10 MUHARRAM DAN MUSNAHNYA FIRAUN : MASIH ADA PERINGATAN TERAKHIR SEBELUM MAUT MENANTI DI HADAPAN !

“Dengan gagah perkasa, bila Firaun melihat laut terbelah, dia hanya fikir ini peluang dan kesempatan untuk menghalau Bani Israil pulang semula ke Mesir menjadi budak.

Dikerahkan semua tentera masuk ke dalam belahan jalan laut itu, tanpa terkecuali termasuk dirinya sendiri.

Dia langsung tidak menghitung siapa tuan punya laut ini, mengapa dia terbelah dan untuk siapakah dia terbelah.

Dia langsung lupa itu peringatan terakhir dari Tuhannya agar dia bertaubat.

وَاتْرُكِ الْبَحْرَ رَهْوًا ۖ إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ !

Ego dan sombong menyebabkan dia lupa ini ingatan dari Tuhannya kali penghabisan.

Maka masuklah Firaun dengan seluruh tenteranya ke tengah-tengah laut yang terbelah panjang itu.

Setelah masuk kesemuanya tanpa terkecuali, laut bergegas meminta izin Tuhannya untuk segera bertaut kembali !

Hilanglah Firaun, para pahlawan terbaiknya dan seluruh orang-orang besarnya sekelip mata!

Dahulu, mereka tidak membiarkan seorang pun bayi lelaki Bani Israil hidup. Sekarang, giliran mereka, tiada seorang pun lelaki dewasa dari tentera Firaun yang hidup !

Mesir kosong dari ribuan lelaki.

Isteri-isteri di istana menjerit meratapi kehilangan misteri kaum lelaki masing masing.

Mereka pergi seperti lenyap bayang bayang tanpa disedari tuannya, padahal mereka sebelumnya tirani atas muka bumi yang memijak manusia dengan alas kaki mereka.

Mereka hilang tanpa disesali kepergiannya. Alam ini pun membenci mereka kerana alam ini beriman kepada Tuhannya. Merekalah ruh-ruh yang buruk dan jahat.

Firaun menganggap dirinya dan kerajaannya penting. Tanggapan yang langsung tidak disambut alam ini.

Setelah laut merah bertaut kembali, Firaun bersama bala tentera tenggelam, laut itu tenang sahaja.

Burung berkicauan mencari ikan ikan di permukaan seperti biasa. Seperti tiada apa apa kejadian pernah berlaku.

Sungguh tidak berguna legasi yang dibina selama ini”

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ !

HAMKA
Surah al-Dukhan
Tafsir al-Azhar

“Firaun sudah mati, kefiraunan belum tentu”

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started