
Surah al Kahfi mengajar kita di akhir zaman akan muncul pelbagai cara “beragama”.
Yang jelas dari Tuhan mula bercampur aduk dengan rekaan-rekaan yang disandarkan kepada Tuhan.
Kekadang kita keliru yang mana satu yang betul. Sedangkan cahaya yang sebenar tiadalah padanya kekeliruan.
Persis kekeliruan ini tergambar pada ayat 21 surah al-Kahfi.
Apa perlu dilakukan kepada lokasi tapak gua yang menyaksikan kewafatan pemuda-pemuda beriman yang ditidurkan Allah ratusan tahun berkenaan ?
Ada yang mencadangkan agar dibina binaan khas di kuburan al-Kahfi. Ada pula yang memerintahkan agar dibina masjid di atas kuburan al-Kahfi.
Yang mana satu ? Kelihatan mengelirukan.
Ada yang menekankan diabadikan kisah pemuda-pemuda berkenaan dengan binaan khas sahaja. Dipahatkan nama-nama mereka, dijadikan al-Raqim beserta peringatan bahawa benarnya kehidupan selepas kematian. Cukup.
Namun ada pula yang menganggap pemuda-pemuda berkenaan adalah insan-insan yang sangat dekat dengan Tuhan mereka, kuburan mereka wajar dikiblatkan kerana mereka dianggap ada kuasa-kuasa tertentu untuk manfaat manusia, lalu berlakulah pemujaan sehingga diada-adakan sekutu kepada Tuhan.
Al-Hafiz Ibnu Kathir r.h. ketika mentafsirkan ayat 21 ini membawa hadis (sahih) Nabi SAW ini sebagai tafsiran dan peringatan.
لعن الله اليهود والنصارى ، اتخذوا قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد
“Laknat Allah atas Yahudi dan Nashrani, mereka telah menjadikan kubur-kubur Nabi dan orang-orang soleh mereka sebagai tempat ibadah.”
Hadis ini bermakna kuburan orang soleh jika dibina di atasnya rumah ibadat yang membawa kepada “pengkiblatan” kuburan sangatlah ditegah. Ia sudah menunjukkan bukan lagi ibrah kisah yang mahu diambil, tetapi membesarkan makhluk lebih dari Al-Khaliq itu sendiri.
“It is an irony that some people of the Muslims have miscontrued this verse of the Quran. The event of al-Kahfi was indeed a sign of Resurrection and the life after death. But they abused this good opportunity and produced another means of practicing syirik”. – Abu al-A’la al-Maududi, Translation of Tafsir Tafhim al-Quran
Dari ayat 17 hingga 18, meskipun hanya dua ayat, namun itulah kuasa Allah SWT sepenuhnya. هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ ۚ. Tiada langsung campur tangan kuasa makhluk selama lebih 300 tahun para pemuda itu tidur lena tanpa makan dan minum dalam gua berkenaan.
Dan mereka hanya tidur sahaja, sedangkan Allah tidak pernah mengantuk walau sesaat semasa memelihara mereka. لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ !
Pemujaan makhluk dan penyembahan orang soleh adalah tanda-tanda manusia di akhir zaman sudah gagal membezakan antara asbab dan musabbab, dari urusan rezeki wang, rezeki ilmu, rezeki sihat hinggalah rezeki hidayah itu sendiri.
Hakikat yang memberi kita ilmu ialah Allah, Dialah musabbab yang hakiki dan para solehin yang menyampaikannya adalah asbab. Kesolehan mereka jangan sampai membawa kepada ketuhanan mereka. Jangan dipuja asbab dan melupakan musabbab.
Sehinggakan Nabi Khadr عليه السلام pun, Allah SWT dengan penuh kebijaksanaan sengaja tidak disorehkan namanya dalam al-Kahfi. Halusnya Allah mendidik kehambaan pada pembaca al-Kahfi sehingga kita hanya merasakan kehebatan Yang Maha Hidup, bukan kehebatan mereka yang telah mati.
Hebat bagaimana pun Zulqarnain عليه السلام, Allah sendiri menegaskan berkali-kali adanya “Kami” di belakangnya. Zulqarnain sendiri mengingatkan rakyat dan tenteranya bahawa adanya “Rabbi” yang menjadi musabbab kepada kejayaannya melindungi ummat dari serangan Yakjuj dan Makjuj. Dia hanya فَأَتْبَعَ سَبَبًا !
Usahlah disembah Zulqarnain itu.
Menyibukkan diri mencari di mana kuburannya untuk “dimasjidkan” atau mencari perincian-perincian cerita yang sengaja didiamkan al-Quran dibimbangi mengeluarkan kita dari wilayah ibrah menuju ke wilayah pemujaan yang akhirnya “memasjidkan kuburan”.
Al-Kahfi itu sendiri sarat dengan misteri yang disengajakan Allah untuk menguji.
Berapa jumlah sebenar pemuda al-Kahfi ? Siapa sebenarnya nama mereka ? Di manakah lokasi gua mereka ? Siapakah anjing mereka itu ? Di manakah pertemuan dua lautan ? Di manakah tiga hentian Zulqarnain itu ?
Kita boleh bertanya dan mengkaji, namun kita harus bimbang masa kita dibazirkan untuk melakukan رَجْمًا بِالْغَيْبِ tanpa disedari.
Kebimbangan kita hanya satu sahaja. Kita membesarkan kuasa kemakhlukan dan kehebatannya lebih dari Pencipta makhluk itu sendiri.
Unsur pemujaan bisikan Syaitan inilah yang menyebabkan lima berhala yang lengkap dengan namanya disebut dalam surah Nuh (ayat 23), membawa kepada tragedi syirik buat kali pertama dalam sejarah manusia (berdasarkan keterangan Ibnu Abbas r.a).
Lebih jelas mesej surah ini apabila melihat pada surah selepas al-Kahfi. Manusia yang asalnya soleh, Rasul Allah عليه السلام, namun akhirnya kehilangannya mengheret manusia kepada “hero worshiping”, dikuduskan dengan melampau-lampau, lalu dianggap anak Tuhan. Sedangkan segala yang dikurniakan adalah ayat Allah عز وجل, bukannya ayat Isa bin Maryam. وَيُنذِرَ الَّذِينَ قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا !
Janganlah ambil cara Yahudi dan Nasrani dalam beragama kerana keberagamaan mereka penuh pemujaan makhluk dan keraguan. وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا !
Ingatlah bahawa kisah pemuda al-Kahfi tidak tamat begitu sahaja dalam al-Quran. Ada 10 ayat lagi sekurang-kurangnya perlu kita baca agar bukan pemuda soleh bertujuh itu yang kita puja-puja.
Membaca ayat 22 hingga 31 tersebut, maka fahamlah kita bahawa Allah perjelaskan kepada Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم dengan terperinci ibrah agar kita “get the point”.
Namun demikian, ayat 21 ini juga boleh dilihat dari perspektif yang berbeza dengan ibrah yang sama pada membesarkan Allah lebih dari makhluk-Nya.
Shekh Muhammad Ratib Al-Nabulsi menyatakan cadangan membina masjid pada penghujung ayat 21 berkenaan tidaklah salah seandainya bukan kuburan itu yang dikiblatkan atau diadakan ritual pemujaan sebagaimana Yahudi dan Nasrani melakukannya.
Kalimah masjid menurut al-Quran itu sendiri besar kedudukannya. Ia tempat hanya untuk memuji Allah SWT dan tidak makhluk selain-Nya.
وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا
“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.” (al-Jin 72 : 18)
Lihat pula surah sebelum al-Kahfi. Ayat pertamanya memilih kalimah yang besar maknanya pada memahami kuasa sebenar memperjalankan Nabi SAW.
Meskipun fungsi “masjid” berdasarkan ayat 18 surah al-Jin belum benar-benar wujud di Makkah mahupun di Baitulmaqdis semasa Isra Nabi SAW, ia mengisyaratkan akan adanya “masjid” pada masa hadapan. Demikian jelas al-Nabulsi.
Itulah kisah dua “masjid” yang menjadi berita gembira dari masa hadapan buat umat Islam dalam surah al-Isra’. Pujilah Allah sebanyak-banyaknya, bukannya makhluk apabila diberikan Allah kemenangan.
Berhentilah memuja makhluk walau hebat bagaimana pun kesolehannya, keilmuannya, ketampanannya atau kekayaannya dan pulangkanlah segala puja dan puji itu kepada Allah عز وجل !
وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا
Wallahu a’lam.
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Syaari Ab Rahman
5 Safar 1441 H
Bangi
Leave a comment