
Sebuah karya setebal 200 mukasurat nukilan Prof. Zaini Ujang yang sangat memotivasikan. Berikut antara mutiara kata beliau yang saya anggap bersesuaian dengan diri saya selaku penuntut ilmu yang masih merangkak dalam disiplin ilmu pengajian wahyu ini.
- Jika pesakit akan mati apabila tidak diberi makan dan minum ubat, maka demikian sifatnya hati. Tanpa hikmah dan ilmu selepas tiga hari, hati akan mengeras dan mati. (Fatah al Maushili)
- Pesan Allahyarham Tan Sri (Dr) A. Samad Ismail kepada beliau : “Jika kita berasa kita pandai, kita tidak akan terdorong untuk membaca. Tetapi jika kita berasa diri kita bodoh, nescaya kita akan terus dan terus membaca.”
- Tetapkan matlamat untuk menghabiskan 4 hingga 10 buku dalam sebulan untuk dibaca.
- Prof Diraja Ungku Aziz membaca empat jam sehari !
- Bermotivasi untuk membaca dan memotivasikan orang lain untuk membaca adalah dua perkara berbeza. Jadilah kedua duanya sekali.
- Jika sambil menunggu bas atau pengangkutan awam atau perubahan jadual berlepas kapal terbang atau menunggu angka giliran atau menunggu tetamu kehormat yang belum sampai, maka pilih bahan bacaan tidak serius atau lebih ringan. Jika objektif pembacaan sekadar mengisi masa lapang, maka pilih bahan bacaan yang lebih nipis dan boleh ditamatkan dengan segera buku berkenaan.
- Suatu maklumat yang kita ketahui sedang berlaku, barangkali tidak lagi releven 10 minit kemudiannya. Dunia penerbitan buku seluruh dunia menyaksikan setiap satu jam akan terbit empat buku judul baharu!
- Kita tidak boleh membiarkan diri dengan hanya membaca dan bergelumang dalam satu bidang khusus sahaja. Kita tidak boleh membiarkan diri hidup dalam satu kepompong atau kelongsong ilmu semata mata. Pengkhususan sedemikian menjadikan kita kera sumbang atau manusia usang di zaman sains dan teknologi berkembang pesat waktu ini.
“A knowledgeable man is a man who knows more and more about more and more” dan bukan sebaliknya “knows more and more about less and less”.
- Jika anda merasakan anda mengalami tabiat malas membaca, maka satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengasosiasikan diri anda dengan kumpulan-kumpulan yang menghayati tabiat membaca.
- Mempunyai perpustakaan keluarga di rumah sendiri adalah kaedah tidak langsung mempengaruhi anak-anak dan seisi keluarga dengan tabiat membaca.
- Tujuh tabiat orang yang berilmu.
Pertama, sukakan buku.
Kedua, inginkan ilmu baru.
Ketiga, sukakan gaya hidup positif.
Keempat, menepati masa.
Kelima, mengutamakan aktiviti kesarjanaan.
Keenam, hargai kepelbagaian pandangan.
Ketujuh, beradab dan berakhlak.
- Jika hendak mengenal manfaat orang yang benar-benar membaca, lihatlah kefasihannya pada tulisan dan tutur bicaranya.
Paling menyentuh hati (bagi saya) ialah kisah beliau dengan Encyclopedia Britannica. Ini kerana kisah itu lebih memahamkan saya mengapa arwah ayah, Abdul Rahman bin Yusof meninggalkannya sebagai salah satu dari dua “kitab” berjilid-jilid kepada anak-anaknya.
Salah satu lagi ialah Tafsir al Azhar (yang dimanfaatkan sehingga sekarang, moga besar pahala buat arwah ayah). Prof Zaini menyifatkan Encyclopedia yang dibeli beliau pada 1989 berkenaan ialah petunjuk seseorang yang beriltizam pada bahan bacaan yang berwibawa pada waktu itu meskipun mahal. Ia seperti Google atau Safari jika pada hari ini.
Terima kasih Prof Zaini Ujang.
Semoga Allah merahmatimu Prof !
Syaari Ab Rahman
24 Safar 1441 H
Bangi
Leave a comment