Tesis Yang Mengajarku Makna Kesungguhan Mempelajari Al-Quran

Sebuah thesis kedoktoran yang mengajarku makna “buang yang keruh, ambil yang jernih” dari para ulama tafsir al-Qur’an sepanjang zaman.

Sungguh besar jasa mereka dalam tafsir dan tadabbur al-Qur’an, namun kajian ini membuktikan mereka kekal insan biasa yang boleh melakukan kesilapan dalam pentafsiran.

Meskipun belum membaca sepenuhnya kerana tebalnya melebihi 1000 halaman dan pasti tidaklah adil untuk memberi sebarang komentar dan kesimpulan, namun sekurang-kurangnya dengan membaca muqaddimah dan natijah kajian serta meneliti isi kandungan, dapat kurasakan penulis kerap mempertegas kepentingan التفسير بالمأثور sebagai jalan paling selamat dalam pentafsiran.

Secara umumnya, penulis membahagikan sebab-sebab berlakunya kesalahan dalam pentafsiran kepada empat kategori besarnya iaitulah tidak merujuk sumber-sumber tafsir yang asal dan yang terjamin kesahihannya, tidak cermat pada memahami nas dan kehendak nas, menundukkan nas kepada kemahuan hawa nafsu dan ketaksuban, dan tidak memenuhi syarat-syarat selayaknya sebagai mufassir.

Aku belum mampu memberi kesimpulan kepada kajian ini. Namun aku mampu memberi kesimpulan kepada diriku sendiri. Bahawa mempelajari al-Qur’an memerlukan semangat yang tinggi dan usaha yang konsisten, ia tidak boleh putus dan patah di tengah jalan lalu bertukar ke jalan lain yang barangkali lebih menguntungkan, kekalkan keikhlasan dan yang paling penting berguru dengan guru-guru yang boleh menegur dan menasihat kita di sepanjang jalan perjuangan memartabatkan pesan-pesan al-Quran dan membumikan tadabbur kalam Tuhan.

Semoga Allah SWT terus membimbing kita berinteraksi dengan kalam-Nya yang Maha Agung.

اللهم رب يسر أمورنا في فهم كتابك وارحم جهودنا في تدبر آياتك

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started