
Doa Nabi Nuh Semasa Berlayar Di Atas Bahtera
Firman Allah SWT :
وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِي مُنزَلًا مُّبَارَكًا وَأَنتَ خَيْرُ الْمُنزِلِينَ
Abdullah Muhammad Basmeih : “Dan berdoalah dengan berkata: ` Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat’ (Al-Mu’minun, 23 : 29)
“Ayat ini ialah didikan dari Allah SWT agar dibacakan apabila menaiki kenderaan, apabila sampai ke destinasi, bahkan apabila mahu memasuki rumah dan memberi salam. Diriwayatkan bahawa Ali bin Abi Talib r.a. membacanya setiap kali memasuki masjid.” – Tafsir al-Qurthubi
Kadang-kadang kita sangka destinasi yang memberi keberkatan pada kita ada di depan, tapi rupa-rupanya ada di belakang dan kita sudah melepasi lokasi yang diberkati berkenaan.
Rupanya “jalan terus” itu ialah dengan berundur semula ke belakang sebagaimana dilakukan Musa semasa mencari Khadr alaihimassalam.
Kadang-kadang kita sangka destinasi kita jauhnya ratusan kilometer di depan, tapi rupanya ia terlalu dekat sahaja dan di situlah keberkatan Allah menanti kita seperti apa yang diilhamkan Allah SWT kepada pemuda al-Kahfi.
Mohonlah pada Allah agar sentiasa dalam perjalanan hidup kita, kita mendarat di “bukit Judiyy”, “pertemuan dua lautan” dan “gua al-Kahfi” yang diberkati, yang dilimpahkan Allah rahmat-Nya.
Dan bukan sebaliknya hidup ini dipandu destinasi-destinasi rekaan dan khayalan makhluk yang hidupnya sudah melupakan destinasi sebenar iaitu negara Akhirat yang kekal abadi.
Leave a comment