
Bimbang keghairahan pembelajaran tafsirku hanya menjurus kepada sudut Munasabah sahaja, aku membuat keputusan untuk membeli “Tafsir Hada’iq al-Rauh wa al-Raihan fi Rawabi ‘Ulum al-Qur’an”. Ia ditulis oleh Syekh Muhammad al-Amin bin ‘Abdillah al-‘Alawi al-Harari as-Syafi’i dan telah diterbitkan pada tahun 2001.
Pada awalnya aku menyangka karya 32 jilid ini ia bertaraf موسوعة yang dihasilkan oleh sebuah badan tafsir atau panel khas menggabungkan para ulama, namun aku terkejut bila diberitahu ia adalah usaha seorang individu dari Ethiopia.
Sebuah karya tafsir tahlili yang penulisnya mengambil masa 30 tahun untuk membahaskan bukan sekadar setiap surah, bahkan setiap ayat dengan kerangka 9 topik iaitulah ;
- Munasabah
- Asbab al-Nuzul
- Al-Tafsir
- Al-I’rab
- Al-Qira’at
- Al-Balaghah
- Al-Tasrif
- Mufradat al-Lughah
- Al-Ahkam
Dalam perkataan lain, setiap ayat akan dilihat dari sembilan perspektif atau bidang ilmu yang berbeza. Seumpama satu mutiara yang memancarkan sembilan cahaya pelbagai warna yang memukau manusia yang melihatnya.
Maka, membentangkan satu ayat dengan gagasan sembilan cabang ilmu Ulum al-Quran di atas seperti memberikan sembilan hidangan enak yang berbeza-beza resepinya sehingga murid-murid boleh memilih hidangan mana yang mereka paling berkenan di hati lalu dipelajari dengan lebih mendalam.
Sememangnya bukanlah kitab-kitab tafsir sebelumnya tidak membahaskan dengan mendalam kesemua sembilan aspek berkenaan. Baki lagi kitab tafsir ini mendisiplinkan perbahasan setiap ayat dengan kesemua sembilan unsur dijelaskan dengan tuntas.
Menurut Prof. Dr. Hasyim Muhammad Ali Mahdi dalam kata pengantarnya, “Ulama manapun dari kepelbagaian bidang kepakaran ilmu, mereka akan menemukan dalam tafsir ini bidang kepakaran mereka. Kitab tafsir ini sudah lebih dari cukup untuk memahami Al-Qur’an. Kita tidak perlu merujuk kepada kitab tafsir lainnya, kerana ia memerlukan waktu yang lama untuk membelek kitab-kitab berkenaan. Alangkah sempitnya waktu terasa di zaman moden kini!”
Menarik juga apa yang disimpulkan oleh seorang pengkaji dari Indonesia yang memperolehi Master menerusi kajian methodologi tafsir ini :
“Al Harari berusaha menawarkan sebuah produk tafsir yang komprehensif perbahasannya, tidak hanya condong pada satu corak atau satu methodologi sahaja. Kesemua sembilan methodologi ini bersumberkan tafsir bil ma’thur iaitu al-Quran itu sendiri, hadis, qaul sahabat, qaul tabiin. Namun demikian, dalam bab-bab tertentu, beliau juga memanfaatkan tafsir-tafsir kontemporari. Tidaklah juga sedikit ijtihad-ijtihad peribadi dari beliau terserlah dalam kitab tafsir ini. Hampir semua bidang ilmu yang diperlukan untuk memahami ayat Allah telah disajikan sebaiknya dalam tafsir ini.” – Aeni Nahdiyati, Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogjakarta, 2015
Penulis telah memanfaatkan pelbagai jenis tafsir lalu beliau seperti “fasilitator” yang memudahkan cara persembahan tafsir-tafsir klasikal kepada penampilan yang lebih tematik iaitu sembilan tema.
Bagiku, di era masa kini, karya-karya yang sifatnya tersusun dan idea-idea penulisnya diserlah dengan penuh sistematik pasti menjadi pilihan untuk membantu pelajar dan pengajar tafsir memahami sesuatu ayat dari pelbagai cabang ilmu.
Terima kasih ustaz Abu Ilkiya dan ustaz Uzair atas saranan memiliki kitab tafsir ini. Terima kasih ustaz Ahmad Syihan Ismail kerana sudi menguruskan pembelian dan pengeposan kitab ini.
Kalau pun aku tidak sempat membacanya, moga anak cucuku jualah yang akan mengambil manfaat darinya. Berpanjanganlah pahala agar berat timbangan kebaikan di sana.
Syaari Ab Rahman
Gambang, Pahang
16 Muharram 1441 H
Leave a comment