
Jika diperhatikan dengan mendalam kisah Nabi Adam عليه السلام dalam al-Qur’an, kita akan mendapati kisah Nabi Adam عليه السلام dipaparkan sebagai kisah TUJUAN DIUTUSKAN PARA ANBIYA’ itu sendiri.
Pertama, tujuan diutuskan para Nabi kepada setiap kaumnya untuk mengembalikan ruh mereka kepada kesucian asalnya, agar diseimbangkanlah segala peradaban hidup antara keperluan tubuh dengan keperluan ruh.
Demikianlah kisah penciptaan Nabi Adam menerusi gabungan unsur tanah dari tempat yang rendah lagi dipijak-pijak dengan unsur ruh dari tempat yang sangat tinggi. Tidak banyak yang kita tahu mengenai الروح, yang pasti ia sebab Allah meninggikan kedudukan Adam sehingga diperintahkan Malaikat sujud.
Kedua, setiap Nabi yang diutuskan dengan mensasarkan dakwahnya kepada setiap lelaki dan wanita. Bahawa kedua-duanya dibebankan dengan taklifan Tuhan sama ada suruhan atau larangan. Dan Allah memberi pembalasan setimpal dan seadilnya sama ada lelaki atau perempuan yang beriman dan beramal soleh.
Demikianlah wujudnya Hawa r.a. dalam kisah Nabi Adam, turut ditaklifkan dengan larangan mendekati pohon berkenaan dan turut dipertanggungjawabkan bersama Adam apabila melakukan kesalahan memakannya.
Ketiga, setiap Nabi datang dengan syariat menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang buruk. Hidup ini kebebasannya ada batasan. Baik buruk pula bukan semua boleh dinilai dengan semata logik akalnya.
Demikianlah kisah pohon yang dilarang ke atas Adam dan Hawa mendekatinya di sebalik keduanya menikmati Syurga yang segalanya menakjubkan.
Keempat, setiap Nabi yang hadir telah ditentang habis-habisan oleh para pemimpin kaum. Mengapa dilantik lelaki tertentu sebagai Rasul dan bukan dari kalangan mereka sendiri. Dicemburuinya dan disusuli pula pelbagai konspirasi untuk menjatuhkannya.
Demikianlah kisah kesombongan Iblis yang menentang habis-habisan pemilihan Adam.
Kelima, setiap Nabi dididik Allah agar sentiasa memurnikan niat sebenar perjuangan. Sedikit yang beriman lebih baik dari dunia dan segala isinya. Tukarlah kecewa dan sempit dada dalam dakwah dengan zikrullah dan memohon ampun dari-Nya.
Teruskan menawarkan berita gembira kepada mereka yang mahu beriman. Allah pasti mengangkat kedudukan mereka yang memilih taubat meskipun sebelumnya mereka bergelumang segunung dosa.
Demikianlah kisah lafaz taubat dan pengampunan Tuhan menutup tirai kisah Adam dan Hawa عليهما السلام. Turun keduanya ke dunia dengan kehormatan dan kemuliaan kerana taubat yang telah mereka lafazkan.
Wallahu a’lam.
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Syaari Ab Rahman
Penang International Airport
30 Muharram 1441 H
Rujukan :
Qasas al-Quran al-Karim
Dr Fadhl Hasan Abbas r.h.
Leave a comment