Dalam hal penjelmaan semula kitab lama ke bentuk baru, Telaga Biru tidak pernah mengecewakan.
Nurul Furqan atau Tafsir Jalalain antara tafsir klasik yang ringkas, ditulis oleh jaguh penting dalam Ulum al-Qur’an iaitu Al-Imam Jalaluddin al-Mahalli (wafat 864 H) dan muridnya, al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi (wafat 911 H).


Juzuk Amma pula antara juzuk terbaik mendekatkan awam kepada al-Quran yang kebanyakan surah-surahnya sudah melekat dalam kepala.
Dengan rupa paras baru sebegini, maka ia sangat membantu masyarakat awam memperolehi akses kepada salah satu sumber tafsir dalam bahasa Melayu (diterjemahkan).
Antara inisiatif dilakukan Telaga Biru kepada tafsir ini ialah seperti menambah terjemahan per kata untuk setiap perkataan, menambah maklumat yang releven sebagai nota kaki (membantu tafsir dan tadabbur ayat) dan mengeluarkan maklumat-maklumat kebahasaan, qiraat, balaghah dan sebagainya dan menjadikannya sebagai nota kaki agar tidak kelihatan membebankan pembaca yang tidak mahir berbahasa Arab.

Apapun, sebagai pelajar bidang tafsir, memperkaya bacaan sangat membantu tadabbur dan melihat tafsiran sesuatu ayat dari pelbagai perspektif dan cara fikir para ulama.
Sememangnya setiap karya tafsir ada kekuatan dan kelemahan, maka kita sebagai pelajar ilmu wahyu yang setiap kalam-Nya selautan makna, maka kita ambillah pendekatan buang yang keruh dan ambil yang jernih, terus membaca dan berguru dan di akhirnya dan puncaknya ialah membanyakkan zikrullah dan memperbaik amal soleh.
Semoga Allah merahmati para penulis tafsir ini.
Leave a comment