
Setiap kali mahu mengajar tafsir dan tadabbur al-Qur’an kepada orang lain, saya akan sentiasa memperingatkan diri bahawa “mengajar” itu perkara kedua. Perkara pertama sekali ialah “belajar”.
Ayat yang nak diajar bukan ayat rekaan manusia. Ini ayat Tuhan yang nak berbicara dengan kita. Termasuklah yang akan mengajar.
Oleh itu, sebelum berniat mengajar atau berkongsi dengan orang lain, betulkanlah niat bahawa ayat-ayat Allah itu ditujukan lebih utama kepada diriku sendiri.
Jangan sekali-kali berkata “aku sudah faham makna ayat ini” kerana ia kenyataan sombong di sisi Tuhan dan kenyataan yang memutuskan hati dari cahaya al-Quran yang sentiasa bersifat memberi peringatan dan teguran.
Jangan jadi Ahlul Kitab yang akhirnya kerana mengutamakan kehendak manusia yang mengkaguminya dan terpukau dengan besarnya jumlah pengikut tegarnya, dibuat pelbagai perubahan pada ayat-ayat Allah yang asal atau diubah makna-maknanya kepada makna yang tersasar dari kebenaran kerana memuja hawa nafsunya sendiri tanpa disedari.
Sentiasa ingatkan diri bahawa kefasihan lidah itu ujian Allah. Kemampuan membelek rujukan tafsir yang banyak itu ujian Allah. Disambut dengan permaidani merah itu ujian Allah. Memiliki teknologi penyampaian yang efektif itu ujian Allah. Dewan penuh itu ujian Allah. Besarnya jumlah “views” dan “shared” itu ujian Allah. Peserta menangis dengan refleksi kita atau terhibur dengan jenaka kita itu ujian Allah.
Semoga Allah sentiasa memandu jalan kita, para pengajar ilmu al-Quran.
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya (ilmu mengenai) al-Kitab dan hikmah, kemudian (ia tergamak) mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dalam erti kata yang sebenar) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
Ali Imran, 3 : 79
Leave a comment