

Ayat 15 hingga 19 surah Yusuf berbicara mengenai kejayaan saudara-saudara Yusuf meletakkan Yusuf di dasar sumur yang dalam, kesungguhan mereka mendustakan ayah mereka sendiri serta pertolongan Allah kepada Yusuf di dasar perigi.
Dari sudut MUNASABAH, ayat 19 sangat sesuai dengan ayat-ayat sebelumnya kerana ayat-ayat sebelumnya berbicara mengenai kesepakatan saudara-saudara Yusuf untuk menimpakan keburukan kepadanya dan kesepakatan mereka pada mendustakan ayah mereka. Maka kalimah kesepakatan ( وأجمعوا ) yang menjadi kata kunci penting ayat 15 ini disambut dengan sempurna pada ayat 19 kerana ia berbicara mengenai pertolongan Allah di luar jangkaan ketika musuh-musuh mencapai kata sepakat dan melaksanakan apa yang disepakati dengan jayanya !
Dari sudut ASBAB AL-NUZUL, turunnya surah Yusuf salah satunya kerana memotivasikan Nabi SAW bahawa apa yang diperlakukan Quraish ke atas Baginda sama sahaja dengan apa yang diperlakukan saudara-saudara Yusuf ke atas Yusuf AS. Kesungguhan berdusta kepada Ya’qub AS seperti memilih waktu malam dan hadir dalam keadaan menangis-nangis menjelaskan kesungguhkan pemimpin Quraish untuk memaksa kaum Quraish agar mempercayai kononnya Rasulullah seorang pendusta dan seumpama dengannya. Maka ayat 19 mengisyaratkan akan adanya bantuan Allah kepada Rasulullah SAW suatu hari terdekat nanti sebagaimana ajaibnya bantuan Allah kepada Yusuf AS.
Dari sudut NASIKH MANSUKH dan FADHILAT, berkata ‘Atha’ r.h. bahawa barangsiapa dari kalangan yang sedang berduka melainkan mengalami kerehatan dan kedamaian jiwa apabila mendengar surah Yusuf.
Dari sudut TAFSIR DAN QIRAAT, ayat 16 yang berbicara mengenai kepulangan saudara-saudara Yusuf kepada ayah mereka pada waktu عشاء menjelaskan kesungguhan mereka menutup tanda-tanda pendustaan pada wajah dan tubuh mereka bersepuluh. Perbuatan buat-buat menangis pula untuk terus mengalih perhatian ayah kepada besarnya berita sedih yang dibawa tanpa perlu si ayah beralih perhatian kepada keadaan fizikal pembawa berita itu sendiri yang boleh menunjukkan tanda-tanda pendustaan. Seorang ayah yang sudah lanjut usia sudah pasti mudah sensitif dengan tangisan anak-anaknya lalu bertanya apa yang sebenarnya berlaku.
Dari suduf AL-TASRIF DAN MUFRADAT MUGHAH, penggambaran darah yang pada baju Yusuf sebagai دم كذب iaitu مصدر bertujuan مبالغة iaitu seolah-olah darah itu sendiri sudah mendustakan dirinya atau dilihat sahaja pada warna dan keadaannya dengan jelas bukan darah manusia. Belum pun lagi di mana darah itu diletakkan, keadaan darah itu pada baju berkenaan dan bagaimana ulasan dibuat kepada darah berkenaan untuk menyokong dakwaan.
Dari sudut BALAGHAH, antaranya التنكير pada lafaz امرا pada ayat بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا yang menunjukkan besarnya urusan yang dianggap remeh dan mudah oleh saudara-saudara Yusuf.

Alhamdulillah, kitab “Tafsir Hada’iq al-Rauh wa al-Raihan fi Rawabi ‘Ulum al-Qur’an” yang dinantikan selamat sampai. Membeleknya pada surah Yusuf sahaja sudah mengghairahkan.
Pada awalnya aku menyangka karya 32 jilid ini ia bertaraf موسوعة yang dihasilkan oleh sebuah badan tafsir atau panel khas menggabungkan para ulama, namun aku terkejut bila diberitahu ia adalah usaha seorang individu dari Ethiopia.
Ia ditulis oleh Syekh Muhammad al-Amin bin ‘Abdillah al-‘Alawi al-Harari as-Syafi’i dan mula diterbitkan kali pertama pada tahun 2001. Padaku ini cetakan edisi 2013.
Sebuah karya tafsir tahlili yang penulisnya mengambil masa 30 tahun untuk membahaskan bukan sekadar setiap surah, bahkan setiap ayat dengan kerangka 9 topik iaitulah ;
- Munasabah
- Asbab al-Nuzul
- Al-Tafsir
- Al-I’rab
- Al-Qira’at
- Al-Balaghah
- Al-Tasrif
- Mufradat al-Lughah
- Al-Ahkam
Dalam perkataan lain, setiap ayat akan dilihat dari sembilan perspektif atau bidang ilmu yang berbeza. Seumpama satu mutiara yang memancarkan sembilan cahaya pelbagai warna yang memukau manusia yang melihatnya.
Maka, membentangkan satu ayat dengan gagasan sembilan cabang ilmu Ulum al-Quran di atas seperti memberikan sembilan hidangan enak yang berbeza-beza resepinya sehingga murid-murid boleh memilih hidangan mana yang mereka paling berkenan di hati lalu dipelajari dengan lebih mendalam.
Sememangnya bukanlah kitab-kitab tafsir sebelumnya tidak membahaskan dengan mendalam kesemua sembilan aspek berkenaan. Baki lagi kitab tafsir ini mendisiplinkan perbahasan setiap ayat dengan kesemua sembilan unsur dijelaskan dengan tuntas.
Menurut Prof. Dr. Hasyim Muhammad Ali Mahdi dalam kata pengantarnya, “Ulama manapun dari kepelbagaian bidang kepakaran ilmu, mereka akan menemukan dalam tafsir ini bidang kepakaran mereka. Kitab tafsir ini sudah lebih dari cukup untuk memahami Al-Qur’an. Kita tidak perlu merujuk kepada kitab tafsir lainnya, kerana ia memerlukan waktu yang lama untuk membelek kitab-kitab berkenaan. Alangkah sempitnya waktu terasa di zaman moden kini!”
Menarik juga apa yang disimpulkan oleh seorang pengkaji dari Indonesia yang memperolehi Master menerusi kajian methodologi tafsir ini :
“Al Harari berusaha menawarkan sebuah produk tafsir yang komprehensif perbahasannya, tidak hanya condong pada satu corak atau satu methodologi sahaja. Kesemua sembilan methodologi ini bersumberkan tafsir bil ma’thur iaitu al-Quran itu sendiri, hadis, qaul sahabat, qaul tabiin. Namun demikian, dalam bab-bab tertentu, beliau juga memanfaatkan tafsir-tafsir kontemporari. Tidaklah juga sedikit ijtihad-ijtihad peribadi dari beliau terserlah dalam kitab tafsir ini. Hampir semua bidang ilmu yang diperlukan untuk memahami ayat Allah telah disajikan sebaiknya dalam tafsir ini.” – Aeni Nahdiyati, Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogjakarta, 2015
Penulis telah memanfaatkan pelbagai jenis tafsir lalu beliau seperti “fasilitator” yang memudahkan cara persembahan tafsir-tafsir klasikal kepada penampilan yang lebih tematik iaitu sembilan tema.
Bagiku, di era masa kini, karya-karya yang sifatnya tersusun dan idea-idea penulisnya diserlah dengan penuh sistematik pasti menjadi pilihan untuk membantu pelajar dan pengajar tafsir memahami sesuatu ayat dari pelbagai cabang ilmu.
Terima kasih saudara Ahmad Syihan Ismail yang menguruskan penghantaran. Jazakallah khairan kathiran
Syaari Ab Rahman
Bangi
16 Safar 1441 H
Leave a comment