
Apabila seseorang yang dalam perjalanan pulang ke destinasi asalnya menghubungi anda sebanyak 17 kali banyaknya, fahamlah kita bahawa dia sangatlah tidak yakin dengan jalan yang dia tempuh.
Bukan kerana kurang keyakinan diri.
Hanya kerana banyaknya kenderaan melalui jalan yang baginya kelihatan bukan jalan sepatutnya. Sangat mengelirukan !
“Adakah mereka ini memilih jalan yang betul ? Atau aku ekori sahaja mereka kerana ramainya melalui jalan berkenaan ?”
! ولله المثل الأعلى
Kalau sampai 17 kali dalam satu hari, kita meminta-minta petunjuk, agar berada di jalan yang selamat membawa ke destinasi, itu menunjukkan apa barangkali ?
Ya!
Menunjukkan kerisauan dan kebimbangan, adakah aku sedang tergelincir sedikit atau sudah tersasar jauh.
Tuhan beri aku petunjuk !
Dari satu solat fardhu ke satu solat fardhu, seorang mukmin membuat keputusan-keputusan dalam hatinya. Bahkan kebanyakan keputusan yang diambilnya tidak pun disedarinya sebuah “keputusan”.
Betapa banyak keputusan-keputusan terhasil setiap minit dan setiap jam, dijelmakan dalam bentuk perkataan yang diucap atau tindakan yang diambil, disangkanya banyak kebaikan namun di sisi Tuhannya ialah keburukan.
Tuhan beri aku petunjuk !
Dari satu solat fardhu ke satu solat fardhu, seorang mukmin sentiasa menghadirkan kerisauan dalam hatinya, “adakah aku telah membuat keputusan-keputusan yang betul sepanjang sejam dua atau berjam-jam yang telah berlalu tadi ?”
Tuhan beri aku petunjuk !
Lalu hadirlah solat fardhu seterusnya, dia meminta petunjuk dari Tuhannya agar menetapkan hatinya, seandainya keputusan-keputusan diambilnya tadi mengekalkan dia di atas jalan yang lurus menuju redha Tuhannya.
Atau dia meminta Tuhannya menukar pendiriannya, menukar keinginannya, menukar perasaannya segera, meninggalkan serta merta apa yang telah “selesa” dilakukan atas nama tabiat, seandainya tabiat-tabiat dan keputusan-keputusan yang telah diambilnya tadi, hakikatnya telah menjauhkannya dari jalan menuju redha Tuhannya.
Tuhan beri aku petunjuk !
Segenap perkataan dan perbuatan antara dua solat fardhu tadi menjadi perhitungan buat dirinya. Undur ke belakang agar taqwa menjelma di depan.
Seorang mukmin tidak pernah rasa selesa dengan apa yang ditinggalkan sebelum satu solat fardhu dikerjakan.
Sombong namanya kalau sudah rasa mendapat petunjuk sebelum mengadap Tuhan.
Kerana untuk apa memposisikan diri sebagai peminta-minta petunjuk kalau diri sudah rasa sudah menemui petunjuk ?
Risaulah dengan apa yang baru sejam berlalu.
Risaulah dengan apa yang baru semalam berlalu.
Risaulah dengan apa yang baru seminggu sebulan berlalu.
Risaulah dengan apa yang sebenarnya sedang dilakukan atas muka bumi ini, dengan usia kian meningkat dan mati semakin mendekat.
Tuhan beri aku petunjuk !
Leave a comment