RAHSIA NAMA SURAH DAN INDAHNYA HUBUNGAN ANTARA AWALAN DAN AKHIRAN SURAH

  1. AL-‘ADIYAT

Nama surah bermaksud keadaan yang melepasi sesuatu batasan untuk meluru ke arah sesuatu di hadapan tanpa ada yang boleh menghalang. Nama surah berkenaan merujuk kepada keadaan kuda semasa dalam medan perang. Digambarkan ia sangat patuh dan tunduk kepada segala kehendak tuannya lalu bersedia meluru ke arah musuhnya dalam apa jua keadaan yang diperintahkan.

Nama surah menjelaskan tema surah ini ialah telitinya pengadilan Allah kepada setiap mereka yang ditundukkan nikmat Allah seperti kuda perang sama ada mereka menggunakannya untuk jalan Allah atau sebaliknya digunakan untuk menghalang jalan Allah.

Nama surah juga menjelaskan tema lain surah ini ialah kepantasan dan kejutan. Kejadian Kiamat adalah kejadian yang mengejut dan di luar jangkaan yang kafir dalam kubur kerana mereka menyangka belum tiba waktunya tidur mereka diganggu (rujuk tafsir Yassin 36 : 42). Kejutan dan luar jangkaan ini seumpama serangan mengejut kuda-kuda di waktu lenanya manusia menjelang Subuh.

Awalan surah (ayat 1) mengenai larian yang kencang tanpa menoleh ke belakang sehingga nafas tercungap-cungap kepenatan. Akhiran surah (ayat 11) mengenai keadaan yang menyebabkan orang kafir kepenatan (rujuk tafsir surah al-Ghashiyah 88 : 3) dan nafasnya tercungap-cungap cemas kerana menanti detik hisab yang bakal dilakukan Tuhan ke atasnya dan setiap inci amalannya.

Awalan surah (ayat 1-5) juga menjelaskan dengan sangat terperinci sifat kuda semasa dipandu tuannya. Akhiran surah (ayat 10-11) menjelaskan dengan sangat terperinci segala sifat manusia semasa hidupnya di dunia dalam catatan malaikat Allah. Terperinci keterangan perilaku manusia dengan segala yang dikejarnya di dunia seumpama terperincinya sifat kuda dari gerak nafasnya dan kakinya mengejar apa yang diperintahkan kepadanya.

Awalan surah (ayat 1-5) juga menjelaskan dua perspektif boleh muncul pada sifat kuda yang diceritakan al-Quran. Jika fasa Makkiah, yang memiliki kuda ialah kebanyakkannya orang-orang Arab jahiliah. Digunakan kuda berkenaan untuk menceroboh atau mencuri harta dagangan orang lain. Jika fasa Madaniah, yang memiliki kuda ialah para Sahabat dan digunakan kuda berkenaan untuk jihad fi sabilillah. Maka, kerana adanya dua perspektif di awal surah iaitu menggunakan kuda untuk tujuan keburukan atau kebaikan, maka dipaparkanlah adilnya hari pembalasan sehingga setiap amalan masing-masing akan didedahkan niat dan motif sebenar ia dilakukan.

Wallahu a’lam.

  1. AL-QARI’AH

Al-Qariah bermakna ketukan keras yang menyakitkan telinga dan ketukan kuat yang menimbulkan ketakutan.

Nama surah menjelaskan tema surah ini iaitu perincian mengenai “Yaum al-Din” (hari pembalasan). Membaca dari awal hingga akhir surah, maka akan difahami nama surah mempunyai kaitan dengan dua bentuk kegoncangan akan berlaku semasa Kiamat.

Kegoncangan pertama sebagai petanda sangkakala pertama iaitu kegoncangan bumi dan gunung ganang sehingga menjadi debu yang berterbangan. Kegoncangan kedua sebagai petanda sangkakala kedua iaitu kegoncangan hati kerana menuju hisab.

Awalan surah (ayat 1-3) mengenai kegoncangan dahsyat menimpa makhluk yang sangat besar iaitu bumi dan gunung. Akhiran surah mengenai kegoncangan dahsyat menimpa jiwa kafir yang akan dihisab sehingga tempat pergantungannya bukanlah ibunya sendiri yang boleh menenangkan sebagaimana di dunia. Bahkan “ummu” untuk mereka ialah neraka Hawiyah. (ayat 8-11).

Dalam perkataan lain juga, awalan surah mengenai apa yang menyebabkan manusia ke padang Mahsyar. Akhiran surah mengenai keputusan yang telah berlaku kepada setiap manusia di padang Mahsyar.

Maka, awalan dan akhiran surah menegaskan kekuasaan Allah semasa Yaum al-Diin iaitu mencakupi sebesar-besar perkara seperti menggoncangkan bumi sehinggalah sekecil-kecil perkara iaitu adilnya catatan setiap amalan.

Wallahu a’lam.

  1. AL-TAKATHUR

Nama surah bermaksud berlumba-lumba mengumpul harta dan berbangga-bangga dengan kemewahan masing-masing.

Nama surah menjelaskan tema surah iaitu mencela penyakit al-Takathur kerana ramai yang melupakan bekal ke Akhirat kerana sibuk menguatkan bekal hidup di dunia sahaja. Tiada langsung ayat mengenai syurga dalam surah ini menjelaskan sifat surah yang benar-benar memberi ingatan keras.

Awalan surah (ayat 1) mengenai sikap manusia yang sibuk mengumpul dan menambah-nambah harta sehingga melupakan kubur. Akhiran surah (ayat 8 ) mengenai kesemua nikmat termasuk harta berkenaan akan disoal oleh Allah ke mana dibelanjakannya.

Wallahu a’lam.

  1. AL-‘ASR

Nama surah merujuk kepada permulaan waktu akhir zuhur (sehingga ternampak warna kekuningan) hingga menghampiri terbenam matahari. Cahaya sedikit demi sedikit mula menghilang dan manusia mula bergegas pulang ke rumah masing-masing.

Pada waktu inilah juga para peniaga Arab akan mula berusaha sedaya upaya menghabiskan barang-barang jualan mereka sebelum menutup perlahan-lahan kedai masing-masing dan mengira untung rugi yang telah diperolehinya sepanjang hari ini.

Nama surah menjelaskan tema surah ini ialah suntuknya masa yang berbaki menjelang datangnya kegelapan. Pendeknya surah dan ayat-ayat dalam surah ini menjelaskan tema suntuknya masa dalam surah ini sendiri.

Dalam waktu yang kebiasaannya manusia memikirkan pada waktu Asar begini sejauhmana pencapaian perniagaannya hari ini, surah ini menjelaskan hakikat sebenar kerugian dan keuntungan.

Kalimah pertama surah (ayat 1) ialah al-‘Asr dan kalimah terakhir (ayat 3) ialah al-Sabar. Hubungan yang terjalin sangat jelas dari aspek lafaz dan bunyi. Ia dinamakan saja’ ( السجع )

Awalan surah mengenai masa, akhiran surah mengenai kesabaran melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat sepanjang diuji Allah dengan masa seperti masa lapang dan masa sihat. Seseorang mestilah kekal bersabar beriltizam dengan petunjuk agama kerana kedatangan maut itu tidak diketahui bila. Itulah satu-satunya bekal untuk selamat di Akhirat.

Awalan surah mengenai waktu Asar iaitu saki baki masa yang memisahkan antara siang dan malam. Akhiran surah mengemukakan satu-satunya bekalan untuk selamat di alam Akhirat yang telah dipisahkan dari alam duni.

Wallahu a’lam.

  1. AL-HUMAZAH

Nama surah (ayat 1) bermaksud mencela seseorang di belakangnya atau tanpa kehadirannya atau tanpa pengetahuannyaa. Ayat yang menyebut nama surah menjelaskan bahawa kecintaan seseorang kepada harta dan mengumpulnya sebanyak-banyaknya boleh membawa seseorang kepada takabbur kepada manusia yang lain sehingga dia boleh mencela sesiapa dan menyakitkan hati sesiapa sahaja sesuka hatinya.

Nama surah menjelaskan tema surah ini ialah pencegahan kepada penyakit mencela dan mengaibkan orang lain iaitu dengan memaparkan punca-punca yang membawa kepada penyakit ini serta pernyataan akibat yang bahaya menanti mereka yang terus menerus bersikap dengan sikap ini di Akhirat nanti.

Awalan surah (ayat 1) mengenai “Wail” iaitu nama salah satu lembah dalam Neraka. Akhiran surah (ayat 5-9) mengenai perincian mengenai keadaan azab yang berlaku dalam “Wail” berkenaan.

Awalan surah (ayat 1) menjelaskan keadaan perbuatan mengumpat dan mencela kerana penyakit dalam hati seseorang, akhiran surah (ayat 7) menjelaskan azab Neraka yang menimpa tubuh ahli Neraka akan naik sehingga memakan hati.

Awalan surah (ayat 1-2) menjelaskan sikap membenci dan membuang faqir miskin dari kehidupan dunia kerana dianggap mereka terlalu hina untuk didekati, akhiran surah (ayat 4) menjelaskan bentuk azab menimpa mereka iaitu dihumban dan dibuang dengan penuh kehinaan ke dalam neraka Huthamah.

Awalan surah (ayat 1-2) mengenai manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita dan harapan keduniaan yang belum lagi tercapai, akhiran surah (ayat 8-9) mengenai wujudnya pintu Neraka yang memberikan harapan kepada ahli Neraka untuk keluar darinya. Namun sebaliknya, pintu itu sentiasa ditutup rapat dan dinampakkan pintu Neraka untuk menambah derita batin ahli Neraka berbanding tidak menampakkan pintu keluarnya.

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Rujukan :

  1. Al-Bayyinat fi ‘Ilm al-Munasabat, Fayaz Sayyaf al-Suraih
  2. Dilalah al Asma’ al-Suwar al-Quraniyah ala Mahawiriha wa Maudhu’atiha, Dr. Umar Ali Hassan Arafat

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started