
Hikmah Kisah Luqman Dalam Bingkai Surah Alif Lam Mim
“Ustaz, mengapa kisah Luqman diletakkan Allah dalam surah yang dimulakan dengan Alif, Lam dan Mim ?”
“Ustaz, apa kaitan surah Luqman dengan surah sebelumnya, al-Rum yang juga bermula dengan Alif Lam Mim?”
“Ustaz, apa kaitan surah Luqman (surah 31) dengan lima surah sebelumnya yang kesemuanya bermula dengan huruf-huruf muqata’ah iaitu al-Shu’araa’ (surah 26), al-Naml (surah 27), al-Qasa (surah 28)s, al-‘Ankabut (surah 29) dan al-Rum (surah 30)?”
Ya benar, para ulama mendidik kita untuk menyatakan والله أعلم apabila melalui huruf-huruf ini kerana ia sebahagian dari ayat-ayat mutasyabihat yang tidak jelas makna sebenarnya. Itupun akhlak seorang guru atau anak murid di hadapan pentafsiran ayat-ayat Allah.
Namun demikian, Maha Suci Allah dari menurunkan al-Qur’an atau dikenali juga al-Furqan (surah ke 25) walau satu ayat yang langsung tidak mempunyai makna yang boleh difahami manusia.
Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi berkata dalam kitabnya إعجاز القرآن البياني ودلائل مصدره الرباني (halaman 195-198) bahawa huruf-huruf ini mempunyai kaitan pada menegaskan kemukjizatan al-Quran dalam bahasa Arab.
Meskipun ia turun dengan bahasa yang digunakan manusia, namun manusia sendiri tidak boleh mengarang atau mencipta al-Quran meskipun menggunakan upaya terbaik akal-akal mereka di atas muka bumi ini sekalipun.
Bermakna, huruf-huruf ini adalah petanda cabaran dan tamparan dari Allah kepada manusia yang paling mahir dengan bahasa dan sastera Arab sekalipun (kaum Quraisy), tetap tidak mampu mendatangkan al-Quran walau satu surah paling pendek ketika mereka menuduh Rasulullah berdusta dan kata-katanya adalah sihir.
Mereka boleh mengarang syair dalam bahasa Arab yang sama panjang berjela-jela, lalu mengapa tiada satu surah pun berjaya dicipta dan disepakati menyebabkan semua orang Arab tercengang dengan kebenaran yang disampaikan dan gaya bahasa yang digunakan ?
Ini bermakna, tiga huruf ini menjelaskan bahawa Kitabullah terdiri dari unsur-unsur bahasa Arab kerana huruf-huruf seperti tiga huruf ini hanya ditutur dan ditulis oleh mereka yang berbangsa Arab.
Ini menunjukkan Allah membuat pengumuman penting iaitu al-Qur’an mempunyai sebab diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa mereka yang dihadapkan al-Qur’an itu sendiri iaitu kaum Quraisy di Makkah.
Al-Quran terdiri dari unsur-unsur yang boleh difahami mesejnya oleh manusia. Maka, jangan sekali-kali manusia yang tidak berbangsa dan berbahasa Arab memberi alasan untuk tidak memahaminya kerana Allah mempunyai sebab menurunkan firman-Nya dalam bahasa Arab.
Salah satu hikmahnya adalah inilah satu-satunya bahasa yang satu kalimahnya boleh membawa pelbagai makna. Satu kebiasaan orang Arab 1,400 tahun dahulu bahawa satu kalimah akan digunakan dalam pelbagai konteks kerana bukanlah hidup dalam sebuah peradaban falsafah yang setiap perbuatan dan kehendak ada perkataan yang khusus untuknya.
Inilah kelebihan bahasa Arab yang diumumkan sebagai جوامع الكلم iaitu kalimah-kalimah yang ringkas tetapi terhimpun padanya pelbagai makna yang tidak bertentangan antara satu sama lain.
Maka, untuk meraih pengajaran dari kisah Luqman al-Hakim mulai ayat 12 surah Luqman yang bermula dengan Alif Lam Mim ini, maka seseorang perlu membuat pengumuman pada dirinya bahawa “saya tidak akan bergantung hanya terjemahan” nas kisah Luqman ini kerana terjemahan mungkin tidak menggambarkan makna yang komprehensif kepada sesuatu kalimah bahasa Arab al-Qur’an.
Kita perlu membuat pengumuman bahawa “saya akan berusaha memahami makna kalimah ini menurut pertuturan orang-orang Arab seribu empat ratus tahun dahulu”.
Lalu seseorang pembaca al-Quran akan bersiap siaga untuk memburu guru-guru tafsir atau membelek kamus-kamus bahasa Arab atau membelek kitab-kitab tafsir yang menekankan aspek bahasa dalam pentafsirannya.
Dengan permulaan surah dengan tiga huruf ini, ini juga bermakna kisah Luqman yang berkemungkinan bukan berbangsa Arab, bertutur kepada anakandanya mungkin bukan dalam bahasa Arab, namun akhirnya segala keterangan mengenainya dan tutur wasiatnya kepada anak telah “diterjemahkan” ( ولله المثل الأعلى ) Allah Azza wa Jalla sendiri ke dalam bahasa Arab kerana bahasa ini mempunyai kelebihan pada menggambarkan kehendak sebenar Luqman al-Hakeem pada anakandanya.
Lebih penting dari itu, dengan mengumumkan kisah ini akan disampaikan dalam bahasa Arab, maka ia menunjukkan Allah memilih untuk “membalut” ( ولله المثل الأعلى ) kisah Luqman dengan anakandanya ini dengan balutan yang lebih indah dari situasi sebenar ketika ia berlaku antara sang ayah dan sang anak tersebut.
Keindahan yang menyebabkan setiap yang melihat kisah ini dengan balutan ayat-ayat Allah akan memetik pengajaran yang indah dan praktikal sehingga sekali-kali tidak terasa bahawa ia hanyalah kisah sejarah dari masa lampau, bahkan “ya Allah, tidak disangka, kisah Luqman menegur aku sebagai seorang ayah” atau “ya Allah, tidak disangka, kisah Luqman membetulkan apa yang selama ini aku sampaikan pada anak didik aku.”
Syaari Ab Rahman
Indahnya Pesan Luqman
18.9.2017
Leave a comment