ANALISA IBRAH KISAH ASHAB AL-SABTI

ANALISA IBRAH KISAH ASHAB AL-SABTI
(Segmen IBRAH 23.3.1437)

1. Surah Al-A’raaf (163-168) ini seharusnya meningkatkan keimanan kita pada memahami maksud “المغضوب عليهم” dalam Al-Fatihah yang baca setiap kali solat. Itulah kisah sekumpulan Yahudi yang dilaknat Allah menjadi kera.

2. TIGA ujian “sengaja” didatangkan Allah kepada Bani Israil.

  • dilarang melakukan sebarang aktiviti pada hari Sabtu melainkan hanya beribadah
  • ikan muncul begitu banyak pada hari Sabtu tanpa perlu bersusah-susah ke lautan (situasi tidak normal, ikan sebagai “tentera Allah”)
  • ikan tidak pula muncul pada hari lain dan sukar pula untuk memperolehinya (situasi normal)

Ujian ini sebagai proses terakhir “siasatan” Allah Azza wa Jalla pada “mengumpul bukti” sikap fasiq mereka pada beragama dan “track record” karenah mereka pada hari Sabtu. Inilah yang boleh difahami dari zahir nas yang memperjelas tujuan sebenar ibtila’ ini diadakan.

3. Kisah ini menyentuh sikap TIGA kumpulan dari Bani Israil yang sama.

  • Kumpulan 1 : PENDOSA ; sentiasa berterusan dalam mengerjakan dosa besar, tidak ambil peduli dengan peringatan yang diberikan secara kerap, فلما نسوا ماذكروا به
  • Kumpulan 2 : PENDAKWAH ; meneruskan tanggungjawab dakwah atas dua asas iaitu معذرة إلى ربكم (kerja dakwah ini boleh menjadi alasan yang diterima Allah untuk tidak ditimpakan bala ke atas pendakwah sekalipun bala itu akan menimpa kaum pendosa) dan ولعلهم يتقون (memastikan kaum pendosa itu tidak jahil dengan dosa mereka, biar sampai ke telinga mereka seruan Islam, siapa tahu akan ada yang terbuka pintu hatinya)
  • Kumpulan 3 : PENDIAM ; tidak melakukan dosa menangkap ikan, tetapi menghalang kumpulan 2 dari melakukan amar makruf nahi mungkar. Alasannya seolah-olah “jaga tepi kain masing-masing”. Jika diperhatikan dengan teliti, alasan mereka berikan seperti suatu alasan yang seringkali disebut-sebut dalam bentuk sarkastik kepada para pendakwah. “Kamu tak usahlah sibuk-sibuk nak nasihat mereka. Kalau perbuatan mereka itu salah, Allah sendiri akan ajar mereka. Bukan kamu.” (Ayat 164)

4. 6 ayat kisah ini adalah ayat Madaniyyah. Namun dimasukkan Rasulullah ke dalam surah Makkiyah ini atas perintah Allah yang Maha Berhikmah. Mungkin untuk mengukuhkan tema surah Al-A’raaf ini sendiri yang turun dengan latarbelakangnya adalah dakwah secara terang-terangan. Ertinya temanya, JANGAN BERDIAM DIRI, NYATAKAN PENDIRIANMU, jangan duduk atas pagar!

5. ENAM ayat ini memotivasikan kita melaksanakan agenda surah Wal Asr iaitu berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran.

6. Allah tidak melihat pada natijah pendakwah. Allah melihat pada usaha yang dilakukan. Itulah usaha yang dilakukan oleh kumpulan pendakwah tanpa kehadiran seorang Nabi pun bersama mereka mencegah kemungkaran para pendosa itu. Buktinya pada ayat, أنجينا الذين ينهون عن السوء

7. Sumpahan kera itu berlaku :

  • secara hakiki, bukan maknawi (pendapat Syekh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi menyokong pandangan Syed Qutb dan Al-Tabari)
  • berlaku hanya pada pendosa Sabtu sahaja, bukan semua Bani Israil
  • kera sumpahan itu tidak melahirkan anak atau meninggalkan zuriat keturunan
  • kemarahan kita pada Zionis Israil cukuplah dengan mengatakan mereka berasal dari keturunan bangsa yang dimurkai Allah, mengatakan mereka cucu cicit dari keturunan kera dan babi yang masih hidup pada hari ini adalah suatu kenyataan yang tiada sandaran dari Al-Quran dan Al-Sunnah
  • bukti kekuasaan Allah pada manusia yang sudah berfikiran kera, berhati perasaan kera, pendek kata sistem dalamannya sudah tidak lagi menggunakan akal fikiran, hanya tubuh dan sistem luaranya sahaja masih lagi manusia, lalu Allah melengkapkan terus sifat kera itu 100 % secara dalaman dan luaran
  • banyaknya pepatah Melayu babitkan perkataan kera

8. Kaedah penceritaan Allah konsisten mengekalkan pendekatan :

  • tidak menyatakan lokasi kejadian dan detik peristiwa di era mana
  • membawa elemen dialog untuk memberikan “ruh” kepada cerita sehingga ia benar-benar hidup dalam pembacaan kita
  • penggunaan perkataan “كذالك” sebagai rumusan dari Allah sendiri agar “we got the point” dari kisah ini

9. Allah tidak sebut kesudahan kumpulan pendiam sebagai satu penghinaan kepada mereka. Sebagaimana Al-Hafiz Ibnu Kathir mengatakan Allah tidak sebut perkataan Dajjal di dalam Al-Quran sebagai penghinaan kepadanya.

10. Tiada larangan bekerja atau “menangkap ikan” bagi umat Islam pada hari Jumaat. Yang dilarang “menangkap ikan” adalah sebaik sahaja selepas azan solat Jumaat berkemundang (Surah Al-Jumuah, 9). Tahniah pada organisasi yang mengadakan majlis ilmu atau majlis kerohanian pada kakitangannya meskipun hari Jumaat sebagai hari bekerja. Kepada yang bercuti pula, benar-benarlah memaknakan Jumaat sebagai “hari Yaasin”, “hari Al-Kahfi” atau sebagai “hari kerohanian” ummat Islam.

11. Teruskan memahami kisah-kisah Al-Quran tanpa perlu mengheret masuk Al-Israiliyyat. Hidup sihat tanpa Israiliyyat.

Syaari Ab Rahman
26.3.1437
Kuching, Sarawak

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started