
Pemuda al-Kahfi dibangunkan dari lena yang panjang. Salah seorang dari mereka telah diutuskan untuk membeli makanan bagi mengubat kelaparan.
Sepanjang perjalanan, dia rasa aneh dengan apa yang dilihat pada setiap inci jejak perjalanan.
Dituju ke rumah sendiri, kelihatan memang seperti rumah sendiri, namun penghuninya tiada seorang pun dikenali. Di manakah anak di manakah isteri.
Bahasa yang dituturkan, pakaian kebesaran yang digunakan, agama pegangan, kelihatannya sudah berlaku perubahan besar-besaran. Apa yang telah terjadi, sukar untuk diungkap dengan perkataan.
Dilihatnya tanda jalan, dilihatnya simbol bangunan, dilihatnya tanda-tanda di pintu gerbang, dilihatnya mercu-mercu istana kerajaan, kelihatannya seperti apa yang ditemui bukan lagi suatu yang rutin dilihat sebelum ini.
Terasa asing berkelana di bumi sendiri.
Terasa diri dihinggapi kegilaan atau mungkin masih diulik mimpi. Digosoknya mata berkali-kali. Ternyata, apa yang terjadi ialah realiti !
Mereka telah dihantar ke masa hadapan menerusi tidur yang hanya seharian !
Jika tiga tahun, atau tiga belas tahun, atau tiga puluh tahun sudah cukup menyebabkan seseorang berjam-jam tercengang mengenang apa sebenarnya berlaku. Inikan tiga ratus tahun, usia yang mustahil dicapai oleh manusia yang hidup di hujung hayat dunia.
Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran lebih ajaib dari peristiwa yang menimpa pemuda al-Kahfi !
Al-Quran membawa kita “berjalan” ke dunia yang tidak pernah kita sampai.
Dibawanya kita ke masa lampau. Seolah-olah masa lampau itu ditundukkan kepada pembaca al-Quran.
Tanpa disedari, kita dibawa berjalan ke daerah kaum Aad, Thamud, Madyan, Mesir, Saba’, Makkah, Madinah dan seumpama dengannya dalam hanya satu malam atau satu bacaan di sepertiga malam.
Apabila dibaca dengan teliti, terasa seperti yang telah mati-mati itu dihidupkan kembali. Aksi mereka dipentaskan semula buat memberi pengajaran pada manusia hari ini.
Sungguh Allah Maha Hidup semasa berlakunya setiap kejadian yang dikisahkan al-Quran. Tidak pernah mengantuk walau sesaat.
Segala perbualan rahsia manusia dahulu kala, yang sudah sempurna dalam catatan Tuhan, seolah-olah pita rakaman suara mereka dimainkan semula di telinga pembaca kisah-kisah al-Quran.
Kisah al-Quran kisah menghidupkan hati !
Dibawanya pula kita masa hadapan. Seolah-olah masa hadapan ditundukkan kepada pembaca al-Quran.
Tanpa disedari, kita seperti berjalan di taman-taman syurga dengan segala keindahan, atau melihat ganasnya hentaman neraka seolah-olah dengan mata kepala kita sendiri.
Dalam satu surah al-Quran, kekadang ditundukkan pelbagai dimensi masa kepada pembacanya. Namun merasai masa yang sedang ditundukkan itu, hanya akan dirasai oleh mereka yang melakukan tadabbur mendalam.
Meyakini bahawa al-Quran bukan buku sejarah dan bukan juga buku ramalan. Semua yang dirakam adalah pengetahuan berstatus fakta dari masa silam, fakta dari masa hadapan, kesemuanya عين اليقين dan حق اليقين yang tidak boleh dipertikaikan.
Allah SWT seperti memerintahkan masa silam dan masa depan agar menundukkan dirinya kepada pembaca al-Quran sebagaimana Dia menundukkan masa kepada tujuh pemuda beriman berkenaan.
Itulah ayat-ayat Allah, Tuhan Pencipta makhluk yang bernama masa.
Dialah yang menundukkan masa dengan cara-Nya kepada Nabi-Nya dalam ayat pertama surah sebelum al-Kahfi.
Dialah yang menundukkan masa dengan cara-Nya kepada pemuda-pemuda beriman dalam surah al-Kahfi.
Dialah yang menundukkan masa dengan cara-Nya kepada Nabi Isa bin Maryam untuk dibawa kembali di akhir zaman sebagaimana diisyaratkan surah selepas al-Kahfi.
Dialah yang menundukkan masa lampau dengan apa telah dilakukan pada hari yang dinamakan semalam. Dialah yang menundukkan masa hadapan dengan segala ketentuan yang sudah ditetapkan pada hari yang dinamakan keesokan. Dialah Tuhan penguasa segala masa, yang menurunkan al-Quran dengan segala perkhabaran dan kebenaran.
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِ عِلْمًا
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi. (Taha 20 : 110)
Wallahu a’lam.
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Syaari Ab Rahman
Bangi
12 Safar 1444
Leave a comment