satu dua ayat yang mampu kita hafal, faham tafsirannya dan jadikan pegangan hidup itu lebih baik dari meninggalkan terus pesan-pesan al-Quran lalu menurut hawa nafsu dan akal fikiran semata.

Namun, jika kita ada masa lebih, usahakanlah sesuatu lebih dari memerhati atau menghafal ayat-ayat “direct” berkenaan.

Mungkin Ramadhan nanti, dengan semangat khatam – inshaallah – iaitu membaca dari awal hingga akhir mushaf, membaca dari awal surah hingga akhir surah, kita boleh memulakan apa yang akan saya perkatakan ini.

Anggaplah Ramadhan ini seumpama percutian sebulan. Sudah lama di luar Ramadhan kita melihat kehidupan ini menerusi jendela dalam rumah kita sahaja. Kini tiba Ramadhan, kita dijemput mendaki sebuah gunung tinggi di belakang rumah kita.

Ayuh, ada sesuatu bakal anda lihat yang tidak mampu dilihat dari dalam rumah. Dakilah, ia memang sulit, namun hasilnya menakjubkan. Siapa tidak mahu melihat erti sebenar kehidupan dari atas puncak bukit dan bukan sekadar dari jendela rumah ?

Dalam banyak situasi, Allah SWT membantu permasalahan semasa dihadapi Nabi SAW bukan dengan hanya menurunkan satu dua ayat-ayat yang “direct”. Bahkan ada “muqaddimah” yang kekadang panjang lebar diturunkan bersama dengan jawapan-jawapan “direct” (kepada permasalahan semasa atau cabaran-cabaran terkini dari musuh-musuh Nabi SAW).

Pasti ada banyak hikmah kisah Zulqarnain yang ditanya Quraish, diturunkan “pakej” bersamanya kisah Musa bertemu Khadr AS yang tidak pun ditanya oleh Quraish.

Pasti ada banyak hikmah Allah SWT menurunkan “surah” yang di dalamnya ada pelbagai “cerita-cerita lain” selain dari ayat-ayat “direct” yang kita telah faham tafsirnya dan tadabburnya tadi serta menghafalnya.

Maka, sebaiknya dan sebagai meningkatkan adab kita kepada al-Quran al-Karim, telitilah juga bagaimana surah yang kita temui jawapan-jawapan “direct” itu, bagaimana ia bermula.

Pasti ada sebab ulama-ulama Ulum al-Quran dahulu membahas fenomena pembukaan-pembukaan (fawatih) surah ini.

Betapa banyak isu-isu semasa dihadapi Baginda, Allah SWT mendidik Nabi SAW bukan dengan terus Allah membantu menjawab isu itu secara “direct”, tetapi dengan mengemukakan prinsip-prinsip yang asas dan wawasan-wawasan yang luas.

Al-Baqarah barangkali surah paling banyak “asbabun nuzul” serta cerita-cerita sahih mengenai permasalahan-permasalahan semasa kaum Muslimin di Madinah, namun bukankah lima ayat pertamanya tiada kena mengenai dengan mana-mana peristiwa khusus atau riwayat-riwayat “asbabun nuzul” ?

Lima ayat pertama (atau lebih dari lima ayat pertama) mengemukakan prinsip-prinsip asas dan wawasan-wawasan kehidupan yang luas agar kita melihat kehidupan ini dengan lebih objektif.

Surah Al-Dhuha sememangnya menjawab mereka yang menuduh Baginda SAW kononnya telah ditinggalkan Tuhannya sendiri, namun ada sebab Allah SWT memulakan dengan sumpah dan dengan subjek sumpahnya pula waktu Dhuha.

Siapalah kita mahu mengatakan sumpah dengan waktu Dhuha tiada kena mengena “direct” dengan masalah kita.

Sebab itu dalam dunia tafsir maudhuie itu bukan hanya sekadar tafsir maudhuie “qadhiyah” (isu-isu), tetapi wujudnya juga tafsir maudhuie “surah” agar berlaku keseimbangan pada interaksi kita pada al-Quran.

Kita mungkin tercari-cari ayat-ayat mengenai rawat stress atau selesai hutang dalam al-Quran, namun ada baiknya juga – Ramadhan nanti – kita merenung apakah ayat-ayat sebelumnya, mengapa begitu ayat-ayat sebelumnya, dan bagaimana surah itu bermula, yang pada awalnya kita sangka semua ini seperti tidak ada kaitan “direct” dengan masalah kita.

“Tidak tersusunnya al-Quran itu mengikut urutan perbahasan isu yang sistematik bukanlah dianggap keaiban. Bahkan itulah petunjuk bahawa al-Quran bukan karya manusia. Al-Quran bersumber murni dari Allah SWT tidak akan sama dan sangatlah dungu jika disamakan dengan karya-karya yang dihasilkan manusia.” – al-Zurqani (wafat 1367 H), Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran

Kerana tertanya-tanya mengapa ayat “mesyuarat berkesan” dalam surah ini dan ayat “pemuliharaan alam sekitar” dalam surah itu, penyebab kitab-kitab tafsir tidak pernah selesai ditulis. Ada sahaja ijtihad, tadabbur dan keajaiban semasa ditemui para ulama tafsir.

Selamat memakna Ramadhan al-Mubarak.

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
24 Jamadil Akhir 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started