REFLEKSI SURAH ABASA

Apa yang boleh merobohkan kempen Islam sekelip mata sahaja ? Apabila musuh dengan segenap teknologi sulitnya berjaya melihat dan merakamkan kamu pendakwah melebih-lebihkan seseorang dan merendah-rendahkan seseorang tanpa kamu sendiri menyedarinya, meskipun kamu sendiri tidak berniat sama sekali melakukan sedemikian, meskipun yang disangka orang yang direndah-rendahkan itu sendiri tidak sedikitpun terasa sedemikian rupa.

Sungguh Rasul itu maksum, sungguh pekerti Rasulullah sangat mulia dan tinggi, namun ada ibrah yang terlalu mahal harganya untuk pendakwah yang mahu meneruskan perjuangan Rasulullah di hari kemudian.

Sungguh Nabi tidak salah pada menyahut seruan pimpinan tertinggi Quraisy yang membuat “private appointment” kepada Rasulullah untuk menyampaikan wahyu kepada mereka tanpa menghadirkan di sisi baginda mereka yang miskin.

Sungguh Nabi tidak salah dalam tindakannya kerana bukan mudah meraih peluang mendekati pimpinan tertinggi Makkah. Apatah lagi masa yang diberikan pimpinan tertinggi Makkah ini hanya beberapa minit cuma, maka baginda memandangkanya sebagai peluang keemasan untuk menyampaikan keagungan kalam Allah yang mampu melembutkan hati.

Bayangkan besar kesan kepada Quraisy secara keseluruhan jika pimpinan utama ini lunak hatinya lalu menerima Islam. Sungguh pertimbangan ini wajar bagi seorang yang bernama Rasul yang diamanahkan untuk menyebarkan wahyu dengan segala kemampuan dan kreativiti yang mereka ada.

Sungguh apa yang berlaku sebenarnya, Nabi tidak pun “bermasam muka” dan “berpaling” sebagaimana yang ada dalam terjemahan Al-Quran, lalu dengan terjemahan itu kita memandang seolah-olah Nabi begitu kasar bahasa tubuh dan “facial expression” baginda apabila diuji dengan kedatangan mengejut seorang sahabat muda baginda yang buta, Abdullah bin Ummi Maktum.

Sungguh kita perlu mendefinisi dengan bahasa Arab yang baik, surah Al-Mudaththir (ayat 22) dan surah Al-Kahfi (ayat 28) agar kita memahami maksud عبس وتولى yang menjadi sebab kepada nama surah ini dan menjadi liputan utama lagi panjang lebar surah ini.

Apa sebenar “agenda perjuangan” surah ini ?

Sungguh ia sangat indah pada mentarbiyah keperibadian daie.

Sungguh ia sangat indah pada menegaskan mahalnya nilai pengajaran Al-Quran sehingga pendakwah jangan terlalu rasa “desperate” untuk mencari pendengar, bahkan sepatutnya pendengar itulah yang “desperate” mencari Al-Quran.

Dakwah dan bisnes ada persamaan, kesungguhan memasarkan produk.

Namun dakwah dan bisnes ada garisan perbezaannya. Al-Quran bukan “produk”. Ia terlalu mahal harganya. Dan Quraisy hanya perlu menggunakan akal dan hati untuk memahaminya kerana Al-Quran diturunkan dengan huruf-huruf yang sama mereka gunakan dalam syair pidato mereka.

Sungguh surah ini sebesar-besar tanda kebesaran Allah yang Maha Mengetahui pada apa yang berlaku di masa akan datang. Bayangkan surah عبس yang tertahan bersama dengan 113 surah yang lain di langit dunia, tiba-tiba turun sebagai antara surah terawal turun kepada Nabi di Gua Hira’, maka apakah faedah ia diturunkan sedangkan Nabi tidak bertemu dengan sesiapapun lagi dari pimpinan Quraisy dan tiada seorang buta lagi menjadi pengikut Rasulullah ?

Sungguh surah ini “dirancang” sebaiknya oleh Allah kepada kita selepas berlaku satu “peristiwa”. Peristiwa itu hanya asbab sahaja, namun ibrah itulah yang kekal sampai Qiamat. Sirah ibarat filem, ada kehidupan kita dalam filem itu. “Filem” ini sangat besar peranannya pada memahami kisah diri kita sendiri sebagai pendakwah.

Kalau surah ini sahaja membuktikan ramalan Allah menjadi kenyataan, maka fahamlah kita segala ramalan Allah yang lain membabitkan Qiamat dalam surah ini akan menjadi kenyataan sebagaimana benarnya ramalan akan datang seorang buta kepada baginda.

Allahu Akbar!

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started